Saturday, January 18, 2014

Modul Gerbang Mahligai Sakinah Part III

Kuliah Baitul Muslim (13.1.2014)



InsyaAllah kuliah kali ini membincangkan tentang ibadurrahman, dalam surah Al-Furqan, 25: 63-77. Allah berfirman:

Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang hina), mereka mengucapkan kata-kata yang baik.

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal“.

Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya).

(Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina.

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

Mereka kekal di dalamnya. Surga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

(Surah Al-Furqan, 25: 63-77)

Di sini, Allah memberitahu apakah dia ciri-ciri ibadurrahman (hamba kepada Allah yang Maha Pengasih). Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, menilai semula, adakah kita mempunyai ciri- ciri yang disebut Allah ini? Marilah kita berusaha untuk mencapainya agar dapat menjadi ibadurrahman yang sebenar.

Merendah diri dalam setiap tingkah laku.

Kenapa Allah tekankan perkataan berjalan di sini? Kerana berjalan ialah natijah daripada isi hati kita. Jika isi hati kita sombong, kita akan berjalan dengan angkuh. Jika hati kita risau, kita akan berjalan dengan teragak-agak. Namun, orang yang rendah hati kepada Allah, akan berjalan dengan tenang.

Rasulullah SAW ialah contoh yang terbaik. Baginda jalan tidak terlalu laju, dan tidak terlalu perlahan, dengan penuh ketenangan.

Apabila kita merendah diri kepada Allah, kita tidak akan ada perasaan sombong kepada manusia. Sesungguhnya yang menjadi pembeza antara seorang manusia dengan yang lain, hanyalah taqwa.

Apabila disapa oleh orang jahil, ibadurrahman akan mengucapkan kata-kata yang baik kerana ingin menjaga lidah.

Ciri ibadurrahman ialah mereka akan mengucapkan yang baik, seperti mendoakan agar golongan yang jahil diberikan petunjuk dan kekuatan yang membawa mereka kepada Islam.

Ali bin Zainal Abidin (cicit kepada Nabi Muhammad SAW) pernah dikutuk oleh golongan munafik dan golongan fasik. Setiap kali dikutuk, Ali bin Zainal Abidin sentiasa mendoakan kebaikan bagi mereka. Beliau juga berkata, “Engkau hanya menyebutkan tiga daripada sifat aku, sedangkan aku mempunyai banyak lagi ciri buruk dalam diriku. Mahukah aku sebutkan?” SubhanAllah!

Beliau bersifat seperti Rasulullah, yakni tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Jika kita berhadapan dengan orang yang jahil, marilah mendoakan untuk mereka, agar pada suatu hari nanti, keimanan merekalah yang bakal menguatkan agama Islam.

Abid yang sentiasa solat dalam keadaan sujud dan berdiri pada pertengahan malam sambil memohon pertolongan Allah SWT kerana takut azab neraka.

Kisah seorang tabi’in yang sentiasa merindui malam. Apabila matahari sudah terbenam,
beliau berkata, “Saya gembira akan datangnya malam. Kerana apabila yang lain telah tidur, aku akan bersendiri dengan Allah.”

Sebelum memeluk Islam, beliau suka juga pada waktu malam, tetapi malamnya digunakan untuk mencuri dan berada bersama perempuan. Namun, selepas memeluk Islam, malam-malamnya digunakan untuk bersendirian dengan Allah.

Imam Abu Hanifah pula mampu mengkhatamkan satu Al-Quran pada satu malam. Beliau pernah juga membacakan sesuatu ayat, dalam satu tahajjud, berulang-ulang.

Ibadurrahman ketika tahajjud malam, beliau memohon perlindungan Allah daripada azab. Bukan meminta kejayaan, bukan meminta rezeki yang melimpah ruah, tetapi ibadurrahman bangkit pada waktu malam kerana takut kepada Allah. Kita beristighfar dan berdoa kepada Allah kerana kita tahu bahawa diri kita banyak berdosa.

Allah terlalu baik kepada kita tetapi kita tidak pernah mengenang jasa Allah SWT. Sukar mengucapkan perkataan tahmid. Apabila diberi sedikit ujian, kita mengeluh. Ujian ialah peringatan Allah kepada kita yang telah lalai.

Kalau kita dibiarkan dalam kesesatan, ianya dipanggil sebagai istidraj.

Marilah kita menjadi abid yang sentiasa mengenang jasa Allah.

Tidak boros dan tidak kikir.

Bagi Imam Abu Hanifah, berapa banyak yang diinfakkan untuk keluarganya, banyak itu jugalah yang akan diinfakkan kepada fakir miskin.

Imam Al-Laits bin Saad pula seorang peniaga yang kaya. Tetapi tidak pernah jatuh kewajipan berzakat kepadanya. Pendapatannya terus diinfakkan sehingga harta simpanannya tidak pernah mencapai tahap yang mewajibkannya untuk berzakat.

Ibadurrahman yang kaya, tetapi amat pemurah. Sehinggakan dirinya juga memilih untuk tidak hidup dalam kemewahan.

Sentiasa berusaha meninggalkan dosa-dosa besar seperti syirik, membunuh ataupun berzina. Mereka juga akan sentiasa bertaubat.

Setelah bertaubat, mereka akan berterusan melakukan amal soleh.

Tidak akan membuat kesaksian palsu.

Mereka akan meninggalkan tempat yang mempunyai perkara yang lagha.

Mudah menerima pandangan dan teguran apabila dinasihati.

Sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat. Ini ialah salah satu sifat ibadurrahman yang tawadhu’.

Harus berharap dan bercita-cita agar mereka akan dianugerahkan generasi pewaris yang akan meneruskan perjuangan, bermula dengan mendapat pasangan yang soleh/solehah yang bersama-sama dalam perjuangan ini atau pasangan yang menyokong, memahami dan mendokong dakwah dan perjuangan yang dibawa.

Mereka berharap dan berdoa supaya bukan dirinya sahaja yang beriman, tetapi mereka mengharapkan supaya isteri dan anak-anaknya juga mempunyai ciri yang sama. Ibadurrahman akan mendoakan bukan untuk dirinya sahaja, tapi untuk yang lain juga.
Doa ini merupakan satu doa yang tinggi darjatnya.

Sebuah pernikahan perlu dibentuk dengan ciri-ciri ibadurrahman. Tetapi ianya bermula dengan diri sendiri.

Apabila Allah mengutuskan ulama’ (orang yang mengetahui) dalam hidup kita, Allah akan memberikan segala-galanya yang dapat membantu kita melakukan ubudiyyah yang sempurna. Ulama’ ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja yang hadir dalam diri kita. Harapan, doa dan cita-cita untuk mendapat generasi yang baik bermula dengan pasangan yang baik.

Ibadurrahman mempunyai ikatan hati yang kukuh dengan Allah dan hubungan yang baik juga dengan manusia yang lain.

Selain itu, ingin juga dikongsikan sebuah kisah seorang tabi’in, iaitu Imam Hasan al-Basri.

Pada suatu masa dahulu, Hajjaj, seorang pemimpin yang angkuh dan sombong telah membina sebuah istana yang megah dan cantik. Beliau memanggil semua orang untuk melihat dan mendoakannya. Semua orang memujinya kecuali Imam Hasan al-Basri. Sebaliknya, Imam Hasan al-Basri berkata yang sesungguhnya, dahulu, Firaun juga pernah mempunyai istana yang hebat dan besar, tetapi akhirnya binasa. Hajjaj marah apabila mendengar kata-kata tersebut.

Hajjaj pun berkata, “Aku bersumpah akan membunuh Imam Hasan al-Basri!”

Keesokannya, Imam Hasan al-Basri dipanggil semula ke istana. Setibanya di istana, Hajjaj yang pada mulanya marah, telah menyambut Imam Hasan al-Basri dengan penuh penghormatan dan duduk di sebelah Imam Hasan al-Basri. Hajjaj pun bertanya tentang Islam.

Setelah kejadian itu, para pengawal Imam Hasan al-Basri bertanya kepadanya, “Apakah jampi yang kamu pakai yang menyebabkan Hajjaj lembut denganmu?”

Imam Hasan al-Basri berkata, “Aku berdoa sepanjang malam, Ya Allah, lembutkanlah hati Hajjaj dan dinginkanlah ancamannya, sepertimana Engkau mendinginkan api yang membakar Nabi Ibrahim.”

Inilah ciri ibadurrahman. Beliau zuhud dan tawaddhu’ kepada Allah. Apabila beliau berdoa, Allah pun memakbulkannya. Beliau sentiasa berusaha untuk bertawaddhu’, berkata yang baik, dan mendoakan yang baik.

Moga kita semua mendapat ibrah daripada kisah-kisah di atas dan seterusnya juga berusaha untuk memperbaiki diri menjadi ibadurrahman..



Wallahua’lam..

No comments:

Post a Comment