Monday, March 4, 2013

Awasi Sifat Ego dan Bersederhanalah

Kuliah 28/2/2013


Assalamualaikum wrt.
Bismillahirrahmanirrahim.

Tadabbur surah ar-Rum ayat 30 – 36

Ayat 30
Fitrah dalam ayat ini bermaksud ciptaan Allah. Manusia diciptakan Allah untuk mempunyai naluri beragama iaitu beragama tauhid. Jika ada manusia yang tidak beragama tauhid, maka itu adalah sesuatu yang tidak wajar. Fitrah untuk beragama itu sebenarnya Allah telah tanam di dalam hati setiap manusia. Sekiranya mereka menutup, itulah yang dikatakan kufur disisi Allah swt. Oleh sebab itu kita perlulah menyelami hati kita ke lubuk yang paling dalam kerana disitu tersimpannya fitrah yang Allah berikan pada kita. Fitrah itulah yang mengenal ketauhidan kepada Allah swt. Apabila kita melihat sesuatu lihatlah dengan mata hati kita. Dengan itu kita akan dapat melihat kebesaran Allah, hikmah di sebalik perintah-perintah Allah. Dan kita akan melaksanakannya dengan penuh ketaatan.

Begitu juga dengan larangan Allah.  Larangan Allah adalah sesuatu yang akan membawa keburukan kepada kita. Allah menyuruh kita agar menundukkan pandangan, kerana dengan pandangan itu, akan menusuk di dalam hati kita. Apabila dosa bertapak didalam hati kita, ia akan menimbulkan titik hitam. Kita perlu sucikannya dengan taubat. Itulah antara larangan Allah yang bukan dilarang tanpa sebab tetapi kerana ingin memberikan kebaikan kepada kita. Apabila manusia berzina, lahir lah anak-anak yang tidak mempunyai keturunan. Akan membuatkan mereka itu membuang keluarga. Larangan Allah adalah satu hikmah yang Allah berikan kepada kita untuk memastikan kita sentiasa dalam keadaan yang baik.

Batas-batas hukum, perkara yang haram Allah larang kita, perkara yang halal Allah galakkan, perkara yang sunat Allah beri peluang untuk kita laksanakan.  Sekiranya kita sentiasa melakukan perkara sunat Allah akan mencintai kita. Perkara yang makruh adalah perkara yang halal tetapi Allah tidak suka kita lakukan. Kita menjauhi perkara makruh supaya kita tidak terjebak dengan perkara syubhah. Apabila kita meninggalkan perkara syubhah, ia menjauhkan kita dari perkara yang haram sebab apabila kita berada pada perkara syubhah, menandakan kita berada di jurang yang boleh menjatuhkan kita ke lembah yang haram. Jadi kita tinggalkan supaya kita selamat, kerana syaitan sentiasa menggoda kita. Sama-samalah kita mohon perlindungan Allah swt, supaya kita sentiasa diberi peluang oleh Allah untuk menyerlahkan fitrah kita.

Ayat 31
Kebanyakan manusia tidak mengetahui dan tidak mahu tunduk kepada fitrah yang diciptakan Allah swt  menyebabkan mereka melakukan kesilapan. Namun Allah  tetap nak menyelamatkan kita, Allah beri peluang untuk kita bertaubat. Dalam surah Furqan ayat 70, jika kita bertaubat dengan satu kesalahan, Allah akan gantikan dengan satu kebaikan. Bukan senang untuk kita melakukan kebaikan, maka banyakkanlah bertaubat dengan dosa lalu mudah mudahan Allah akan gandakan perbuatan baik kita.

Ayat 32
Allah memberitahu pada kita yang mana apabila berpecah-pecah pada golongan, masing – masing meninggalkan apa yang telah Allah syariatkan, mereka meninggalkan agama tauhid, mereka menganut berbagai kepercayaan mengikut keinginan mereka. Mereka merasa bangga, hebat dan merasa merekalah yang paling betul dikalangan manusia. Inilah manusia, Allah dah bagi dah yang satu, dia nak buat perkara yang salah. Kerana apa? Kerana mereka mengikut hawa nafsu dan mengikut jolokan-jolokan syaitan. Sedangkan hanya agama tauhid dan cara hidup Islam lah yang akan diterima oleh Allah. Walaupun mereka merasa hebat, tetapi itu semua tertolak di sisi Allah swt.

Ayat 33
Allah memberitahu kepada kita, yang dimaksudkan dengan rahmat adalah terlepas daripada bahaya. Rahmat adalah kasih sayang Allah, Allah sayangkan hamba-hambanya, walaupun hambanya ingkar, namun setelah ditimpakan bahaya mereka kembali kepada Allah, Allah tetap menerima mereka. Allah berikan mereka rahmat agar mereka terlepas daripada bahaya itu. Tetapi, apa yang berlaku setelah itu? Mereka kembali ingkar.

Ayat 34, 35, 36
Kalau yang pertama tadi mereka diberikan rahmat dan diselamatkan kemudian mereka mempersekutukan Allah. Dan ada juga sebahagian daripada mereka yang apabila diberikan rahmat mereka gembira, namun apabila ditimpa musibah mereka berputus asa. Maka itulah keadaan manusia. Ada juga orang yang beriman apabila mereka diberikan musibah mereka putus asa. Itu merupakan penapisan – penapisan untuk Allah menguji sejauh mana keimanan kita. Adakah kita menghadapi ujiannya dengan penuh tabah dan keredhaan atau pun kita gagal sehingga merasakan seolah olah Allah tidak sayangkan kita? Allah berikan banyak rezeki dan kemudahan tanda Allah memuliakan kita. Tetapi apabila Allah tarik kembali rezeki kita, maka dengan mudahnya kita mengatakan sesungguhnya Allah telah menghina kita.

Allah telah katakan, bukan itu hakikatnya, tetapi kerana kamu telah lupa tentang amanah dan tanggungjawab kamu kepada orang miskin, anak yatim, kamu menyayangi hartamu dengan berlebihan, menyebabkan Allah ingin menyelamatkan kita dengan menarik sebahagian harta kita supaya kita tidak lalai. Allah tegur kita dengan kesusahan. Allah ingin menguji, sama ada kita yakin dengan Allah atau kita putus asa. Contohnya dalam bab jodoh, Allah lambatkan jodoh kita. Apakah perasaan kita? Adakah kita merasa putus asa? Ataupun contohnya ada hamba Allah yang telah kecundang hatinya, telah melepaskan pandangan haram sehingga pandangan haram itu membuatkannya dia berkenan pada seorang lelaki namun lelaki itu berkahwin dengan wanita lain menyebabkan dia menyimpan perasaan yang begitu hebat sehingga sanggup terjebak kepada perkara yang haram. Dimanakah keyakinan kita terhadap Allah di tahap itu?

Oleh itu kuatkan keyakinan pada Allah, dan yakinlah bahawa setiap yang datang dan pergi adalah atas susunan Allah. Allah tidak pernah lalai dan tidak pernah tidur. Kita  perlu yakin semuanya atas kehendak Allah, sebab Allah mahukan yang terbaik untuk kita. Allah akan pastikan tidak ada satu mudarat yang berlaku keatas kita. Apabila Allah mengambil sesuatu daripada kita, ingatlah ia adalah satu teguran. Mungkin kita ada membuat sesuatu kesilapan. Jangan kita anggap bahawa hak kita telah diambil, kerana hakikatnya kita tidak mempunyai apa-apa hak terhadap apa yang berada dimuka bumi.  Apa yang Allah berikan adalah pinjaman kepada kita. Isteri yang Allah beri adalah satu pinjaman supaya kita dapat meneruskan kehidupan yang sempurna sebagai seorang hamba dimuka bumi Allah. Untuk melahirkan zuriat yang benar-benar beriman dan bertakwa supaya dapat menjadi khalifah Allah. Itu adalah sementara. Di akhirat, sekiranya seorang suami dan isteri mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah, maka Allah benarkan mereka bersama. Tetapi jika suami dan isteri membawa haluan masing – masing yang berbeza, maka di akhirat juga mereka akan terpisah kerana didunia mereka tidak bersatu untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Kesakitan itu adalah satu cara Allah sayang pada kita. Allah belum lagi mengambil nyawa kita, hanya memberi kesakitan. Allah mahu kita ingat padanya. Sakit itu salah satu cara Allah menghapuskan dosa kita. Apabila kita sakit, hati kita tidak tenang, maka perbanyakkanlah qiam, kerana ia adalah terapi yang paling baik. Apabila kita merasa resah gelisah, putus asa, ingatlah, yakinlah dengan Allah, Allah adalah Rab kita, Allah adalah Malik kita, Allah adalah Illah kita. Anak kita adalah anugerah daripada Allah, kita akan dipersoal balik tentang apa yang kita lakukan terhadap anak kita. Sebab itu, sebelum mendirikan rumah tangga, ketika kita masih menjadi seorang anak, jangan kita lakukan perkara yang Allah murka terhadap kedua ibu bapa kita.

Apabila anak kita melakukan sesuatu pada kita, contohnya mengabaikan kita ketika kita sakit, jangan kita salahkan anak, salahkan diri kita dulu. Mungkin kita ada buat perkara yang sama pada ibubapa kita dulu. Apabila kita lakukan sesuatu yang buruk pada ibubapa kita, anak-anak kita akan lakukan yang lebih teruk lagi terhadap kita. Siapa yang mendidik anak-anak? Kita. Sebab itu kita perlu tarbiyah anak-anak daripada kecil. Malah sebelum kahwin lagi, kita perlu jaga dan taat pada perintah Allah dengan sempurna, iA Allah akan bantu kita. Allah bagi kita anak-anak yang lebih taat kepada Allah. Dalam hadis Qudsi, kita melangkah pada Allah satu hasta, Allah datang pada kita satu depa. Kita perlu tunjukkan contoh pada anak-anak kita. Walaupun kita sekarang belum berkahwin, tetapi roh-roh anak-anak kita sudah berada di alam roh. Dia tahu apa yang kita buat didunia ini. Apabila kita buat perkara baik, dia seronok. Apabila kita buat perkara yang buruk, dia sedih. Sesungguhnya ini semua berlaku dalam susunan Allah dalam perancangan Allah, dan ia saling berkaitan antara satu sama lain. Allah mahukan yang soleh solehah untuk kita tapi andai kita masih ingkar, Allah tidak akan beri pada kita. Maka, sama-samalah kita berusaha untuk mentaati Allah swt.

Pesanan Luqman Al-Hakim pada anaknya.

Allah rakamkan kehebatan Luqman Al-Hakim di dalam mentarbiyah anaknya di dalam Al Quran dan menjadi tontonan dan amalan manusia sampai ke hari kiamat. Masya Allah hebatnya Luqman Al- Hakim disisi Allah swt. Allah katakan dalam surah Luqman ayat 18, dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia(kerana sombong) dan janganlah berjalan di  bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. Luqman Al-Hakim terus mengingatkan anaknya, anak ummi tengok dalam surah Luqman, ummi tak ulang dah sebab ummi dah lalui dah sebelum ni. Nasihat yang ke sembilan, awasi sifat ego dan bersederhanalah. Pesanan yang kelapan, bersabarlah atas sesuatu yang menimpa kita. Pesanan ketujuh, suruhlah melakukan perkara yang baik, dan tegahlah kemungkaran. Pesanan keenam, tunaikanlah solat dan berdakwahlah. Pesanan kelima yakinlah alam ghaib dan penyaksiaannya. Pesanan keempat kembalilah kepada Allah. Pesanan ketiga berhemah tinggi terhadap ibu bapa. Pesanan kedua bersyukur kepada Allah azawajalla. Pesanan pertama jangan sekali kali mensyirikkan Allah.

Ummi dah terangkan sampai pesanan yang ke sembilan, awasi sifat ego dan bersederhanalah. Apabila ummi sampaikan ayat ini, sama sama lah kita muhasabah diri, pernah tak kita lakukan dalam kehidupan kita? Mudah mudahan Allah beri kemudahan kepada kita untuk melakukan amal soleh selepas ini insyaAllah. Luqman al-Hakim mengingatkan anaknya janganlah memalingkan mukamu daripada manusia lantaran kesombongan dan keegoan mu terhadap mereka, sebaliknya, kita disyariatkan Allah supaya, kita temui manusia dengan wajah yang ceria dan berseri-seri tanpa ada rasa takbur dan meninggi diri. Sebab bila kita ada rasa takbur, kita akan lihat orang lain dengan masam muka.

Dan Allah turunkan dalam al Quran surah Abassa, Allah beritahu kita betapa buruknya perangai itu. Allah turunkan surah itu pada Rasullullah, walhal yang dilakukan Rasulullah itu baru sedikit. Bukan seperti kita yang bermasam muka marah dengan teruk. Tetapi pada ketika Rasulullah sedang berdakwah pada pembesar-pembesar Quraish, dengan harapan dan doa sekiranya pembesar-pembesar ini boleh menerima Islam, maka akan ramai lagilah pengikut Quraish yang akan turut beriman. Ketika itu, datanglah seorang sahabat Rasulullah Ibn Ummi Maktum yang buta, yang tidak nampak apa yang sedang Rasulullah buat, meminta Rasulullah dan memegang tangan Rasulullah untuk diajarkan Islam kepadanya. Maka pada ketika itu Rasulullah berpaling bermasam muka sedikit, mengatakan dia tidak boleh terburu-buru, bahawa dirinya sedang berurusan dengan arab Quraish. Maka disitu pun Allah tegur. Untuk menjadi contoh kepada kita. Sesungguhnya Rasulullah maksum, dipelihara daripada melakukan dosa, tetapi Allah biarkan perkara itu berlaku untuk menjadi satu syariat kepada kita, jangan kita bermasam muka.

Jadi dalam kisah ini, Luqman mengingatkan anaknya jangan sombong terhadap orang lain, sepatutnya kamu bertemu manusia dengan wajah yang berseri seri wajah yang ceria sebelum kita berkata apa apa. Sesungguhnya, interaksi muka kita dengan wajah yang berseri seri itu, insyaAllah akan menarik hati hati manusia yang bersih, yang boleh kita bentuk untuk kembali kepada Allah swt insyaAllah. Kemudian dipesan kepada anaknya jangan berjalan dimuka bumi Allah swt dengan keadaan yang angkuh. Kerana sifat tersebut adalah perkara yang menjadi kemurkaan Allah swt. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bermegah megah. Maka untuk itu, apakah yang perlu kita lakukan? Luqman al-Hakim mengatakan, bersederhanalah pada setiap langkahmu. Jangan langkahmu menunjukkan sifat lemah, hingga tidak terdaya ketika berjalan, ataupun terkinja kinja seperti orang yang nakal. Jalan kita adalah jalan seorang yang warak dan yakin diri. 

As sa’ar ini adalah satu perbuatan, yakni yang mana ia adalah satu penyakit yang dihadapi oleh unta, yang menyebabkannya memalingkan tengkuknya. Ini merupakan perumpamaan yang dilukiskan dalam al quran yang menggambarkan sifat angkuh dan sombong, dalam menegah orang muslim menyeru kepada Allah dalam keadaan berbangga, takbur, kagum dengan diri sendiri. Contohnya kita melihat peminta sedekah, kita memalingkan muka, enggan melihat, menghina, kerana apa? Kerana kita angkuh dan tidak prihatin pada orang lain. Ini adalah antara perkara yang boleh menimbulkan kemarahan manusia kepada kita sedangkan kita telah jelas bahawa, orang yang suka memalingkan muka ini adalah orang yang berpenyakit. Begitu juga dengan interaksi apabila kita berhadapan dengan orang sebegini, kita haruslah membantunya menyembuhkan penyakit ini.

Luqman mengingatkan anaknya dengan firman Allah swt tadi, dan sederhanakanlah langkah perjalananmu. Kesejahteraan dan keharmonian adalah dalam kesederhanaan pada setiap tindakan dan perkataan kita. Kita tidak tergopoh gapah, dan kita tidak mencari jalan bersifat bongkak. Langkah yang sederhana menuju kepada matlamat kita yang mulia untuk menjadi insan yang bertakwa kepada Allah swt, dan juga kita mengajak manusia kepada bertakwa kepada Allah. Dan juga kita tidak sombong, yang mana iA kita mengatur langkah menuju cita cita dengan ceria dan progressif. Kadang –kadang apabila kita hendak mengejar cita cita kita, kita mengajak orang lain, tetapi orang lain tidak mahu, orang lain lambat, kadang-kadang kita masam muka kepada mereka.

Kadang-kadang kita lupa kita sedang berinteraksi dengan hati manusia. Berkatalah dengan kata yang disukai oleh hati, berbicaralah dengan hati dengan penuh lemah lembut kerana ia akan memberi kesan yang mendalam. InsyaAllah orang akan lebih mudah untuk menerima Allah. Sebab Allah berinteraksi dengan kita dengan kasih sayang, kelembutan tetapi bukan kelemahan. Sama samalah kita mohon kepada Allah supaya Allah berikan hikmah itu, iA kita akan memilih perkara yang diredhai oleh Allah dalam usaha kita untuk berinteraksi dengan makhluk Allah yang lain. Apabila seorang mukmim berjalan tergopoh gapah, sombong bongkak, maka orang tengok beginikah orang Islam? Mereka tengok kita pun tidak lalu, apatah lagi untuk mendengar apa yang kita sampaikan. Apabila kita bertemu dengan wajah yang ceria hati yang penuh kasih sayang, maka ia akan mengalir ke seluruh tubuhnya melalui pandangan yang halal disisi Allah, ia melihat kita dengan rasa sentuhan kasih sayang. Jadi dia akan lebih mudah untuk menerima kita dan menerima apa yang kita sampaikan. Bukan untuk dekat kepada kita, tetapi untuk dekat kepada Allah. Saidatina Aishah juga menjelaskan bahawa Saidina Umar r.a telah mengatakan bahawa Rasulullah saw apabila berjalan, baginya menyegerakan langkah perjalanan, tidak terlalu lembik dan tidak terlalu gopoh. Tetapi perjalanan itu nampak seorang yang tegas, berwibawa, berketerampilan tinggi, dan berkeyakinan.

Luqman meneruskan wasiatnya, lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk buruk suara adalah suara keldai. Allah melarang kaum musyrikin meninggi ninggikan suara kerana mereka ini sering bermegah megah dengan ketinggian suara. Dan seterusnya, kaum muslimin dituntut merendahkan suara supaya suara itu tidak menyebabkan orang lain menjadi serabut dan tidak terasa hati dengan perkataan kita. Apabila kita menjerit, atau bercakap dengan suara yang berlebihan, berleter panjang, ia adalah perkara yang membingitkan telinga yang boleh merosakkan gegendang telinga dari segi saintifik. Ia juga merupakan tanda orang itu hanya memikirkan diri sendiri dan tidak prihatin terhadap orang lain. Banyak keburukan-keburukan akibat dari kita meninggikan suara.

Apa yang dimaksudkan dengan sederhana? Jadi disini kita bersederhanalah dalam berjalan, dalam memandang manusia, suara juga kita bersederhana. Pandangan, langkah dan suara. Tiga gabungan dalam membentuk keperibadian kita. Luqman menekankan bukan sahaja kepentingan apa yang disampaikan tetapi juga apa kepentingan keterampilan diri kita. Supaya kita bukanlah lemah, kolot, gopoh, sambrono, tetapi seorang yang cantik dan smart. Itulah criteria abid, anbiya, dan juga du’at. Kalau orang tengok kita, orang nampak karismatik kita. Semua ini berpunca daripada hati. Macam mana hubungan dan interaksi kita dengan Allah. Kita tidak rasa hebat dihadapan Allah, tetapi kita tawadduk di hadapan Allah, maka kita akan ditingkatkan darjatnya dihadapan manusia. Semua ini adalah anugerah daripada Allah sekiranya kita melakukan semua dengan penuh keikhlasan.

Dalam bab suara ini, kita tidak melantangkan suara kita sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang lain dan juga tidak terlalu perlahan hingga tidak kedengaran. Sesungguhnya yang terbaik adalah pertengahan. Sesiapa yang mengangkat suaranya tanpa ada sebab musabab, adalah menyerupai keldai. Dan seburuk buruk suara adalah menyerupai keldai. Orang Arab mengumpamakan keldai dengan sifat yang tercela dan kebodohan. Menyederhanakan suara melambangkan adab yang murni, kepercayaan diri dan keyakinan kepada perkara yang kita suarakan. Berlidah tadam,bercakap kasar dan suka menengking merupakan adab yang buruk dan keji. Ia akan mengundang keraguan orang yang mendengar terhadap apa yang dituturkan.

Orang yang suka memperlekehkan atau suka menjatuhkan orang lain adalah orang yang berada di martabat yang rendah. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan orang lain. Mereka adalah orang yang hina disisi Allah swt. Dari sunnah juga ada terdapat arahan bahawa perlunya menghindarkan diri daripada suasana kebingitan. Abu Hurairah ra telah mengatakan bahawa Rasulullah telah bersabda, “apabila kamu mendengar ayam berkokok, maka pohonlah daripada Allah limpahan rahmatnya kerana dia melihat malaikat. Apabila kamu mendengar suara himar iaitu suara keldai, pohonlah perlindungan daripada Allah agar dijauhi daripada syaitan kerana dia melihat syaitan.” Demikianlah dilakarkan dengan nilai moral yang terkandung dalam method al quran yang unggul dalam memancarkan nur dan hidayah Allah kedalam jiwa kita supaya kita sentiasa mendapat taufik dalam menjalankan amal yang praktikal.

Walaupun wasiat ini adalah wasiat yang telah lama termaktub dalam al quran, tetapi insyaAllah perlaksanaannya adalah evergreen. Perlaksanaannya berada di dalam suasana yang hebat disisi Allah swt. Disitulah Allah memberikan pertolongan kepada kita supaya kita dapat diberikan taufik di dalam melakukan amal yang praktikal. Kalau kita tengok, ini merupakan wasiat yang dilakukan oleh Luqman Al-Hakim pada anaknya yang boleh menjadi contoh buat kita hingga ke hari kiamat. Selagi Al Quran Allah pelihara daripada kemusnahan insyaAllah. Wasiat Luqman adalah wasiat ad din yang menggalakkan kemaslahatan individu, jemaah, dan juga ummah keseluruhannya pada setiap masa dan ketika insyaAllah.

Jadi, itulah pesanan ummi pada hari ini, dari segi mimik muka, keterampilan muka kita pandangan muka kita dengan wajah air wuduk, limpahan air wuduk yang menjadi penyucian dosa dosa kita, posture perjalanan badan kita yang meyakinkan, tidak terlalu gopoh gapah, dan tidak terlalu lemah, dan akhirnya suara kita yang merdu yang lunak, mengajak manusia beriman dan bertakwa kepada Allah swt, seruan kita yang menyebabkan manusia rasa hampir dengan Allah, itu merupakan kehebatan-kehebatan anugerah daripada Allah, apabila hati kita tunduk, cinta dan sayang kepada Allah, maka akan terzahir melalui percakapan perbuatan dan gerak langkah kita insyaAllah yang akhirnya memberi satu sentuhan kepada hamba-hamba Allah yang ada dihadapan kita.

Itulah yang nak kita tanamkan pada diri kita. Dan juga pada diri bakal isteri dan bakal suami kita nanti, dan juga zuriat zuriat kita. Mungkin kita sekarang sudah besar, mungkin kedua ibu bapa kita terlepas pandang, mungkin ada yang sempat atau tidak sempat mengajar pada kita. Masih belum terlambat untuk kita amalkan selagi pintu taubat tidak tertutup, selagi matahari tidak terbit dari sebelah barat, Allah beri peluang untuk kita bertaubat. Untuk kesilapan lalu, kita bertaubatlah supaya dengan taubatan nasuha kita tidak mengulanginya. Ingatlah kemungkinan Allah menarik nyawa kita sebentar lagi, tinggalkanlah amalan mungkar yang sedang kita lakukan sekarang, supaya Allah menerima kita sebagai abid yang diberkatinya. Dan akhir sekali untuk dosa-dosa yang akan datang, kita mohon doa supaya Allah beri perlindungan dan kita tidak terjebak dengan kesilapan.

Apa yang baik itu datangnya dari Allah, ambillah, mudah mudahan dengan amalan itu dapat meninggikan martabat disisi Allah swt dalam setiap detik kehidupan. Apa yang silap, ummi minta ampun daripada Allah, dan minta maaf pada anak-anak andai apa yang ummi sampaikan tidak menepati kehendak dan cita rasa anak anak, namun itulah yang mampu ummi sampaikan demi mencari redha Allah dunia dan akhirat.   




No comments:

Post a Comment