Sunday, May 12, 2013

Silaturrahim dan Kebaktian kepada Ibu Bapa


Kuliah Baitul Muslim
9 Mei 2013

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT.

Di akhirat kelak, kita akan dihisab oleh Allah SWT. Di padang mahsyar, kita akan diberikan buku amalan kita di dunia. Segala amal perbuatan kita di dunia akan ditanyakan kembali di hadapan Allah kelak. Semoga kita tidak tergelincir dari jalan yang lurus sepanjang hayat kita di dunia ini insyaAllah. Apabila nyawa kita ditarik, maka bermulalah saat penghisaban. Seandainya dosa-dosa kita masih belum terhapus di dunia dan juga di alam barzakh, maka penghisaban akan diteruskan di alam akhirat. Jika dosa-dosa kita masih lagi banyak, maka akan menjadi beratlah timbangan amalan buruk kita yang akan membawa kita ke neraka.

Tetapi, sekiranya di dunia ini kita selalu menjaga hubungan kita dengan Allah, insyaAllah sedikit demi sedikit dosa-dosa kita akan terhapus di dunia dan di alam barzakh dan memudahkan urusan penghisaban di akhirat kelak. Allah memberikan masa kepada kita di dunia ini untuk beribadah kepadaNya. Justeru itu, janganlah kita lalai dalam memanfaatkan masa yang diberikan itu dengan melakukan perkara-perkara selain beribadah kepadaNya. Jika banyak masa kita dihabiskan untuk mengingati Allah, insyaAllah segala urusan di akhirat kelak akan menjadi mudah.

Bukan hanya hubungan dengan Allah yang perlu dijaga, tetapi hubungan sesama manusia juga harus dijaga iaitu hubungan dengan ibu, ayah, suami/isteri, anak-anak dan lain-lain.

Dalam surah Al-Hujurat ayat 10-12, Allah berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”

“Wahai orang-orang yang beriman!Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

“Wahai orang-orang yang beriman!Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”

Sekiranya ada di antara saudara kita yang bertelagah, maka kita seharusnya menjadi pendamai di antara mereka dan membawa mereka kembali kepada ketakwaan kepada Allah SWT. Hakikatnya, semua ini bermula dari rumah. Seandainya anak-anak dididik dengan baik oleh kedua ibu bapa, diajar sedari kecil lagi untuk saling menghormati, maka apabila mereka besar kelak, mereka akan keluar ke dalam masyarakat dengan membawa sikap yang baik juga yakni sikap saling menghormati dan tidak suka kepada pergaduhan dan sebagainya. Makanya, di sinilah peranan kita sebagai ibu bapa mahupun bakal-bakal ibu dan bapa untuk mendidik dan mentarbiyah anak-anak terutamanya dengan menjadi qudwah hasanah iaitu contoh yang baik kepada anak-anak.


Syaitan akan meracuni kita dengan memasukkan prasangka-prasangka yang buruk ke dalam hati kita terhadap orang lain dan seterusnya timbullah perpecahan. Kerana prasangka yang buruk itulah, kita akan cenderung untuk mengata, mengutuk dan mengumpat orang lain.


SILATURRAHIM DAN KEBAKTIAN KEPADA IBU BAPA
  
Dalam surah An-Nisa’ ayat 1, Allah berfirman:

“Wahai manusia!Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari dirinya, dan dari keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi  kamu.”

Allah berfirman lagi dalam surah Muhammad ayat 22-23:

“Maka apakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan berbuat kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?”

“Mereka itulah orang-orang yang dikutuk Allah, lalu dibuat tuli (pendengarannya) dan dibutakan penglihatannya.”

Surah Al-Baqarah ayat 27:

“(iaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah setelah (perjanjian) itu diteguhkan, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah untuk disambungkan dan berbuat kerosakan di bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” 

Imam Bukhari meriwayatkan dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah, beliau berkata, “Telah bersabda Rasulullah SAW, “Allah telah menciptakan makhluk, setelah rampung maka rahim berdiri seraya berkata, “Ini makam orang yang memohon perlindunganMu dari memutuskan silaturrahim.” Allah menyahut, “Ya. Tidakkah engkau rela Aku menghubungi orang yang menghubungimu dan Aku putuskan orang yang memutuskanmu?” Rahim menjawab, “Ya, aku rela.” Allah berkata, “Demikianlah pula untukmu.”

Hadis Rasulullah SAW: “Bacalah jika mahu, apakah sekiranya kamu jadi wali (berkuasa), kamu akan membuat bencana di bumi Allah dan memutuskan silaturrahim? Mereka itulah yang dikutuk oleh Allah. Lalu Dia memekakkan mereka dan membutakan pandangan mereka.”

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada dosa yang lebih berhak Allah segerakan turunnya azab seksa di dunia dan Allah simpankan pula azab untuknya di akhirat, iaitu mereka yang derhaka kepada orang tua dan memutuskan silaturrahim.”
Dari Jubair bin Muth’im r.a, telah sampai kepadanya hadis Nabi SAW yang berbunyi, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” 

Hadis: “Amal-amal bani Adam, setiap Khamis malam Jumaat dinaikkan. Maka tidak diterima amal-amal orang yang memutuskan silaturrahim.”

Hadis: “Tiga orang tidak akan masuk syurga iaitu yang pertama orang yang membiasakan minum arak, yang kedua orang yang memutuskan silaturrahim dan yang ketiga orang yang membenarkan sihir.”

Hadis: “Suatu kaum dari umat ini telah bermalam dengan makanan, minuman, bermain dan bersuka-suka. Hingga di pagi hari mereka berubah menjadi kera dan khinzir. Untuk kemudian mereka ditimpa kegelapan dan tuduhan sampai  orang mengatakan “Malam telah menenggelamkan si fulan dan membinasakan rumah si fulan. Sesungguhnya, akan dikurniakan kepada mereka batu-batu dari langit seperti yang terjadi kepada kaum Lut menimpa tiap kalilah dan rumah mereka. Akan dikirim kepada mereka angin kencang yang membinasakan tiap kalilah dan rumah kaum Ad akibat mereka suka minum arak dan memakai sutera, menikmati biduan (pelacur) dan memakan riba dan memutuskan silaturrahim.”

Dari Ibnu Jabir telah berkata, “Rasulullah SAW menghampiri kami saat kami sedang berkumpul seraya Baginda SAW bersabda, “Wahai kaum muslimin, takutlah kepada Allah dan lakukanlah silaturrahim, sesungguhnya tiada pahala yang lebih cepat daripada silaturrahim. Hindarkanlah kelacutan kerana tiada seksa yang lebih cepat dari seksa lacut dan hindarkan dari menderhakai orang tua kerana angin syurga yang bertiup dari perjalanan seribu tahun, demi Allah tidak akan dicium oleh orang yang menderhaka kepada kedua orang tua dan tidak pula oleh orang tua yang berzina atau jiran yang sombong, sesungguhnya sombong itu hanyalah milik Allah.”

Para sahabat telah berkata, “Kami sedang duduk-duduk disisi Rasulullah SAW, kemudian Baginda SAW telah berpesan, “Jangan ada yang duduk bersama kami hari ini orang yang memutuskan silaturrahim.” Seorang sahabat lantas bangun dan pergi mendapatkan ibu saudaranya dan memohon maaf kerana telah memutuskan silaturrahim dan kemudiannya setelah itu kembali kepada Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang lain.”

Hadis: “Sesungguhnya rahmat tidak akan turun pada kaum yang di situ terdapat orang yang memutuskan silaturrahim.”

Hadis (Imam At-Tabrani): “Malaikat tidak mahu turun kepada kaum yang terdapat orang yang memutuskan silaturrahim.”

Imam At-Tabrani juga meriwayatkan, Ibnu Mas’ud duduk selama selepas subuh dalam satu bulatan lalu beliau berkata, “Semoga Allah menyingkirkan orang yang memutuskan silaturrahim. Jika ia telah pergi dari situ, maka kita akan panjatkan doa kepada Tuhan kita. Sesungguhnya pintu langit terkunci kecuali bila tidak ada orang yang memutuskan silaturrahim.”

Hadis: Allah SWT telah berfirman, “Aku Allah, Aku Maha Pengasih, Aku ciptakan rahim, Aku akan amilkan untuknya nama dari namaKu supaya sesiapa yang menghubungkannya, maka Aku akan menghubunginya. Sesiapa yang memutuskannya, maka Aku pun akan memutuskannya.”

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment