Monday, December 24, 2012

Hari Kiamat


Kuliah "Siri Modul Perjalanan Ketaqwaan Jundiy Menuju Syurga Allah SWT "
19 Disember 2012

Assalammualaikum,
Bismillah.
                
            Alhamdulillah, sama-sama lah kita mengucapkan kesyukuran tanpa rasa jemu dan malas, dari hari ke hari, dari masa ke masa, dari detik ke detik yang lain. Pastikan diri kita dalam suasana zikrullah, sentiasa muhasabah diri kerana kita sentiasa melakukan kesilapan. Mudah mudahan hari ini lebih baik daripada semalam.

Allah bersumpah dengan masa, yang mempunyai kepentingan yang amat tinggi. Sesungguhnya sebahagian manusia berada dalam kerugian melainkan 4 perkara. Pertama iaitu hamba Allah yang beriman kepada Allah, bermaksud melafazkan dengan hati dan kata-kata serta melahirkan dalam bentuk amalan tanda kecintaan kepada Allah. Kedua, orang yang mengamalkan kebajikan dan amal soleh, yang membawa kepada penyucian. Ketiga, orang yang memperingatkan orang lain tentang kebenaran, mengajak agar hati mereka berpaut dengan al-quran dan sunnah. Keempat, bukan sahaja mengajak kepada kebenaran, malah orang yang berpesan-pesan kepada kesabaran. Jadi marilah kita sama-sama sentiasa berdoa agar Allah memotivasikan kita untuk menjadi orang-orang yang beruntung.

Allah sentiasa memberitahu atau memanggil kita dengan cukup lembut, dengan sentuhan kasih sayang , dengan sifat ar-rahim Nya , agar kita terpanggil untuk mengingatiNya. Bergantung kepada tahap dan hubungan kita dengan Allah, apabila disebutkan nama Allah, hati sudah bergoyang, menandakan tanda ketakutan atau cinta dan kasih kepada Allah, mudah mudahan Allah memberi keberkatan. Allah menyediakan syurga dihadapan kita, dan memberi peluang dalam seberapa waktu yang ada, yang tinggal dalam kehidupan kita yang semakin lama semakin pendek. Bagaimanakah engkau menghabiskan waktu mudamu? Justeru waktu muda adalah waktu yang paling penting untuk kita isikan didalam keadaan atau suasana ubudiyah, sibukkan dengan zikrullah, merapatkan tautan amalan-amalan yang beralur kukuh agar menjadi persediaan di waktu tua. Waktu muda ini lah yang akan ditanya oleh Allah di kubur, sekiranya tidak diisi dengan ubudiyah kepada Allah, apakah jawapan yang mampu diberi dihadapan Allah taala?

Pengisian pada hari ini adalah untuk memberi sentuhan. Sejauh mana keberkesanan pengisian pada hari ini, terhadap jiwa, bergantung kepada tahap keikhlasan dalam menghadapkan diri kepada Allah. Sampaikanlah isi kuliah ini kepada kedua ibu bapa kita, pasangan yang Allah anugerahkan kepada kita,  sahabat yang Allah utuskan untuk berada dalam hidup kita, dan juga kepada seluruh ummah yang mampu kita sampaikan. Sampaikanlah walau satu ayat kepada mereka untuk kita ajak mereka kepada Allah.

Sama-samalah kita berdoa agar amalan kita pada malam ini akan dibawa oleh malaikat untuk dihadapkan kepada Allah. Kita mohon perlindungan kepada Allah daripada Allah campakkan kembali kedunia kerana tiada keikhlasan di dalam hati kita. Justeru, ikhlaskan niat yakinkan diri selepas keluar dari kuliah ini  kita dapat menambahkan amalan untuk dipersembahkan kepada Allah dan semoga amalan itu diakhirat kelak akan memberi sinar cahaya bukan sahaja ketika berhadapan dengan Allah, tetapi sebelum itu lagi. Ketika berada di dalam kubur, terasa begitu luas, sebab dosa-dosa kita telah diampunkan oleh Allah, melalui 4 terminal ketika didunia lagi. Pertama, melalui taubat yang berterusan, taubat nasuha. Setiap malam kita solat taubat 2 rakaat, dengan doa, supaya Allah ampunkan dosa kita seharian. Kedua, dengan istigfar. Dan yang ketiga melalui musibah yang Allah berikan. Sekiranya kita sabar, kerana kita tahu bahawa musibah itu salah satu kifarah yang mana Allah ingin menghapuskan dosa kita. Yang keempat ialah dengan kita berterusan melakukan amal soleh. Allah akan gantikan satu dosa yang kita lakukan dengan satu kebaikan. Inilah yang Allah sebut didalam surah Furqan ayat 70. Inilah yang dicemburui oleh orang-orang yang bertakwa terhadap orang-orang yang ketika didunia melakukan maksiat tetapi dia banyak bertaubat dan akhirnya Allah gantikan dengan kebaikan.

Apabila selesai 4 terminal penyucian diri didunia, maka ketika didalam kubur insyaallah akan mudah dan terlepas daripada soalan munkar dan nakir dan juga daripada suasana yang boleh menyempitkan kubur kita.  Sama-sama lah kita berdoa agar Allah memberi kita kubur yang lapang dan Allah tunjukkan kepada kita syurga yang akan kita perolehi ketika kita masih berada di dalam kubur lagi. Jikalau dosa kita tidak selesai didunia, dan ketika disoal munkar dan nakir juga tidak selesai, maka nauzubillah, kita terpaksa melalui 4 lagi situasi di hari kiamat. Apabila semua dosa kita telah selesai, maka akan mudah ketika di hari kiamat. Yang mana bagi orang yang bertakwa, beramal soleh, rajin bertaubat, rajin beristigfar, rajin melakukan kebajikan, walaupun kebajikan yang kecil , tapi dilakukan dengan kerap , ia akan mengilap keikhlasan.


Tilawah dan tadabbur : Surah An-Naba’ ayat 1-40.

Inilah ayat-ayat Allah yang cukup indah. Mempunyai dua bahagian. Yang pertama, Allah memberitahu kita tentang hari yang selalu dipertikaikan oleh orang-orang yang ingkar. Mereka tidak yakin bahawa pada suatu hari mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat. Ketika hari kiamat kelak, manusia terpinga pinga, kerana ketika didunia mereka selalu berselisih tentangnya. Walaupun fitrah mereka mempercayai, namun nafsu enggan menerima hakikat. Dalam masa yang sama, Allah bertanya kembali kepada kita tentang apa yang Allah beri kepada kita didunia, bukan untuk mengungkit tetapi untuk memberitahu, inilah yang Allah berikan kepada kita. Semua yang berlaku ada sebabnya, Allah tidak menjadikan kita seorang diri, dari pasangan, akan lahirnya zuriat. Allah memberitahu juga, Allah menjadikan tidur sebagai istirehat, memberi hak kepada tubuh badan, untuk membuat amal pada waktu siang, untuk mencari penghidupan. Ini adalah fitrah yang diatur, apabila melanggar fitrah, akan tunggang langgang lah. Jadi kita perlu mengikut sistem yang telah Allah cipta untuk kita kerana Allah yang menciptakan kita, maka Allah lah yang tahu kelebihan dan kelemahan kita.

Yang seterusnya Allah telah memberi pengiktirafan kepada manusia, memberi amanah untuk menjadi khalifah di muka bumi. Dan untuk kita berjaya menjalankan amanah Allah, maka kita perlu  mengikut sistem garis yang telah Allah tentukan. Allah telah katakan, bumi sebagai hamparan dan gunung sebagai pasak, semuanya bersebab iaitu untuk keseimbangan dunia. Di dalam surah Ar-Rahman, tertulis bahawa Allah telah mencipta keseimbangan di bumi, maka janganlah kita merosakkan keseimbangan itu. Allah telah menjadikan manusia berpasang-pasangan, untuk pembinaan keturunan mengikut sistemnya. Maka kita perlu mngikut sistem yang disyariatkan oleh Allah. Allah mengharamkan lahirnya anak luar nikah, jangan dilanggar. Sekiranya ada yang melanggar kita perlu buat sesuatu, kita perlu memberikan contoh yang baik kepada mereka. Di dalam surah An-Nisa ayat 1 : Allah ciptakan seorang lelaki, isteri, dan lahirkan keturunan yang banyak. Dengan nama Allah lah kita bersatu. Itulah lafaz akad nikah. Semuanya Allah telah siapkan sistemnya. Jadi insyaallah ia merupakan salah satu amanah untuk kembalikan sistem Allah supaya dilaksanakan dimuka bumi, supaya tidak berlakunya pembunuhan/penzinaan dan perkara-perkara  yang dimurkai oleh Allah swt.

Allah juga telah meletakkan kepelbagaian, sebagai satu rahmat, untuk membina kehidupan yang baik. Bertetapan dengan sistem Allah, semua ini ada pengakhirannya. Al-haq akan kekal, dan yang batil tidak akan kekal. Allah akan nilai dan hisab segala amalan kita. Amalan soleh akan kekal ke akhir hayat, dan amalan mungkar yang batil tidak dapat membantu di akhirat. Jadi pastikan apa yang hendak dibawa ke akhirat, adalah yang kekal disana.

Adakah kita sanggup untuk bertangguh dalam melakukan amalan soleh? Allah sentiasa menaburkan hidayah. Jadi, seluas manakah kita buka hati untuk menerima hidayah dan bimbingan Allah? Sejauh mana kita buka hati untuk beramal dengan al-quran dan membuang sikap-sikap kotor? Semuanya bergantung kepada seluas mana kita buka hati untuk menerima hidayah. Ada golongan-golongan yang tidak merasa akan dihisab, kerana wujudnya faktor dalaman yang menyebabkan iman sakit iaitu merasakan jauh azab dari dunia dan meremehkan azab akhirat. Di dalam ayat-ayat tadi, Allah mengatakan, ada orang-orang yang menolak ayat-ayat Allah, maka sudah jelas pengakhiran bagi mereka. Allah menceritakan azab pengakhiran mereka.

Namun perlu difikirkan dimana akhir kita? Kita mengucapkan syahadah 9 kali di dalam solat. Tetapi apakah keberkesanannya di dalam hati kita? Adakah kita sudah merasakan bahawa azab dunia ini merupakan satu tanda kehebatan azab akhirat? Adakah apa yang kita rasakan itu mampu untuk mengerakkan kita untuk jauh dari perkara yang Allah murka? Adakah kita lakukan perkara yang mengembirakan allah? Walaupun hakikatnya Allah tidak memerlukan pun, tetapi kita yang memerlukannya. Kita yang memerlukan Allah. Apakah yang telah kita lakukan untuk kebaikan kita sendiri? Dan apakah yang telah kita lakukan yang boleh menghumbankan kita ke dalam neraka Allah? Jadikan kedahsyatan neraka sebagai motivasi untuk kita beramal dengan amalan ahli syurga.

Seterusnya Allah menceritakan pula keindahan syurga juga sebagai motivasi untuk kita. Kita akan dapat bertemu dengan Allah dan Allah berbicara dengan kita. Impikan keindahan itu. Di syurga, orang-orang yang beriman cukup gembira, ada pula isteri yang akan bersama-sama, yang akan menjadi isteri di syurga kelak. Allah sediakan bidadari/bidadara disyurga. Bagi mereka yang tidak melayan isteri atau suami dengan baik ketika di dunia, bidadari/bidadara syurga akan mengatakan alangkah ruginya kamu tidak melayan isteri/suami mu dengan baik. Di akhir surah ini, orang-orang kafir berkata alangkah baiknya seandainya dahulu aku jadi tanah. Allah sudah mengetahui tentang penyesalan mereka di akhirat kelak.

Modul Ketakwaan Jundi : Hari Kiamat

Penceritaan tentang peristiwa diakhirat, supaya memberi keinsafan kepada kita, supaya kita berusaha bersungguh-sungguh sebagai persediaan untuk bertemu Allah. Di akhirat kelak kita akan  hidup sepanjang masa, sama ada mendapat nikmat syurga atau terseksa di neraka. Betapa bahagianya ahli-ahli syurga dan seksanya penyesalan orang-orang kafir. Kalau boleh kita hendak masuk syurga secepat kilat, mengharap redha Allah, cinta dan kasih Nya.

Suasana-suasana hari kiamat. Allah sentiasa mengingatkan kita. Di dalam surah Al-Hajj, bayangkan keadaan di padang mahsyar, dalam keadaan yang sangat sulit, keringat kita yang bercucuran deras, matahari yang dekat. Dengan setiap gambaran tersebut, adakah kita masih tidak takut terhadap Allah? Allah memiliki 100 rahmat. Baru satu rahmat yang telah Allah campak didunia, selebihnya Allah simpan di akhirat kelak. Jadi kita perlu wujudkan suasana takut pada Allah walaupun tidak terlihat dan juga membina kasih sayang kepada Allah untuk kita melakukan amal-amal soleh, supaya kita dapat bertemu dengan Allah dalam keadaan gembira. 78:38, kita tidak diizinkan untuk berbicara, kecuali kepada mereka yang diizinkan untuk berbicara. Didunia mungkin kita mampu untuk beralasan, namun tidak di akhirat kelak. Sudah tiada waktu untuk beralasan. Jika didunia, kita masih sempat untuk bertaubat pada bila-bila masa sahaja, namun tidak diakhirat. Di hari akhirat kelak jugak Allah akan perlihatkan segala amalan kita (Surah Al-Imran ayat 30). Tiada alasan untuk kita katakan kita tidak mengetahuinya.

Perasaan ketakutan yang amat jelas oleh para malaikat, walaupun mereka adalah pekerja-pekerja Allah, yang tidak pernah bermaksiat pun tidak mampu berbicara. Apatah lagi manusia, yang pada ketika hari itu manusia lari dari orang sekelilingnya. Tidak ada guna penyesalan kita pada hari itu /akhirat (surah An-Naziat ayat 34,35). Tiada gunanya mencela perbuatan kita ketika di akhirat. Jiwa yang mencela tidak berguna di akhirat. Perlulah kita mencela perbuatan maksiat kita sementara masih didunia. Nafsu pertama ialah nafsu amarah, yang membuat keburukan sahaja. Apabila kita merasakan kita telah melakukan salah, inilah tanda-tanda nafsu lawammah iaitu nafsu mencela. Dan kemudian lahirlah taubat. Jiwa yang mendapat hidayah, akan bertaubat, dan akan dinaikkan darjat kepada nafsu mutmainah. Salah satu tandanya ialah redha. Redha kepada allah, redha kepada apa yang ditakdirkan. Ia menjadi sumber keimanan/roh akhlak. Ada 3 dasar sistem akhlak iaitu siddiq(benar), ikhlas dan sabar. Iaitu kita benar dalam redha kepada allah. Tawakal lahir dari perasaan kita yang mana kita tahu dan yakin bahawa Allah yang mengatur segala urusan. Kita berusaha, Allah yang tentukan.

Di hari akhirat kelak, ada wajah yang berseri dan hitam muram. Bagaimanakah kita nanti? Adakah kita merasa takut? Atau masih bertindak bodoh? Bagaimanakah kita untuk menghadapi hari itu? Adakah kita mampu untuk meninggalkan maksiat? Muhasabah kembali diri kita. Kita perlu merasa satu hubungan/ketakutan/rasa bersalah dengan kesalahan yang dilakukan. Di padang mahsyar nanti kita akan berhimpun selama 50 ribu tahun. Kita tidak makan, tidak minum. Jadi apakah yang kita lakukan disana? Bayangkan bagaimana keadaan/perasaan kita? Nabi bersabda, kita akan dikumpulkan dalam keadaan telanjang dan tidak beralas kaki. Aisyah bertanya, lelaki dan wanita melihat satu sama lain? Baginda menjawab pada hari itu, lebih dahsyat dari apa yang menjadikan mereka merasa sedih itu (hadis riwayat bukhari dan muslim). Setiap kita tidak mampu melihat orang lain. Masing-masing hanya menyatakan diriku, diriku, diriku. Setiap jiwa merasa takut dan gelisah.

Nabi bersabda pada hari itu, manusia dikumpulkan dalam 3 golongan. Golongan yang berjalan kaki, golongan yang berkenderaan, dan golongan yang berjalan dengan muka mereka. Sahabat bertanya, wahai rasulullah, bagaimana mereka berjalan dengan muka? Baginda menjawab Allah akan menjalankan mereka dengan kaki-kaki mereka, dengan muka-muka mereka. Sedangkan mereka yang berjalan dengan kaki-kaki mereka adalah orang yang menjaga muka mereka dari kesulitan dan duri. Ketika di dunia mereka menjaga wajah mereka, menjaga mata mereka, tidak melakukan perakara haram, tidak bersolek dengan solekan yang haram. Firman Allah swt, orang orang yang dihimpunkan dineraka jahanam dengan diseret mukanya, mereka itu adalah orang-orang yang paling buruk tempatnya dan paling sesat jalannya (surah Furqan ayat 74).
Seterusnya Allah mengatakan, dan Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat diseret atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Sambil mereka mengatakan, aku akan lari, aku takut, aku tidak mahu. Tetapi, sekarang kita terpaksa menghadap Allah swt. Insyaallah, sebelum tiba saat itu marilah kita sama-sama khusyuk dan takut kepada Allah. Dengarkanlah, jika kita beriman, jika kita takut kepada Allah maka Dia akan memberikan kita pahala. Nabi saw bersabda, sesungguhnya hari kiamat itu, melewati orang mukmin, seperti dua rakaat yang dia lakukan dalam solat. Oleh itu, ketika di dunia, janganlah kita, merasa kedekut, bakhil untuk meluangkan masa solat dua rakaat di malam hari, solat taubat sebelum tidur, dan ketika Allah bangkitkan kita awal subuh, solatlah dua rakat. Ataupun dua rakaat tahajjud, ataupun solat dua rakaat witir ditambah dengan satu rakaat sebagai penutup dalam kehidupan kita ataupun munajat malam kita kepada Allah swt. Mudah-mudahan dosa seharian kita Allah ampunkan dan ia dapat memberikan kita keringanan dalam menghadapi kengerian hari kiamat. Insyaallah setiap dosa yang kita taubat Allah gantikan dengan satu kebaikan.

Bersyukurlah kepada Allah atas kemurahan Allah kepada kita untuk kita melakukan amal soleh. Sebab Allah nak kita masuk ke syurganya. Mudah-mudahan kita takut terhadap kemurkaan Allah, dengan berhati-hati dalam setiap kehidupan kita. Allah beri peluang sebagai mukmin disisi Allah untuk kita lalui hari kiamat yang penuh kenegerian , berlalu seperti solat sunat 2 rakaat yang ringan.  Ingatlah bahawa hari itu pasti terjadi. Mohonlah supaya kita diberi bantuan oleh Allah untuk menghadapi hari itu.

Nabi bersabda, ketika hari kepanasan itu, 7 kumpulan manusia yang akan Allah naungi mereka dibawah naungannya di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah swt. Siapakah mereka itu? Pertama ialah imam yang adil. Kedua, pemuda yang tumbuh dalam ketaatan kepada Allah swt. Ketiga adalah laki-laki yang hatinya tertaut dengan masjid. Keempat, dua orang yang saling mencintai kerana Allah. Kelima, lelaki yang diajak wanita cantik berzina lalu berkata aku takut kepada Allah. Keenam, lelaki yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kiri tidak tahu keadaan tangan kanannya. Akhir sekali ialah lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian sehingga air matanya bercucuran. Allah cemburu sekiranya kita lupa padanya. Allah mahukan Dia sahaja di dalam hati kita. Pastikan ketika didunia kita bersama-sama dengan Allah, mudah-mudahan diakhirat kelak, Allah akan bersama-sama kita dalam jutaan manusia. Bukan itu sahaja, malah Rasullah akan mencari kita dan memberi minum dari telaganya. Maka kita tidak akan kehausan. Cuba tanamkan ketakutan kepada Allah, dan banyakkan menyendiri bersama Allah.

Bayangkan ketika sampainya saat nama kita dipanggil, dengan seruan yang keras, marilah untuk dihisab. Apakah yang akan kita lakukan dihadapan Allah? Akan terhampar lah segala amalan. Allah akan bertanya, tanpa perlu penterjermah. Kita hanya mampu melihat apa yang telah kita lakukan. Allah berkata kepada kita, bukankah aku telah memberi mu rezeki? Bukankah aku telah memberi mu kecantikan dan memerintahkan menutupi dengan hijab? Tetapi apakah yang telah kamu lakukan? Bukankah aku telah memberi mu ibu dan ayah?  Dan aku tanamkan kedua hati mereka kecintaan kepadamu? Tetapi apakah balasan mu terhadap mereka? Bukankah aku telah memberi mu kekuatan? Mengapa kalian menggunakan kekuatan itu untuk bermaksiat? Engkau telah meremehkan pertemuan dengan ku. Maka hinalah engkau.

Bayangkan sekiranya kita melafazkan dosa-dosa kita dihadapan ibubapa kita, apatah lagi jika dilafazkan dihadapan Allah. Apakah perasaan kita? Orang yang ingkar akan diusir oleh Allah untuk dihumban ke neraka oleh para malaikat. Dan berbeza pula orang yang mukmin, yang akan Allah minta mendekatinya dengan cukup lembut. Maka cahaya dan kelembutan Allah akan meliputi mereka. Maka takdir Allah menjadikan mereka merasa nyaman. Kemudian Allah bertanya, ingatkah engkau dosa ini? Ingatkah engkau dosa itu? Maka Allah berkata, aku telah menutupinya didunia, dan aku ampuni dosa mu. Itulah keadaan-keadaan yang akan kita perolehi. Di antara dua, sama ada beramal dengan amalan ahli syurga, atau sebaliknya.

Sesungguhnya rasa takut yang kita inginkan adalah rasa takut kepada Allah yang membawa kepada cinta kepadaNya. Rasulullah saw adalah orang yang paling takut kepada Allah. Hentikanlah maksiat pada saat ini. Semakin kita dekat kepada Allah, semakin kuat rasa takut kepada Allah. Dan sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah adalah orang yang paling cinta kepada Allah. Kematian merupakan penamat untuk kita beramal. Sentiasalah mengingati mati kita. Ibaratkan setiap detik yang kita lalui merupakan detik yang terakhir. Nafas yang kita tarik itu ibarat nafas yang terakhir. Walaupun umur kita mungkin baru belasan tahun, baru dua puluhan, tiga puluhan. Sebelum kita tidur, bayangkan itu adalah tidur kita yang terakhir. Kerana ketika tidur adalah waktu Allah mengambil roh kita sementara. Itu adalah kematian yang sementara. Apakah persedian kita sebelum kita kembali? Jangan kita yakin apabila kita tidur kita akan bangkit kembali. Jadi ambillah waktu yang ada itu untuk melakukan amal-amal soleh. Bertaubat kepada Allah. Andai kata Allah mengambil nyawa kita ketika itu, insyaallah kita sudah sempat bertaubat kepada Allah. Mintalah doa kepada Allah dalam setiap detik kehidupan kita.

wallahua'lam






No comments:

Post a Comment