Bismillah
Kuliah BM Fasa 1, 01 Jan 2013.
Kuliah BM Fasa 1, 01 Jan 2013.
Tilawah dan tadabbur Surah Al Imran: 25-34
Ini merupakan sebahagian daripada ayat-ayat Allah yang boleh kita tadabbur dan
mengambil pengajaran daripadanya. Mudah mudahan Allah memberikan kita kefahaman
untuk kita melihat ayat-ayat Allah ini seterusnya menjadi motivasi buat kita
untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah swt. Hati yang hidup akan
tersentuh dengan ayat-ayat Allah, dapat melihat kebesaran serta azab Allah yang
telah Allah terangkan melalui ayat-ayatNya serta menjadikan kita terasa kerdil
dan selalu mengharap bantuan dan belas kasihan daripada Allah untuk
menyelamatkan kita dari siksaanNya kelak. Berdasar ayat-ayat ini Allah
tunjukkan keesaanNya kepada kita dan pada masa yang sama Allah memberikan
galakan serta motivasi kepada kita untuk memilih jalan menuju syurgaNya.
Ayat ke 26.
Sebab penurunan ayat ini berkisar tentang kisah pada suatu
ketika dahulu di mana Rasulullah saw memohon kepada Allah agar Raja Parsi n Raja Romawi
beriman kepada Allah, lalu diturunkan ayat ini. Pada masa tersebut, kekuasaan
kerajaan ini sangat besar, sekiranya kepimpinan mereka merupakan kepimpinan
islam, hal ini akan menjadi kejayaan yang cukup
besar bagi agama islam. Melalui ayat ini Allah menerangkan bahawa Allah lah yang
berhak untuk memberikan kekuasaan seumpama itu untuk sesiapa yang dikehendakiNya.
Akhirnya umat islam berjaya mengalahkan tentera romawi dan tentera parsi. Allah
telah menjatuhkan kerajaan romawi dan parsi. Dengan kekuasaan Allah serta usaha
rasulullah saw dan para sahabat, akhirnya tentera romawi berjaya ditundukkan
dalam bentuk peperangan.
Ayat 28
Larangan memilih orang kafir sebagai pemimpin kita. Seboleh
bolehnya janganlah kita menjadikan orang-orang
kafir sebagai pemimpin kita. Sebagai mukmin, kita perlu memastikan kehidupan
di muka bumi ini ditadbir oleh orang yang beriman kepada Allah swt dengan cara dan
sistem yang ditetapkan oleh Allah, makanya orang-orang yang benar-benar beriman lah seharusnya
menjadi pemimpin. Rasulullah saw ada
bersabda daripada Abu Hurairah ra bahawa:
“kata-kata hikmah atau pelajaran itu adalah barang orang
beriman yang hilang, dimana sahaja dia menemukannya maka dia adalah orang yang
paling pantas untuk mengambilnya kembali”
Sebagai orang yang beriman, kita seharusnya mengambil pelajaran daripada alquran ini untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini. Oleh hal yang demikian, Allah utuskan kepada kita
orang yang beriman, untuk mentadbir bumi ini, bertepatan dengan sistem Allah
swt. Untuk memilih pemimpin haruslah bergariskan panduan daripada Alquran dan
sunnah. Kita akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinan yang telah kita pilih. Dalam setiap
zaman Allah memastikan adanya manusia-manusia yang akan menegakkan kalimah
Allah swt sehingga islam menjadi ustaziatul alam. Jadi kita haruslah bersedia
supaya kita ini termasuk dalam golongan yang sentiasa menegakkan kalimah Allah
di muka bumi ini.
Ayat 29
Allah swt menerangkan bahawa setiap apa yang terlafaz atau
tersembunyi itu semuanya diketahui oleh Allah swt. Secara asasnya, ayat ini
menerangkan bahawa tiada suatu apa pun yang boleh kita sembunyikan daripada Allah
swt. Seharusnya kita ingat bahawa Allah itu Maha Mengetahui, dan Dia akan
memberikan ganjaran atas setiap apa yang
kita lafazkan serta laksanakan begitu juga dengan seksaan atas setiap
kemungkaran yang dilakukan. Allah memberi dorongan untuk kita melakukan
kebaikan dengan cara satu kebaikan yg kita niatkan akan dibalas dengan ganjaran
sepertimana kita telah melakukan satu kebaikan, dan sekiranya kita mengerjakan
satu amal kebajikan, kita akan dianugerahkan dengan ganjaran pahala seolah-olah kita melakukan sepuluh kebaikan. Ini merupakan salah satu daripada galakan yang
Allah berikan kepada kita untuk kita terus melakukan amalan yang ikhlas kerana Allah.
Mudah mudahan dengan niat yang baik, Allah akan memberi motivasi buat kita untuk
beramal dan seterusnya memperolehi ganjaran yang cukup banyak daripada Allah
swt.
Ayat 30-31
Sekiranya kita mencintai Allah maka kita akan mengikuti Rasulullah
saw, serta mencontohi sunnah baginda, maka di akhirat kelak Rasulullah akan
mengenali kita. Itulah kehebatan mendapat syafaat daripada Nabi Allah. Seharusnya
di dunia ini kita memperbanyakkan taubat kepada Allah supaya dosa kita dihapuskan dan dibangkitkan dalam keadaan yang bersih
dari segala dosa di akhirat kelak. Antaranya haruslah kita sentiasa
beristighfar, bersabar dan bersyukur sekiranya ditimpakan dengan ujian. Mudah-mudahan
dengan keredhaan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Seterusnya kita
juga perlu memperbanyakkan amalan soleh kerana melalui amalan-amalan ini lah
dapat mempertingkatkan darjat kita. Allah sentiasa memberikan ruang yang banyak
untuk kita beramal kepadaNya. Apabila kita mencintai Allah maka kita mengikuti
rasulullah saw dan Allah akan mencintai kita. Bukan sahaja Allah akan mencintai
kita, malahan Dia juga akan mengampunkan dosa-dosa kita.
Melalui keikhlasan kita dalam beramal, kita haruslah
meletakkan tawakkal kita kepada Allah kerana kita sedar setiap yang berlaku
adalah ketetapan dari Allah swt. Dalam melakukan suatu amal, perlunya untuk
kita beristikharah kepada Allah swt. Sebelum kita memulakan suatu gerak kerja
atau keputusan, kita hendaklah memohon keredhaan Allah dalam istikharah kita.
Tawakkal dan istikharah adalah saling berkait rapat. Apabila kita bertawakkal
kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kita, sebelum kita memulakan tindakan
kita akan merujuk Allah swt, disitu lah lahirnya istikharah. Jolokan dari
syaitan, serta dorongan nafsu akan mendorong kita untuk melakukan kemungkaran.
Makanya kita harus berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.
Allah telah menyediakan segala kemudahan untuk kita hidup di
muka bumi ini, sewajarnya kita mencintai Allah setelah kita merasai segala
kurniaan daripadaNya. Kita mencintai Allah adalah suatu perkara yang biasa
namun apabila Allah mencintai kita, ini adalah sesuatu yang luar biasa. Orang yang berusaha
untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dengan melakukan perkara-perkara wajib
dan ditambah pula dengan amalan sunat yang ikhlas kerana Allah, dia layak mendapat
cinta Allah swt.
Hadis qudsi:
"Ada hamba-hambaku yang
sentiasa mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan yang sunat sehinggalah
Aku mencintai mereka. Apabila Aku mencintai mereka maka apabila
mereka melihat aku lah yang menjadi pandangannya, apabila mereka mendengar
Akulah yang menjadi pendengarannya, apabila mereka bertindak Akulah yang
menjadi tangannya."
Al quran sebagai motivasi hidup kita
Alquran mengandungi hikmah yang cukup banyak sebagai
inspirasi dan semangat untuk kita agar dapat kita kekalkan keimanan kita dan
memegang hidayah Allah swt. Dari alquran dan hadis, Allah menitipkan kepada
kita langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencapai kegemilangan hidup di
dunia dan di akhirat. Kehidupan alquran menjadi pedoman hidup kita bagi
memahami kehendak Allah terhadap diri kita. Sekiranya kita ingin memelihara
aqidah kita, kita harus meletakkan keyakinan dan aqidah kita berlandaskan
tuntutan alquran. Mudah mudahan alquran itu menjadi acuan bagi kita
merealisasikan cita-cita hidup. Mempelajari ilmu makrifatullah iaitu ilmu mengenal
Allah, akan dapat memberi motivasi dalaman kepada kita dan Allah akan membantu
kita untuk untuk menjalankan amanahNya dengan sempurna. Keimananan yang tinggi
dapat menaikkan semangat kita. Hidayah juga berperanan untuk memberi motivasi
kepada kita. Untuk meraih motivasi, kita haruslah terlebih dahulu mengenali
islam, iman dan ihsan. Fitrah alam semesta sebagai muslim dapat menjuruskan
kita kepada hidayah. Manusia yang tidak hidup secara fitrah akan menyimpang
dari keimanan seterusnya jauh dari sumber motivasi itu sendiri.
Muslim yang mempunyai pandangan hidup yang jelas menjadikan
alquran sebagai sumber inspirasi. Bagaimana alquran boleh menjadi motivasi
untuk kita? Melalui tilawah, hafalan, memahami tafsir dan merealisasikan ajaran
alquran dapat memotivasikan diri kita. Manusia yang berjaya merupakan manusia
yang hidup berlandaskan alquran. Manusia yang sukses dapat dilihat melalui
contoh-contoh seperti rasulullah saw, khulafa’ arrasyidin, serta ulama yang
mana mereka ini hidup berpaksikan alquran dan sunnah.
Apakah motivasi?
Berdasarkan bahasa arab, motivasi bermaksud sesuatu yang
mendorong ke depan. Motivasi merupakan sesuatu yang menolak dan meletakkan kita
di tempat yang lebih baik. Motivasi juga diertikan sebagai berkobar-kobar,
menggebu-gebu, bergelora, atau bersemangat besar. Orang yang ada motivasi
adalah orang yang memiliki semangat yang tinggi dan luar biasa. Seandainya
motivasi diletakkan sebagai suatu gerakan, ia akan menghasilkan gerakan yang
besar yang boleh melawan musuh-musuh dihadapan. Secara umumnya, motivasi adalah
daya penggerak yang mendorong hati untuk melakukan sesuatu dengan dorongan yang
hebat, digunakan untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan. Alquran merupakan
perkara pokok yang bertindak untuk membantu kita melahirkan semangat yang kuat
untuk maju ke hadapan. Di dalam alquran, motivasi spiritual digambarkan dengan
ilustrasi syurga yang akan dinikmati oleh orang yang beriman kelak.
Sebagai contohnya, firman Allah swt dari surah Al-Baqarah
ayat 25.
“Dan sampaikanlah kabar
gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan, bahawa untuk
mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai.
Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata,
“Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.” Mereka telah diberi
(buah-buahan) yang serupa.
Janji yang pasti ini menjadikan orang yang beriman terpanggil
untuk menggapainya dengan melakukan amal soleh dan istiqamah dalam beramal.
Amal soleh untuk mendapatkan syurga merupakan amal soleh yang memiliki
‘standard’ syurga Allah yang setanding dengan mahalnya harga syurga Allah itu.
Kita mampu memasuki syurga bukan dengan amalan biasa kita sahaja, tetapi juga
dengan rahmat daripada Allah. Oleh itu amalan yang dilakukan itu haruslah amalan
yang sempurna dan mencapai piawaian yang boleh diterima Allah swt dan bukannya
amalan yang dilakukan atas dasar paksaan. Kita memerlukan satu sistem yang kita
khususkan untuk beramal kepada Allah swt, sepertimana solat yang telah
ditetapkan waktunya oleh Allah dan kita perlu menjaga waktu tersebut.
Satu-satunya cara untuk kita berinteraksi dengan Allah adalah melalui solat,
jadi seharusnya kita menjaga solat kita sebaik mungkin. Amalan yang berbentuk
perintah harus dilaksanakan dengan sempurna supaya kita dapat mencapai piawaian
untuk mendapat syurga Allah swt. Keikhlasan yang diniatkan dalam sesuatu amalan
itu lah yang menjadi pengukur yang akan
menentukan kita masuk syurga atau sebaliknya. Sesuatu perkara berat yang
dilakukan dengan penuh keikhlasan menjadikan kita senang untuk melakukannya. Kita
haruslah mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu syurga kerana syurga itu juga
salah satu motivasi untuk kita istiqamah.
Melalui al-quran juga Allah mengajarkan kita bahawa sebelum
memulakan sesuatu, kita hendaklah memohon keredhaan daripada Allah swt, iaitu melalui
doa. Doa yang mencakupi dunia dan akhirat iaitu:
“Ya Tuhan kami,
berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat, dan
peliharakanlah kami daripada siksa api neraka.”
Melakukan amal soleh tanpa mengenal penat lelah merupakan
nikmat keyakinan kita terhadap kebahagiaan syurga Allah dan nikmat di akhirat
kelak. Janji yang pasti daripada Allah untuk mereka yang beriman mengenai khabar
gembira tentang syurga menjadi dorongan kepada jiwa kita untuk meraihnya. Sepertimana disebutkan dalam surah Al-Imran ayat 14-15:
"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. Katakanlah, "Maukah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Bagi orang-orang yang bertaqwa (tersedia) di sisi tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.
Dan
sebaliknya Allah juga menarik perhatian orang-orang kafir dengan memberi khabar mengenai azab yang pedih kepada orang-orang yang
ingkar supaya mereka tidak menagabaikan ajaran Allah seperti yang tersebut dalam surah al-Insyiqaq ayat 23-25:
“Dan Allah lebih
mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka). Maka sampaikanlah
kepada mereka (ancaman) azab yang pedih, kecuali orang-orang yang beriman dan
mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putusnya.”
Penerangan di atas menunjukkan itulah antara cara-cara yang Allah gunakan di dalam alquran untuk memberi dorongan yang positif kepada orang-orang yang beriman untuk terus beramal soleh. Manakala peringatan mengenai azab ditujukan kepada orang-orang kafir agar mereka berhenti daripada melakukan perkara-perkara keji.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment