Saturday, January 11, 2014

Modul Gerbang Mahligai Sakinah Part II

Kuliah Baitul Muslim (6.1.2014)



Untuk mendapat rahmat sakinah dan juga kasih sayang dari Allah taala, Allah selalu menginginkan yang terbaik buat kita. Allah ciptakan kita dengan kasih sayang, nur, taufik dan hidayahNya yang mencurah kepada kita, namun, keberkesanannya kepada kita sama ada kita merasainya atau pun tidak bergantung kepada sejauh mana kita membukakan hati-hati kita untuk menerima hidayah. Apabila kita membuka hati-hati kita, insyaAllah kita akan mendapat hidayah Allah. Apabila hati kita mendapat hidayah, hati akan memberi arahan kepada seluruh anggota badan kita untuk melakukan yang halal sahaja.  Contohnya, mata yang mendapat hidayah, apabila melihat sesuatu, akan nampak kebesaran Allah, akan melihat benda-benda yang dibenarkan oleh Allah sahaja begitu juga anggota-anggota badan yang lain.

Manusia diberikan kuasa untuk memilih tidak seperti binatang. Oleh sebab itu, manusia berhak dihukum sekiranya membuat pilihan yang salah menurut Islam. Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah dan juga menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kita panduan untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. Sebagai contoh, dalam mendirikan rumah tangga, Allah telah mengajar kita bagaimana cara untuk memilih pasangan. Sekiranya fikiran kita tidak mendapat hidayah, justeru kita akan memilih untuk mengambil jalan yang selain itu. Kita akan cenderung untuk mengikut hawa nafsu yang akhirnya membawa kita kepada menonton video porno, melakukan zina dan sebagainya. Sekiranya kita tidak mendapat hidayah fitrah ini, maka hidayah taufik juga akan rosak dengan sendirinya.

TILAWAH AL-QURAN SURAH AN-NAJM: 38-58

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); (38) Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; (39) Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); (40) Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; (41) Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); (42) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (43) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan; (44) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, - (45) Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim); (46) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati); (47) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan; (48)

Pahala membaca Al-Quran sangat besar. Setiap huruf yang dibaca bersamaan 10 pahala. Jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai suatu kelaziman dalam kehidupan kita sehari-hari. Sekurang-kurangnya 1 ayat setiap hari. Kemudian, bacalah dan fahamilah maksudnya. Sekiranya ayat itu merupakan satu suruhan, maka laksanakanlah. Sekiranya ayat itu merupakan satu larangan, maka jauhilah. Contohnya, “la takrabuz zina” “janganlah engkau menghampiri zina”; maka muhasabah kembali diri kita adakah kita melakukan zina samaada zina mata, hati, telinga atau pun zina kemaluan. Sekiranya ayat itu berkenaan hukum, maka hendaklah kita letakkan hukum-hukum itu pada tempatnya. 

Ada 2 jenis hidayah iaitu hidayah fitrah yang membawa kepada taufik dan hidayah bayan. Hidayah fitrah iaitu hidayah yang diberi oleh Allah yang membawa anggota kita kepada melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Manakala hidayah bayan pula adalah hidayah yang membolehkan kita untuk membezakan yang hak dan yang batil.

Seseorang hamba itu tidak akan menanggung dosa orang lain dan tidak pula dosanya itu akan ditanggung oleh orang lain. Contohnya, sekiranya kita melihat perempuan/lelaki yang bukan muhrim dengan sengaja pada pandangan yang kedua, maka kita akan menanggung dosa kita itu sendiri. Apatah lagi sekiranya kita memandang mereka bersama nafsu syahwat dan membayang-bayangkan sesuatu yang haram. Manakala berzikir kepada Allah itu merupakan suatu kebaikan. Sekiranya kita dapat membezakan perbuatan yang berdosa dan berpahala ini, maknanya kita sudah diberikan hidayah bayan oleh Allah SWT. Sekiranya kita masih belum dapat membezakan di antara keduanya, maka hendaklah kita terus berdoa kepada Allah agar dikurniakan kedua-dua bentuk hidayah ini. Seperti mana yang kita ucapkan dalam solat kita saban hari, “ihdinassiro tolmustaqim” “tunjukilah kami jalan yang lurus”. Ketika membaca ayat ini, maka fokuslah hati kita meminta kepada Allah akan hidayahNya.

Tangan yang mendapat hidayah tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan mungkar seperti onani, mencuri dan sebagainya. Perbuatan onani atau menggunakan tangan untuk memuaskan nafsunya sendiri sangat ditegah di dalam Islam dan pelakunya termasuk dalam 7 golongan yang tidak dipandang oleh Allah di akhirat kelak. Hendaklah kita bertaubat kepada Allah sebelum nyawa di kerongkong. Kifarah dosa melakukan onani ini adalah akan ditarik rasa syahwat selepas berkahwin. Maka, bertaubatlah sebelum berkahwin agar tidak terbeban dengan kifarah dosa ini.

Dalam 7 tangga maratib amal, kita bermula dari individu muslim. Dari seorang diri, Allah kurniakan kepada kita pasangan dan seterusnya zuriat keturunan. Pada masa ini, kita akan berada di tangga kedua maratib amal iaitu baitul muslim atau keluarga muslim. Inilah yang ingin ditekankan. Barangsiapa yang mendapat hidayah Allah pasti akan memelihara kemaluannya dan tidak akan melepaskan syahwat yang tersembunyi sebaliknya akan melepaskan syahwatnya kepada pasangan yang halal. Seharusnya, setiap pasangan apabila berkahwin akan merasakan sakinah iaitu ketenangan terhadap pasangannya. Sekiranya ketenangan itu gagal diperoleh, maka semaklah kembali perhubungan itu sendiri. Boleh jadi, perkenalan dengan pasangan sebelum berkahwin itu adalah dengan cara yang salah di sisi syarak seperti berpegangan tangan sebelum nikah, ber’chatting’, berkasih sayang atau dalam erti kata yang lain, bercinta sebelum nikah dan masih lagi belum bertaubat dengan taubat nasuha. Justeru itu, selalulah buat solat taubat dan taubat lah dengan taubat nasuha. Kita sangat menekankan soal keluarga muslim ini kerana kita ingin menunaikan tanggungjawab kita sebagai abid dan khalifah itu bermula dari institusi kekeluargaan. Kita ingin melahirkan zuriat kuturunan yang soleh dan solehah serta bertakwa kepada Allah SWT dan menjadi penegak agama Allah di atas muka bumi ini. Dan akhirnya kita akan dapat mencapai tangga-tangga maratib amal yang seterusnya sehingga ke Ustaziatul Alam.

3 bekalan iaitu hati, akal dan amalan kita. Hati kita perlu ada keikhlasan, percaya akan janji Allah dan kasih sayang. Kita perlu ada rasa sayang kepada Allah. Ingatlah bahawa hati itu Allah yang pegang dan hidayah itu hak Allah. Maka teruslah memohon kepada Allah akan hidayahNya itu. Dalam solat yang kita tunaikan 5 kali sehari semalam itu, Allah minta kita memohon hidayahNya sebanyak 17kali dengan bacaan “ihdinassiro tolmustaqim” berbanding dengan memperbaharui syahadah kita yang hanya sebanyak 9kali.

Apabila kita naik ke tangga kedua iaitu baitul muslim, kita perlu menundukkan syaitan dalam diri kita. Jangan biarkan kita kalah dan tunduk kepada hasutan mereka. Contohnya, sekiranya ada was-was dalam diri kita, ikutlah cara yang diajarkan Islam kepada kita iaitu seperti yang difirmankan Allah dalam surah An-Nas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada Tuhannya manusia (1) Raja manusia (2) Sembahan manusia (3) dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi (4) yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia (5) dari (golongan) jin dan manusia (6).

Kita perlu sentiasa muhasabah diri kita adakah kita layak untuk mendapat pasangan yang soleh atau solehah sedangkan diri kita sendiri sedang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Namun, sekiranya kita sudah bertaubat tapi masih lagi terbit rasa rendah diri dan tidak yakin untuk mendirikan rumah tangga, maka seharusnya kita pohon kepada Allah agar dijauhkan dari gangguan syaitan.
Wallahua’lam.



  

No comments:

Post a Comment