Monday, December 10, 2012

Istikharah

Kuliah BM Fasa 1, 4 Disember 2012

Bismillah
    Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu: yang mana dengan Jannah yang seluasnya, seluas langit dan bumi, itu adalah balasan bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.
           Insya-Allah, moga-moga Allah memberi keberkahan terhadap ilmu dan nafas yang masih Allah berikan kepada kita. Tanpa keizinan dan rahmat daripada Allah, kita tidak akan mampu untuk bernafas dan kita tidak mungkin mampu untuk bersuara. Melainkan dengan apa yang Allah takdirkan kepada kita itu ada sebabnya. Jadi mudah-mudahan, apa-apa pun, kita terus istiqamah dan kita terus berusaha dan juga terus mengikhlaskan hati kita untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.
     
             Sepanjang waktu yang Allah berikan kepada kita, kadang-kadang banyak perkara yang kita lakukan, kadang-kadang menyebabkan Allah sedih. Allah sedih kerana ramai daripada kita yang masih lalai walaupun Allah sering sahaja memberikan peluang kepada kita. Ramai daripada kita yang memilih jalan kerugian daripada beriman kepada Allah s.w.t. Ramai yang tidak mahu beramal soleh kepadaNya. Banyak yang tidak berusaha untuk mencadi abid-abid Allah yang soleh agar kita dapat hidup bersama supaya dia dapat mengobarkan semangat, dan mengingatkan kita untuk sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t. 

          Dalam apa jua keadaan yang Allah berikan kepada kita, kita harus memanfaatkannya untuk kita terus menggembirakan Allah s.w.t. Kerana apabila kita menggembirakan Allah, hasilnya bukanlah untuk Allah, tetapi, adalah untuk kita sendiri. Dengan  mana, Allah akan menyalurkan kepada dengan kita merasa halwatul iman. Halwatul iman itu adalah kemanisan kita beriman kepada Allah, kemanisan kita berubudiyah kepada Allah, kemanisan untuk kita bermunajat kepada Allah.

               Sujud yang kita lakukan dalam keadaan yang lama tidak akan terasa, tetapi dengan halwatul iman, kita terasa sungguh nikmat bersujud, kerana dengan sujud itulah semua anggota kita akan bersyukur kepada Allah. Maka insyaAllah hati kita akan menjadi raja kepada diri kita. Supaya dengan sujud kita tadi itu adalah sujud hanya untuk Allah. Dan akhirnya, jantung kita akan mengepam darah dalam keadaan kita bersujud. Dan menurut kajian sains, bagi seorang hamba, sujud merupakan waktu dimana seseorang menjadi paling khusyuk dan waktu itulah semua darah yang paling complete, lalu di seluruh badan untuk medapat satu saat kekhusyukan dan ubudiyah kepada Allah.

          Kita sudah mulakan dengan surah Al-Fatihah tadi. Suratul fatihah diwajibkan ke atas kita membacanya 17 kali sehari. Al-fatihah yang Allah wajibkan untuk kita baca di dalam solat fardu, yang sekiranya kita tambah lagi- ketika mana kita melakukan solat-solat sunat, adalah untuk meraih cinta daripada Allah swt. Jadi, seterusnya, kita gunakan juga Al-Fatihah ini tatkala memulakan majlis zikrullah ataupun dalam keadaan yang lain. Bilamana apabila kita membaca Al-Fatihah, itu merupakan doa-doa kita kepada Allah. Mudah-mudahan, dengan kita membaca surah Al-Fatihah pada awalnya tadi bersama-sama, iA Allah akan memberikan hidayah untuk kita mendapat redha Allah  dan untuk mendapat hidayahNya.

               Kerana hidayah itulah yang akan mengerakkan kita supaya kita mendapat taufiq daripada Allah. Orang yang mendapat hidayah tidak semestinya akan aman. Sebab itu, kita perlu meneruskan doa ‘wabillahitaufiq walhidayah’ supaya dengan hidayah yang Allah berikan kepada kita, kita akan turut mendapat taufiq, lantas mampu untuk beramal dengan ilmu yang kita perolehi. Orang yang mendapat hidayah mungkin hanya mendapat ilmu sahaja tetapi orang yang mendapat hidayah ketiga yakni ‘hidayah taufiq’ adalah orang yang dapat mencernakan dan mempergunakan ilmu yang diperolehi untuk melakukan amal-amal soleh dengan penuh keikhlasan yang akhirnya akan melahirkan halwatul iman. Apabila sudah lahir halwatul iman di dalam diri kita, insyaAllah seluruh tubuh kita tidak akan mengenal erti putus asa, tidak akan mengenal erti rehat, tidak akan mengenal erti penat lelah, erti ketakutan melainkan hanya takut kepada Allah sw.t dalam mencari redha-Nya.

TILAWAH DAN TADABBUR AL-MU'MINUN 23 : 93 - 104

          Amalan-amalan perlu lahir dalam diri dan perlu kita cernakan amalan-amalan ini dan manfaatkan kreativiti diri dalam menyebarkan dakwah kepada orang lain. Sama ada melalui filem pendek, atau medium facebook atau yang lain-lain, perlu kita gunakan medium-medium ini supaya dapat menyeru orang lain kepada Allah swt. Agar, kita dapat menyampaikan dan memperkenalkan Islam, terutamanya memperkenalkan Allah swt supaya diri, keluarga, rakan-rakan dan bakal-bakal pasangan kita menjadikan Allah sebagai Rabb. Dan seterusnya, menanamkan apa yang dipelajari kepada anak-anak supaya dapat menjadi amalan dalam kehidupan. Seterusnya kita semua dapat merasakan halawatul iman, dan merasakan bahawa orang yang berada dalam kemaksiatan, dalam kelalaian, adalah manusia yang rugi di sisi Allah. Dan since kita berada dalam cahaya, kita nak bantu mereka-mereka yang diluar ini supaya keluar daripada kegelapan dan masuk ke dalam cahaya seperti kita.

          Setiap kali kita mecari satu ilmu Allah untuk kita pelajari dan kita amalkan, seolah-olah kita telah membuka satu pintu syurga. Maksudnya, setiap kali kita cuba untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui majlis-majlis zikrullah, maka Allah akan bukakan satu pintu syurga untuk kita dan begitu jua, sekiranya kita cuba untuk menyampaikan ilmu-ilmu ini kepada orang lain.

        Marilah kita ajak rakan-rakan disekeliling kita untuk mendekatkan diri kepada Allah, untuk mengenali dan sama-sama keluar daripada jahiliyah dan kegelapan dan masuk kepada cahaya yang penuh pahala dan keberkatan:
  1.  mengajak mereka untuk meluruskan hati mereka kepada Allah 
  2. untuk kita dekati dia dan menjadikan dia sahabat kita
  3. untuk kita mengajak mereka menuju syurga Allah swt. 
  4. untuk kita mengajak mereka memohon keampunan kepada Allah   
             Percayalah sekirnya kita memohon ampun kepada Allah, insyaAllah akan Allah ampunkan dosa-dosa kita dan kita akan dapat diberikan panduan oleh Allah untuk mengajak meraka mereka di luar sana untuk lebih mengenal allah swt.

               Dan  apabila kita berkata-kata dengan meletakkan Allah di dalam hati kita, insyaAllah dengan kata-kata itu akan adanya rahmat, hidayah dan taufiq daripada Allah. Mungkin kawan-kawan yang kita ajaki ini, di akhirat kelak, merupakan kawan-kawan yang dapat membantu kita untuk masuk ke dalam syurga Allah. Dengan bersahabat dengan orang yang soleh, dia akan dapat membantu kita yang mungkin pada ketika itu sedang berada di jurang-jurang; nyaris masuk ke dalam neraka (nauzubillah).

         Namun dengan adanya kawan-kawan yang soleh juga,  insyaALlah akan dapat menarik kita masuk ke dalam syurga. Even, walaupun sudah berada di dalam neraka, sahabat-sahabat kita ynag beriman akan masuk dan mencari kita di dalam neraka untuk membawa kita keluar daripadanya dan menyelamatkan kita. Sesungguhnya anak-anak umi, ahli syurga adalah orang yang bebas daripada dosa. Jadi, dengan dosa yang kita lakukan setiap hari, layakkah kita digelar ahli syurga Allah?  Namun anak-anak umi, janganlah kita khuatir, kerana Allah adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
     
Rentetan tadabbur  ayat 93-94: ini adalah bentuk-bentuk doa yang Allah ajarkan kepada kita:
Katakanlah (Muhammad), “Ya Tuhanku, seandainya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku apa(azab) yang diancamkan kepada mereka .Ya Tuhanku, maka janganlah engkau jadikan aku dalam golongan orang-orang yang zalim (23: 93- 94) 
sekiranya dibacakan tentang ayat-ayat neraka kepada kita, kita mintaklah perlindungan kepada Allah : janganlah kau jadikan aku golongan-golongan itu, golongan-golongan yang zalim. Dan seterusnya ayat 95 dan ayat 96:
Dan sungguh, Kami kuasa untuk memperlihatkan kepadamu (Muhammad) apa yang kami ancamkan kepada mereka.Tolaklah perbuatan buruk mereka dengan (cara) yang lebih baik. Kami lebih mengetahui apa yang mereka sifatkan (kepada Allah) - 23 : 95 - 96-
      Dan Allah beritahu kepada kita supaya kita tolak perkara-perkara buruk yang dilakukan oleh mereka (yakni golongan-golongan yang zalim) secara baik. Bukan dengan cara memaki hamun, mengherdik, atau melakukan kesakitan kepada mereka. Tetapi balaslah merbuatan mereka dengan kata-kata yang mengandungi hikmah, nasihat dan kata-kata yang mengandungi doa dan kebaikan. Supaya tatkala mereka mendengar kata-kata seperti ini, mereka insaf, bertaubat dengan taubat nasuha
Dan katakanlah, “Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-biskan setan (23:97)Dan aku berlindung pula kepada Engkau ya Tuhanku, agar mereka tidak mendekati aku.” (23:98) 
       Seterusnya kita perlu berlindung daripada bisikan-bisikan syaitan yang kadang kala memberi was-was di dalam hati kita, menimbulkan rasa husnu dzon dalam diri kita kepada orang lain, kepada sahabat, suami, isteri atau kedua Ibu bapa. Bila kita mendapat hidayah, kita mula memandang kedua ibu bapa kita(sekiranya meraka masih dalam jahiliyah), seolah-olah mereka itu telah melakukan kesilapan yang besar. Ingatlah anak-anak umi, bahawasanya hidayah yang Allah berikan kepada kita merupakan tanda kasih dan sayang Allah kepada kita, jadi seharusnya, apa yang kita lakukan adalah mendoakan kedua ibu bapa kita supaya turut sama mendapat hidayah seperti kita. Ini adalah kerana, doa anak merupakan antara doa yang dijanjikan oleh Allah dibawa ke mati. Di mana, apabila telah sampai masa kita untuk pergi, akan kita tinggalkan semua perkara kecuali tiga yang dijanjikan oleh Allah:
  1. sedekah jariah
  2. ilmu yg bermanfaat
  3. doa anak-anak yg soleh
         Namun, apa yang dikhuatirkan adalah ilmu yang tidak berguna kepada orang lain yang kita ajarkan, pasti akan membawa keburukan kepada kita. Apabila ini terjadi, mampukah untuk kita membasuh dosa-dosa itu? Sanggupkah kita meminta ampun kepada manusia-manusia yang telah kita hinakan mereka, dan kemudian kita beritahukan kepada orang lain yang mana orang lain memperbesar-besarkannnya pula. Di mana, cukup mudah sekiranya kita berdosa dengan Allah, insyaALlah once kita meminta ampun kepada Allah, akan Allah ampunkan.
     
       Tetapi, dosa kepada manusia tidak semudah itu. Jadi, sama-samalah kita berazam supaya tidak melakukan dosa kepada sesama manusia. Malah, serulah manusia kepada kebaikan dan kesabaran. Jauhkanlah diri daripada menghina dan mengherdik manusia-manusia yang lain. Dan pohonlah agar Allah menjauhkan kita daripada lembah-lembah kehinaan dan kemaksiatan yang melibatkan orang lain. Ini dipanggil Fahisyah( bermaksud: kemaksiatan yang kita lakukan kepada orang lain). Jadi, mulai sekarang, jangan kita ulangi lagi. Sekiranya ada kita lakukan, maka bertaubatlah kepada Allah. Ingatlah anak-anak umi, 3 trilogi hak taubat kepada Allah ;
  1. Penyesalan terhadap dosa-dosa lalu melalui menangis, mengalirkan air mata, melakukan solat taubat, berdoa, menyesal
  2. Berhenti terhadap dosa yang sedang berlaku
  3.  Bertekad kuat untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang
             Dosa kita kepada allah, senang untuk kita betaubat terhadapnya. InsyaALlah akan Allah terima dan inilah yang menjadi iri hati kepada oraang-orang yang beriman, seperti yang diberitahu oleh Allah dalm surah Furqan, ayat 70 (25:70)

                Melalui ayat ini, diberitahukan kepada kita bahawasanya sesungguhnya seseorang haruslah bertaubat dahulu, seterusnya beriman dan kemudiannya mengerjakan kebajikan dan suasana seperti inilah yang sebenarnya paling disukai Allah, dan nescaya Allah akan menukarnya kesalahan atau dosa yang dilakukan kepada kebaikan.
    
          Diberitahukan juga, bahawasanya Rasulallah s.a.w sangat menyukai ayat ini, dan di hari akhirat kelak orang-orang yang taat akan merasa iri hati dengan orang yang telah melakukan maksiat tetapi telah bertaubat di atas kemaksiatan yang dilakukan. Ganjaran yang diperolehi ialah bukan sahaja dosanya terampun tetapi Allah gantikan dosa yang telah dilakukan dengan kebaikan. Jadi, anak-anak umi, sekiranya kita telah berdosa, maka cepat-cepatlah kita memohon taubat kepadaNya, bukan ditunggu hingga sampai ke hari mati, baru mahu kita menagih simpati daripada Allah taala. 
     Seperti dalam suratul Mukminun, ayat ke-99 dan ke-100 serta Allah memberitahu dalam ayat ke-100.

                 Allah mengatakan tidak sama sekali. Dan sesiapa yang telah menemui ajalnya akan Allah letakkan mereka di alam barzakh sehinggga mereka dibangkitkan semula pada hari kebangkitan. Jadi, pabila tiba hari kiamat, hilanglah ikatan saudara-mara, ibu yang mengandung pun anaknya akan terburai ketika tiba hari kiamat.

              ingatlah sekarang mungkin kita adalah anak kepada kedua ibu bapa kita. Tetapi, apabila tibanya hari kiamat, kita pasti akan berhadapan dengan Allah seorang diri. Jadi, bersedialah dengan bekalan yang bakal kita bawa yakni bekalan yang dapat mneyelamatkan kita daripada kemurkaan Allah dan daripada nerakaNya. Malahan yang lebih penting lagi, adalah apabila kita bukan sahaja dapat menyelamatkan diri di hadapan Allah, tetapi, kita juga mampu untuk menyelamatkan kedua ibu bapa, suami, isteri dan juga anak-anak kita di hadapan Allah taala.

                      Allah tidak pernah merahsiakan apa yang bakal berlaku pada ahli syurga dan apa yang bakal berlaku kepada ahli neraka. Telah tertulis semuanya di dalam al-Quran, malah telah Allah tunjukkan dan umi sendiri telah beritahu perbezaan antara amalan-amalan ahli syurga dan amalan-amalan ahli neraka. Jadi masih lagikah kita mahu terus  melakukan dosa? Ingatlah sesungguhnya kematian itu tetap akan menjadi rahsia Allah.
      
            Jadi, disebabkan oleh itulah, kita perlu berdakwah, mengajak manusia ke arah kebaikan dan jauh meninggalkan maksiat dan keburukan melalui pelbagai medium mengikut kreatiiti kita masing-masing. Sama ada ingin menggunakan medium cerita pendek seperti Tomato oleh Arif CHINA, atau menggunakan facebook untuk meletakkan post-post islami, atau mungkin dalam event-event kita sendiri, di mana di situ jugalah kita mampu untuk menyebarkan dakwah dan kebaikan Islam. Tujuannya adalah tidak lain selain untuk mengajak mereka kepada Allah s.w.t.
    
            Seperti umi sendiri, di dalam kad jemputan walimatul urus, umi letakkan ayat Quran di situ, untuk mengelakkan kad itu dibuang oleh penerimanya. Jadi, insyaAllah dengan terteranya ayat Allah di situ penerima kad tidak akan membuangnya, malah doa-doa itu dapat dipraktikkan oleh semua.Seperti umi ambil contoh;  ayat suratul Furqan (25:74). Ini merupakan doa keluarga bahagia. 
     
                    Dan juga, doa-doa ini boleh dibacakan selepas akad nikah dan solat sunat kesyukuran ketika suami memegang ubun-ubun kepala isteri. Ubun-ubun kepala isteri merupakan tempat pertama yang sepatutnya dipegang oleh para suami dan ini merupakan sunnah. Jadi di sini, umi menyarankan agar anak-anak umi mengetengahkan sunah-sunah yang telah ditinggalkan oleh ummah, agar kita dapat kembali kepada Allah s.w.t.
     
              InsyaAllah, setiap event kita, walimatul urus kita, perlu kita kembalikan semuanya berlandaskan sistem Islam. InsyaAllah, dengan doa, solat sunat kesyukuran, dan juga suasana dalam program walimatul urus,  sebagai contohnya dari segi pakaian- hendaklah pengantin memakai pakaian yang menutup aurat, dari segi solekan, semuanya perlu berlandaskan kepada agama kita. Semuanya perlu dijaga, supaya apabila kita menjadi raja sehari, kita tidak membuat dosa sehari. Itu yang paling penting dan yang itu yang kita tidak mahu.
    
             Dalam khursus baitul muslim fasa 1 selama 3 jam dididik supaya kita mendapat bantuan untuk melaksanakan satu majlis yang penting dalam kehidupan kita iaitu transisi daripada seorang individu muslim, naik ke tangga 2, untuk membentuk usrah muslimah, tetap berada dalam syariah Allah. Kita tidak mahu naik ke tangga kedua, tapi, penuh dengan ranjau dosa. Kita tidak mahu tangga kedua kita dimulai dengan langkah-langkah dosa. Apa yang kita mahukan supaya tangga yang pertama dalam keadaan ubudiyah kepada Allah yang kuat, dan diteruskan naik ke tangga yang kedua suci daripada dosa, insyaAllah.
    
            Sebagai contohnya, untuk kita beri ‘door gift’ dan sebagainya, kita buatlah himpunan doa-doa. Contohnya, bookmark doa solat dhuha, doa solat istikharah. Jadi, bila tetamu dapat jemputan( kad jemputan penuh dengan doa daripada Allah, ayat-ayat Quran dan sunnah-sunnah Rasullah s.a.w dalam mendirikan rumah tangga bahagia dunia dan akhirat) dan hadiah yang hendak diberikan kepada para tetamu kita pun adalah hadiah yang boleh membantu mereka mengenal Allah, seperti bookmark tadi. Jadi, apa pun anak-anak umi, hendaklah kita halakan semuanya kepada Allah s.w.t. Kerana sebagai contohnya, sekiranya tetamu dapat menghafaz doa disebabkan door gift kita itu tadi, kita juga insyaAllah, akan dapat merasai pahala bersama.
     
               Walaupun tindakan-tindakan ini adalah tindakan yang kecil, tapi, apabila kita banyak melakukan amalan-amalan kecil, insyaAllah dapat menggilap keikhlasan di hati kita. Apabila kita banyak membuat amalan-amalan yang soleh dan baik, kita tidak akan punya masa untuk mengungkit amalan-amalan ini (walaupun amalan ini kecil), lantas menjadikan kita individu-individu yang lebih ikhlas. Jadi, anak-anak umi, dalam setiap erti kehidupan ini, kita amat memerlukan taufiq dan hidayah daripada Allah s.w.t untuk kita meraih kasih cinta daripada-Nya

      ISTIKHARAH.

                  Seterusnya, seperti yang diperkatakan pada minggu lepas,, kita harus meminta kepada Allah, untuk kita dapat menggilap rasa tawakal kita kepada-Nya. Jadi, umi sambung sedikit topik minggu lepas - Kedudukan perencanaan dan juga tawakal. Tawakal datang daripada perkataan al-wakil. Al-wakil merupakan salah satu daripada nama Allah yang menggambarkan sifat Allah s.w.t. Al-wakil bermaksud ‘Yang mengurus hamba.’ Menggambarkan Allah sebagai yang Maha Mahir dan Cekap mengurus hamba. Al-wakil merupakan sifat Allah, apabila kita tahu Allah merupakan yang mengurus segala-galanya, lantas seharusnya  kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t.
     
            Kita tahu segala-gala yang berlaku adalah atas perencanaan Allah dan berlaku dengan keizinanNya. Walaupun kita yang membuat pemilihan, tetapi berlakunya atau tidak sesuatu perkara itu, adalah atas kehendak dan pengetahuan Allah swt. Apa yang kita akan pilih, Allah sebenarnya sudah mengetahui daripada awal hingga akhirnya, Allah sudah mengetahui setiap pilihan yang kita lakukan. Sama ada, kita pilih hidup di dunia ini sebagai abid Allah, atau sebagai musuh Allah swt. Dan Allah sememangnya sudah mengetahui setiap daripada pilihan kita. Jadi, itulah dia anak umi, apa yang berlaku itu adalah dalam genggaman Allah swt.
     
             Namun pada masa yang sama, Allah berikan kita pilihan. Jika anak-anak umi lihat dalam google.doc di laman baitul muslim, di mana Rasullah s.a.w juga ada memberitahu kita apabila kita merancang untuk melakukan sesuatu, kita perlu mulakan dengan solat sunat dua rakaat dan memohon doa istikharah. Jadi, sebab itulah anak-anak umi, kita seharusnya berdoa kepada Allah swt supaya Allah membantu kita membuat pilihan, kerana Allah sudah tahu apa yang baik dan apa yang tidak, apa yang bakal berlaku dan apa yang tidak. Pohonlah doa, buatlah isthikarah. Kerana kita harus yakin, bahawa sesungguhnya Allah hanya menakdirkan kepada kita apa yang baik untuk kita, walaupun benda itu adalah dalam bentuk musibah.
     
            Musibah merupakan sebenarnya satu terminal dalam penyucian dosa kita di dunia. TujuanNya- agar dosa kita terampun. Mengapa Allah buat begini? Sebabnya hanya satu-Allah mahu bantu kita untuk masuk ke dalam syurga. Sebab itulah, Allah akan lakukan ‘any possible means’ untuk menghapuskan dosa-dosa kita, salah satu daripadanya adalah dengan memberikan musibah. Jika kita bersabar, insyaAllah dosa kita terampun di sisi Allah swt. Untuk itu, walaupun decision yang kita buat itu akhirnya memberikan kita musibah, tetapi sekiranya didahului dengan istikharah, insyaAllah kita tidak akan menyesal. Yang penting, puncak setiap tawakal adalah dengan kita beristikharah, di mana kita berdoa:

                  “Ya Allah, aku meminta yang terbaik daripadaMu dengan ilmuMu, dan aku minta ketetapan padaMu dengan kudratMu, dan aku minta padaMu dari kurniaMu, Ya Agung, di mana sesungguhnya Engkau yang berkuasa dan aku tidak, Engkau tahu sedang aku tidak. Engkaulah yang paling tahu keghaiban. Ya Allah, jika diketahui perkara ini (perkara yang kita perlu untuk berbuat keputusan………..contohnya: Ya Allah, sekiranya perempuan ini yang Engkau redha dan Engkau rahmati untuk aku jadikannya isteriku dunia dan akhirat, yang akan membawaku ke syurgaMu dan akan menjadi bidadariku di syurgaMu Ya Allah, memberikanku kebaikan hidup di dunia dan di akhirat Ya Allah, baik bagiku, agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, maka mampukanlah aku, mudahkanlah ia bagiku, lalu berkatilah aku. Dan jika Engkau mengetahui kalau perkara ini jelek dan buruk bagiku, agamaku, kehidupanku mahupun akhir urusanku maka jauhkanlah aku darinya dan ia dariku, dan tetapkan ia Ya Allah lalu redhakan aku dengannya. (DOA ISTIKHARAH)
               
               Sebagai konklusinya,puncak tawakal kepada Allah adalah doa istikharah. Dan puncak keindahan ibadah kita, adalah apabila kita menyerahkan pilihan kita itu kepada Allah. ketika kita melakukan istikharah, kita mesti me’neutral’kan perasaan kita walaupun perasaan kita sememangnya suka(ini merupakan syarat!) Contohnya, sekiranya kita melakukan istikharah walaupun kita memang dah tidak suka pada seseorang itu ataupun kita melakukan istikharah dengan berperasaan sangat suka kepada seseorang itu, maka istikharah tidak akan menjadi. Kita tidak akan dapat petunjuk yang sepatutnya. 

      Wallahua'lam.



No comments:

Post a Comment