Kuliah Baitul Muslim (9.12.2013)
Tadabbur surah
Fatir ayat 41, “Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi
supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya; dan
jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat
menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Ia Maha
Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
Begitu
besarnya kehadiran Allah swt sehingga Allah sendiri membuat perumpamaan fitrah
tersebut kepada hampir sebahagian besar makhluknya. Contoh-contoh fitrah alam
semesta yang Allah cerita kepada kita iaitu tentang burung, binatang-binatang,
matahari dan semua ciptaan Allah yang lain. Allah menciptakan semuanya sebagai
makhluk yang sentiasa menyerahkan diri atau sentiasa mengikut perintah arahan
dan sususan Allah. Kita tengok ciptaan Allah di langit dan juga dibumi semuanya
hidup, membesar kemudian menjadi mati, semua itu terjadi dalam perancangan
Allah swt. Yang mana Allah telah menetapkan ukurannya, dan ukuran itu sangat
tepat. Semua itu berlaku dalam kawalan, jagaan dan peliharaan Allah. Yang mana
pada hari kiamat, semua yg seimbang td akan menjadi kucar kacir, bintang yang
kini teletak elok ditahan langit pada hari kiamat nanti akan meletup, pecah
bertaburan jatuh ke bumi.
Jadi sekiranya
ketika melihat sekeliling kita menggunakan mata hati, kita akan dapat melihat
kebesaran Allah, kita akan dapat merasai hubungan rapat kita dengan Allah swt. Allah
menahan dari berlakunya kehancuran pada seluruh manusia supaya kita dapat
mencapai matlamat kita dihidupkan oleh Allah. Dalam ayat tadi Allah kata kenapa
langit tidak jatuh? Kerana Allah lah yang menahannya. Dan bumi kenapa tidak
bergoyang? Tidak terbalik? Itu semua kerana Allah yang menahannya. Tetapi ada
masanya apabila Allah akan memberi arahan pada bumi dan langit untuk menurunkan
hujan sehingga berlaku banjir dan sebagainya. Itu juga semua berlakunya atas
arahan Allah. Ditempat-tempat yang tidak pernah berlakunya banjir, tiba-tiba
banjir, maka itu adalah peringatan daripada Allah.
Allah
memerintahkan kita agar mengeluarkan zakat, membantu orang miskin, bersedekah
dengan ikhlas. Di dalam hadis Rasulullah, terdapat tiga peringatan kepada kita
sekiranya kita tidak mengeluarkan harta dengan ikhlas. Peringatan Allah turun
dalam 3 cara, yang pertama iaitu dari cara kebakaran, kedua dengan cara
kecurian dan yang ketiga dengan banjir. Rasulullah saw juga berdoa kepada Allah
supaya umat manusia ini tidak dihapuskan secara habis sebagaimana yang berlaku
kepada kaum nabi Nuh as dimana banjir besar berlaku dan hancurlah kesemua
hamba-hamba Allah yang ingkar melainkan Nabi Nuh dan mereka yang beriman dan
bertakwa. Allah telah menurunkan arahan agar membina bahtera dan mengumpulkan
segala jenis binatang sebagai bekalan. Dan Allah mengarahkan supaya membaca
doa, “Bismillahi Majreha wa Mursaha” maksudnya bacalah bismillah ketika kamu
melayarkan bahtera itu dan ketika kamu melabuhkan bahtera itu.
Itu semua
adalah sususan Allah yang perlu kita ambil pengajaran dan iktibar dan kita dapat
lihat betapa besarnya kecintaan Allah kepada alam semesta. Dan seterusnya Allah
kata dalam surah An Nahl ayat 79, “Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung
yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka
(dari jatuh) melainkan Allah sesungguhnya pada yang demikian itu, ada
tanda-tanda bagi kaum yang beriman”. Itulah besarnya kehendak Allah swt pada
alam semesta, Allah kawal semuanya agar tidak membawa musibah kepada manusia
agar kita mudah dapat beribadah kepada Allah, mudah melakukan pentadbiran muka
bumi Allah.
Rasulullah saw
berdoa agar Allah tidak menghapuskan umatnya sehabis habisnya melalui 3 cara,
yang pertama supaya tidak dihapuskan oleh musuh, yang kedua bencana alam
termasuk banjir gempa bumi atau sebagainya, dan yang ketiga Rasulullah juga
berdoa agar Allah tidak membiarkan umatnya berpecah belah. Doa Rasulullah yang
pertama dan kedua dimakbulkan oleh Allah, namun doa yang ketiga Allah tidak
makbulkan. Rasulullah menangis bertahajud memohon agar Allah memakbulkan doa
yang ketiga namun Allah tetap tidak memakbulkan kerana Allah ingin menguji
siapa di antara umat Rasulullah saw ini yang betul-betul ikhlas beriman kepada
Allah dan mengikut sunnah Rasulullah saw. Kerana sekiranya benar mereka
berpegang dan bersatu pada tali Allah, mereka tidak akan berpecah belah. Kalau
suami dan isteri ingat kepada Allah mereka tidak akan bercerai berai.
Suami atau
isteri yang Allah anugerahkan kepada kita adalah pilihan Allah. Apabila kita
rasa kebesaran Allah dengan isteri atau suami yang Allah anugerahkan adalah
yang terbaik buat kita, maka setiap kali kita pandang isteri atau suami, kita
lihat kebesaran Allah. Maka kita akan sentiasa menghargainya sebab antara
ramai-ramai yang ada diluar sana, Allah beri dia kepada kita. Jadi sekiranya
kita letak Allah dihati kita insyaAllah tidak akan berlaku perceraian. Itu
salah satu contoh interaksi Allah kepada kita supaya kita mempunyai satu
hubungan yang akrab dengan fitrah Al-Quran maka Allah terus berfirman dalam
surah An-Nahl ayat 79 tadi. Kadang-kadang kita tengok kapal terbang dan
sebagainya, itu semua adalah kelebihan yang Allah bagi pada hamba-hamba Allah
yang terpilih, untuk mencipta satu pengangkutan daripada konsep yang Allah
tunjukkan pada burung dalam ayat tadi.
Mengikut
pengalaman ummi sendiri, baru-baru ini Allah jemput ummi ke Mekah dalam cara
yang paling istimewa yang ummi dapat rasakan sendiri, walaupun dalam keadaan
kita banyak dosa, banyak melakukan kesilapan, tetapi Allah jemput sebagai
tetamu Allah. Kegembiraan yang amat sangat dapat berada di rumahNya, ditempat
penumpuan ubudiyyah, semua manusia menumpukan pada satu arah iaitu baitullah
dan itulah ummah Allah swt. Kita tidak menyembah kaabah, tetapi kita khusyuk
fokus penumpuan kita pada Allah dan Allah kurnikan kiblah itu sebagai satu arah
buat kita. Mengikut pengalaman ummi, walaupun untuk pergi kesana ummi tidak
sempat mengikuti kursus penuh, tetapi ummi niatkan untuk pergi menjadi tetamu
Allah disana daripada kecik, dan ummi berdoa pada Allah, solat hajat, kalau
boleh, Allah jemput dan pilih kita menjadi tetamunya yang paling istimewa,
dengan cara yang paling istimewa, pada waktu yang paling istimewa disisiNya. Dan
alhamdulillah Allah pilih ummi dengan cara yang paling istimewa.
Pada ummi,
semua perjalan ummi disana Allah muliakan. Ummi rasakan Allah cukup baik kepada
kita, Allah bagi semua benda, Cuma ummi sentiasa menilai diri ummi, ummi banyak
melakukan kesilapan, tetapi Allah masih sayang kita, Allah permudahkan semua
untuk kita. Dari perjalanan awal ke lapangan terbang hingga ke sana Allah bagi
dapat hotel yang dekat, diberi makanan yang cukup istimewa, terasa sangat
disayangi Allah dan Allah permudahkan semua perkara. Itulah yang ummi rasa,
ketika kita hidup dirumah kita, kita hanya solat berkiblatkan baitullah dari
jauh sahaja, tetapi apabila berada betul-betul dihadapan rumah Allah, itulah
perasaan yang paling istimewa. Apabila kita ikhlas, Allah akan permudahkan
banyak perkara, Allah akan sentiasa tenangkan hati kita, dan Allah berikan
kesabaran pada kita. Apa-apa pun kita redha, dan bersyukur kepada Allah swt.
Ketika di
raudhah, tempat yang mustajab untuk berdoa, ummi ingat Rasulullah pernah berdoa
pada Allah, ummi sambungkan doa Rasulullah, doa untuk anak anak yang telah
Allah pilih, untuk Allah beri peluang ummi sentuh hati-hatinya, supaya mereka
inilah yang akan menjadi penghuni jannatul firdaus bersama baginda Rasulullah
saw. Dan ummi doa supaya Allah beri kita kekuatan, untuk mengajak ummah kepada
Allah swt, dan ummi doakan juga walaupun tidak disebut nama seorang demi
seorang, tetapi ummi doakan kuliah yang ummi buat untuk membantu anak-anak supaya
dapat membina diri, keluarga, masyarakat, kerajaan, ummah dengan Islam sebagai
ustaziyatul alam. Semoga Allah satukan hati kita, dengan cinta Allah swt, dan
juga semoga Allah permudahkan jodoh anak-anak ummi yang Allah beri peluang
dipertemukan dengan ummi.
Jadi, tadi
Allah ceritakan tentang langit, bumi yang Allah pelihara, dan kemudian burung
yang bebas. Dan Allah katakan dalam surah al-an am ayat 38 “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di
bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan
mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab
Al-Quran ini; kemudian kepada Tuhan mereka semuanya akan dihimpunkan.” Al quran
memberi tahu kita dalam bahasa yang sangat indah, contohnya matahari sebagai
sumber kehidupan, binatang burung dan lain-lain juga seperti kita. Allah kata
tidak akan mungkin bagi matahari, mendapatkan bulan, dan malam pun tidak dapat
mendahului siang, dan masing-masing beredar pada garis edaran sendiri. Jadi
kalau kita lihat, ciptaan Allah swt, yang Allah berikan dan beritahu pada kita
dalam al quran membuktikan bahawa alam semesta dan isinya berjalan sesuai
dengan fitrahnya. Mereka patuh dan tunduk pada ketentuan Allah. Tidak ada satu
pun diantara mereka, yang bangkang pada perintah Allah.
Bandingkan
dengan kita, cuba kita nilai balik diri kita, adakah kita pernah bersikap
sombong, yang mana kita enggan tunduk kepada titah Allah swt. Ada atau tidak
amalan yang kita langgar pada hari ini? Ada atau tidak perbuatan kita yang kita
langgar perintah Allah? Dan bandingkan dengan alam Allah swt tadi, kalau
matahari ingkar pada Allah, dia akan hancur, tetapi manusia Allah berikan
peluang. Walaupun silap kita sebesar gunung, sepenuh langit bumi, andai kita
bertaubat, Allah tetap bersifat kasih dan sayang pada kita dan Allah terima
kita. Dalam surah Al Ahzab ayat 72 “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat
kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul
amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu
oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh”.
Langit, bumi
dan gunung semua takut, tapi manusia terima, kerana ingat, Allah memberikan
kepada setiap manusia itu kecenderungan positif dan negatif, Allah tahu kita
mampu buat sebab Allah maha berkuasa kepada kita, tetapi Allah memberikan kuasa
kepada kita iaitu kuasa memilih. Kerana itulah adanya dosa dan pahala, syurga
dan neraka. Dalam surah As Syam ayat 8 hingga 10, “Dan di antara manusia ada
yang berkata: ‘Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat’ padahal
mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan
orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri,
sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu)
terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit
itu kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” Allah
kurniakan pada manusia kecenderungan positif dan negatif. Kecenderungan positif
ada pada fitrah. Fitrah boleh melihat, memahami dan memeluk kebenaran daripada
Allah dengan hidayah. Allah mahukan kita mengikut fitrah positif ini
sebenarnya, namun manusia kadang-kadang tersilap mengambil peluang, hidayah
ditutup sendiri oleh nafsu. Jadi kalau kita tidak mendapat hidayah, jangan
salahkan orang lain. Kita perlu mintak pada Allah agar Allah beri kita hidayah.
Seterusnya,
Allah saja membiarkan manusia hidup di atas tanah, sebab peluang untuk
melakukan pilihan menjadi terbuka dan peluang untuk mengadahkan diri ke hadrat
Allah dengan menjalankan ibadat dan kesempatan untuk bertaubat juga lebih
terbuka. Itulah tujuan fitrah manusia dihidupkan di atas muka bumi, manusia
bukanlah seperti malaikat yang terpelihara dari sebarang dosa, bukan seperti
haiwan yang sentiasa menyalurkan hasrat nafsunya kehendak perut, tetapi manusia
adalah makhluk pertengahan diantara keduanya dengan dibekali unsur roh dan
fizikal secara sempurna agar kelak kita mampu untuk mengorientasikan kehidupan
kita berdasarkan kepada fitrah yang cenderung kepada positif. Itulah kekuatan
kita sebenarnya yang Allah berikan dalam diri kita sebab apabila kita lihat
alam yang berada disekeliling kita, sentiasa tunduk dan taat kepada Allah.
Mudah mudahan ia akan menginsafkan diri kita.
Allah
memberikan semua kepada kita dan cumanya bagaimanakah kita menyambut kasih
sayang Allah. Apa yang disampaikan ini semuanya datang dari Allah, sekiranya
hati-hati kita tersentuh, maka tandanya itu cinta Allah kepada kita. Namun sekiranya
kita tidak merasa apa-apa maka mohonlah hidayah dari Allah supaya masa yang
Allah berikan kepada kita, kita tidak kerugian. Kerana pada ketika ini, Allah
boleh ambil kita. Apa yang kita lakukan didunia, itulah yang kita akan dapat di
akhirat. Kalau amal soleh yang kita lakukan, untunglah kita disisi Allah. Tapi
dalam jangka waktu umur yang Allah berikan pada kita, kita sia siakan, apakah
bekal yang tinggal untuk kita bawa kelak? Kalau waktu kita sendirian pun kita
tidak mampu merasa cinta pada Allah, apatah lagi ketika kita sudah bersuami
atau beristeri.
Sama samalah
kita memohon doa kepada Allah supaya Allah berikan kita kekuatan, kesabaran dan
istiqamah ketika melakukan ibadah dan juga amanah untuk kita mengendalikan bumi
Allah. Pengalaman ummi ketika melihat ramai ummah mngerjakan haji, yang
berbagai bagai perangai, kita berdoa kepada Allah agar ampuni mereka, ampuni
kita dan Allah beri peluang untuk beramal sebagai mana amalan haji Rasulullah
di Mekah. Sama samalah kita tanam niat pada hari ini untuk dijemput Allah
menjadi tetamunya di Mekah. Kerana ketika kita mengerjakan haji di Mekah ia
mengajar kita erti suasana dipadang mahsyar terutama ketika wukuf di Arafah.
Sekiranya kita melebihkan Allah dalam segala galanya insyaAllah ketika kita
dijemput untuk menjadi tetamunya, Allah permudahkan segalanya insyaAllah.
No comments:
Post a Comment