Monday, May 20, 2013

Jalankan amanah Allah



  Kuliah Baitul Muslim (14.05.2013)   

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, rabb sekelian alam, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Allah yang menguasai hari kiamat. Nikmat yang diberikan dalam bentuk rezeki, santapan fizikal, nikmat hidayah dan santapan rohani. Allah berikan rezeki yang mudah disekeliling kita. Badan menjadi lebih sihat dan bertenaga untuk kita menjalankan amanah iaitu menjadi abid Allah yang taat dan kasih kepada Allah dan menyedari bahawa setiap detik  kita tidak pernah alpa dari pemerhatian Allah. Allah sentiasa mencurahkan hidayah, masuk ke benjana diri manusia iaitu hati manusia. Apabila kita membuka hati, masuklah hidayah Allah yang mengalir dalam seluruh aliran darah seterusnya membentuk akidah dan keyakinan.

          Meng'esa' kan Allah sebagai Rabb, Tuhan dengan tazakur.  Tazakur bermaksud setiap saat kita dalam keadaan berzikir (baik isi hati, gerak gerik, dan kerangka berfikir kita), karena hal inilah yang akan menyelamatkan kita. Kita hadamkan hidayah Allah ke seluruh anggota , fikiran dan menggerakkan darah-darah. Jasmani dipandu untuk mengerakkan keyakinan dan akidah ketakwaan kepada Allah. Kita mengerakkan pemikiran dalam menuju kepada ketetapan dan sistem yang ditetapkan Allah. Kita hendaklah mencerna amalan-amalan soleh. Orang-orang yang bertakwa ialah yang memberikan kebaikan serta mengundang rahmat atau kasih sayang Allah. Hasil dari keikhlasan membuka pintu hati, apabila membuka hati untuk mengenali Allah. Allah telah menanamkan atau menyiramkan benih fitrah dalam diri serta lubuk hati paling dalam. Hanya orang yang kufur yang menutup pintu hati mereka. Hati mereka lalai, jika mereka terus tutup pintu hati. Allah akan kunci pintu hati mereka. Apabila manusia menutup pintu hati mereka, Allah akan kunci mati hati mereka. Itulah yang berlaku kepada golongan kafirun.

          Orang yang bertakwa, yakin dan menerima dengan hati, lafazkan dengan kata-kata bicara iaitu bicara-bicara takwa,  tauhid,  zikrullah seterusnya lahirkan dalam bentuk amalan. Amalan orang bertakwa, amalan seorang mukmin, amalan seorang mutaqqin, amalan seorang mukhlisin. Itu adalah hamba-hamba Allah yang bertakwa. Allah menyatakan bahawa al-Quran itu yang tidak ada keraguan, di dalamnya banyak perkara-perkara yang ghaib tetapi bagi seorang yang bertakwa, kita menerimanya dengan penuh ketaatan kepada Allah.

          Bagi orang-orang yang kafir, orang yang enggan mendengar kata-kata Allah S.W.T., apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka mereka seolah-olah tidak mendengar dan seterusnya mereke metutup telinga-telinga mereka. Bayangkan diri kita, apabila ayat-ayat Allah dibacakan, bagaimana kita? Adakah kita seorang pendengar yang baik? Terutama apabila al-Quran dibacakan. Itu adalah satu petanda samada kita ini adalah hamba-hamba Allah yang mendengar atau orang-orang yang kufur. Lihat kembali adakah kita seorang yang munafik.

          Saat ketika apabila kita mengingati Allah dan kita merasa cinta dengan Allah. Ataupun apabila kita dalam keadaan digoda nafsu kita sendiri, kita menjadi lalai. Kita merasakan seronok untuk melakukan dosa, kita tidak rasa takut dengan Allah, kita tidak merasakan yang kita sentiasa berada di dalam cctv Allah dan kita berada di dalam pita rakaman yang sentiasa tidak akan kehabisan bateri sampai ke hari kiamat. Allah tidak pernah tidur, Allah sentiasa memerhatikan diri kita. Apabila kita merasakan Allah memerhatikan kita, berapa minitkah kita mengingati Allah secara 'fokus ', berapa lama kita luangkan masa untuk munajat kepada Allah di malam hari? Ataupun ketika kita belajar, kita seharusnya sedar ilmu yang diberikan itu adalah ilmu Allah. Betapa sedikitnya ilmu kita untuk dibandingkan dengan  ilmu Allah. Ataukah kita adalah golongan munafik yang menipu Allah. Kita  melakukan dosa, kita lupa untuk bertaubat. Apabila kita merasa nafsu kita memberontak, kita tunduk dan akur merelakan diri kita untuk ditunggangi oleh nafsu kita sendiri. Kita hanyut dalam tarikan nafsu kita samada nafsu makan, nafsu tidur, nafsu syahwat, nafsu tamak, nafsu berdendam dengan manusia lain ataupun apa sahaja bentuk-bentuk keburukan.

          Waktu yang diberikan, kita gunakan untuk  memenuhi perjanjian dengan Allah S.W.T. Golongan fasikun adalah golongan orang-orang yang Allah pesan kepada kita, dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Apabila kita melupakan Allah, Allah akan melupakan kita. Bagaimana kita hendak detect Allah melupakan kita ialah dengan kita tidak sedar dengan apa yang kita lakukan. Kita tidak sedar samada buruk atau baik benda yang kita lakukan. Kita hanya hidup berterusan mengikut edaran hidup kita. Kehidupan tanpa matlamat, kehidupan tanpa kita sedar bahawa masa yang Allah bagi kepada kita akan berakhir satu masa nanti. Kita hidup di dunia seolah-olah kita merasakan seolah-olah kita akan hidup sepanjang tahun ataupun kita akan hidup sepanjang umur di dunia ataupun hidup akan berterusan tanpa akan berakhir. Kita lupa bahawa kita akan kembali kepada Allah. Namun ketika nyawa sudah sampai ke tenggorok, baru ketika itulah kita menerima hakikat bahawa hidup ini sudah sampai ke penghujung. Namun kita harus ingat bahawa ketika itu pintu taubat sudah tertutup, kerana Allah tahu ketika manusia berada dalam keadaan tertekan, dalam keadaan kesempitan, dalam keadaan nyawa di hujung tanduk memang mereka akan kembali kepada Allah. Ketika itu sudah terlambat. Waktu terus berlalu sedangkan dosa terus bertambah. Malaikat maut datang bertamu, namun hati tetap lalai. Nikmatmu di dunia hanyalah kepalsuan dan kerugian.

          Abu Ali berkata:
          ” Aku datang menjenguk lelaki soleh sedang  sakit, dia dikerumuni oleh murid-muridnya. Ketika itu dia kelihatan menangis padahal umurnya memang sudah lanjut maka dia berkata, wahai Syeikh mengapakah kamu menangisi? Aku menangis kerana aku tidak boleh melakukan solat lagi. Aku bertanya lagi, mengapa demikian? Padahal engkau telah banyak solat. Dia menerangkan kerana ini adalah hari terakhir bagiku. Padahal aku sujud dalam keadaan lalai, aku angkat kepalaku juga dalam keadaan lalai. Jangan-jangan aku mati dalam keadaan lalai juga. Kemudian dengan nafaz terputus-putus dia membacakan syair: Ku fikirkan hari perhimpunan dan  kiamat, juga tertanamnya pipiku di bawah pusara, sendirian tanpa teman, tubuhku tergadai dengan tanah liat, ku renungkan panjang dan lebarnya hisab juga hinanya makamku waktu diberi kitab, namun harapanku kepada engkau wahai Tuhanku, wahai Penciptaku, Engkau ampunilah kesalahanku.”
  
Manusia ada berbicara tiga hal:  

1.      Kita kata, kita hamba Allah, tetapi tidak merasa kewujudan Allah bersama.
  • Nilai balik diri kita. Adakah ini yang kita bicarakan? Kita kata kita hamba Allah, tetapi kita berbuat bebas seolah-olah kita tidak meraskan kewujudan Allah bersama-sama dengan kita.
2.      Kita kata Allah yang menanggung rezeki kita, namun hati kita akan merasa tenang jika bersama    dengan harta.
  •  Ini bertentangan denganucapan kita.
3.      Kita kata kita mesti akan mati
  •   Tetapi apabila kita melakukan sesuatu, kita menjalani kehidupan kita di muka bumi Allah SWT ini bagaikan orang yang tidak akan mati. Satu lagi bertentangan dengan ucapan kita.


Sama-samalah kita muhsabah diri kita dengan badan yang mana kita menghadap Allah, dengan lisan apakah yang kita akan menjawab segala apa yang kita lakukan di hadapan Allah di akhirat kelak. Apakah yang akan kita katakan kepada Allah bila Allah bertanya kepada kita. Apakah jawapan yang benar tentang apa yang Allah tanyakan kepada kita. Kenapa kita lakukan perkara-perkara tersebut, pastikan niat dan alasan yang diberikan, jawapan yang diberikan pastikan jawapan yang diterima oleh Allah. Sekiranya kita memberikan jawapan atau alasan dan kita tahu Allah tidak akan terima jawapan tersebut, maka tinggalkanlah. Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat. Nasihatilah orang lain dengan tidak meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah.

Semoga kita dapat diberikan bantuan oleh Allah untuk menyegerakan ataupun kita menggesakan diri kita untuk mengingati Allah SWT. Untuk menggesakan Allah, mentauhidkan Allah dalam keadaan kita bersendirian ataupun dalam keadaan ramai. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tertulis di Arash, Aku menuruti orang yang taat kepadaKu”- Allah berkata. Aku menyintai orang yang menyintaiKu. Taatlah kepada Allah dengan takut dan ikhlas, dengan redha atas apa sahaja keputusan Allah SWT, sabar terhadap apa jua bala yang Allah berikan kepada kita, syukur atas nikmat Allah serta menerima apa sahaja pemberianNya kepada kita. Kerana Allah SWT telah berkata: “Barang siapa yang tdak redha dengan keputusanKu, tidak sabar atas pemberianKu, tidak bersyukur atas nikmatKu, serta tidak menerima akan pemberianKu, hendaklah dia mencari tuhan selain Aku.”

Kemudian seorang lelaki berkata kepada Imam Hasan Al-Basri, ahli zuhud: “Aku tidak menemukan kelazatan dalam taat.” Kemudia Imam Hasan Al-Basri berkata kepdanya: “Barangkali engkau memandang dalam wajah orang yang tidak takut kepada Allah. Ibadah bererti engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah.” Kemudia lelaki tadi berkata kepada abi Yazid: “ Aku tidak menemukan lazatnya taat.” Lalu abi Yazid menegaskan bahawa: “Itu kerana engkau menyembah taat bukan menyembah Allah. Sembahlah Allah sampai engkau menemukan kelazatan taat.”

Kisah seorang lelaki yang lain. Ketika lelaki ini sedang bersolat. Ketika dia membacakan Iya Kana'budu  (kepadaMu lah aku menyembah), dia merasakan telah menyembah Allah dengan bersungguh-sungguh. Tiba-tiba hati nuraninya menyatakan, engkau bohong, engkau hanyalah menyembah makhluk. Maka dia segera bertaubat dan memisahkan diri dari manusia. Ketika waktu malam ketika dia solat sehingga dia membacakan Iya Kana'budu, ada lagi yang berkata bohong, engkau hanyalah menyembah pada hartamu. Maka dengan segeranya dia mensedekahkn seluruh hartanya. Namun ketika dia solat lagi dan sampai dia membacakan Iya Kana'budu, ada yang berkata kepadanya, kini engkau telah benar menyembah Tuhanmu. Itulah merupakan cirri-ciri seorang yang bertakwa kepada Allah yang ketika dia membaca sesuatu ayat-ayat Allah maka dia akan berinteraksi dengan ayat Allah SWT. Dia akan merasakan seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya.

Seorang yang berakal akan meninggalkan dunia, akan menangani ataupun mengolah dunia bagi mencapai matlamat ubudiah kepada Allah SWT. Memikirkan apa yang akan kita hadapi di hari akhirat kelak dan kita sentiasa menginginkan kebahagiaan di akirat kelak kerana kebahagiaan di dunia tidak kekal. Kebahagiaan di akhirat adalah kebahagiaan yang kekal. Untuk itu Allah telah mengatakan dalam surah Asy-Syura[42:20].
  

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ


"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat."

Ketika Saidina Abu Bakar mendengar ayat Allah ini, beliau telah mendermakan 40 ribu dinar secara sembunyi kepada nabi Muhammad SWT serta 40 ribu dinar secara terang-terangan sehingga dia tidak mempunyai apa-apa lagi. Sesunggunhnya Rasulullah SWT beserta keluarganya adalah orang yang berpaling dari keindahan dan kelazatan dunia. Itulah kehebatan abid-abid Allah yang dijanjikan jannatul Firdaus oleh Allah SWT. Kita sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada Allah SWT, jangan kita sekali-kali melupakan Allah SWT kerana melupakan Allah akan menambahkan kerugian, akan menghilangkan nikmat, akan menghalangi pengabdian. Kesan jangka panjang apabila kita melupakan Allah SWT, sabahagian besar salaful soleh, dia telah diberikan peringatan oleh gurunya setelah mereka bertanya kepada gurunya. “Apakah kerugian yang lebih besar yang engkau rasakan?” Gurunya menjawab, “Lupa kepada Allah. Apakah yang Allah lakukan terhadapmu?” Mereka menjawab, “Allah memanggilku menghadapNya seraya berkata: Wahai orang yang mengaku-ngaku, wahai pendusta engkau mengaku cinta padaKu namun kemudian engkau melupakanKu. Engaku selalu lupa sedang  hatimu tetap lalai padahal umur kian tiada sedangkan dosa makin bertambah.” Seorang ayah telah berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, dahulu aku hidup lalai dan matipun  dalam keadaan lalai.”

Seterusnya ketika nabi Yaakub bersahabat dengan malaikat maut. Pada satu ketika malaikat maut datang kepada nabi Yaakub, Nabi Yaakub berkata, “Wahai malaikat maut, engkau datang utuk menziarah atau untuk mencabut nyawaku?” Malaikat maut menjawab, “Untuk menziarah sahaja.” Lalu nabi Yaakub berkata, “Aku mempunyai permintaan kepadamu.” Malaikat maut bertannya, “Apakah permintaanmu?” Maka nabi Yaakub pun menjawab, “ Bila ajalku telah dekat dan engkau hendak mencabut nyawaku, hendaklah engkau memberitahu aku dahulu.” Maka malaikat maut menjawab, “Baiklah. Aku akan mengutus kepadamu dua atau tiga utusan.” Maka ketika ajal nabi Yaakub telah sampai, malaikat maut pun datang lagi kepadanya, lalau ditegur nabi Yaakub, “Adakah engkau datang untuk menziarah atau engkau datang untuk mencabut nyawaku?” dan malaikat maut menjwab, “Aku datang untuk mencabut nyawamu.” Nabi Yaakub bertanya dengan hairan, “Bukankah engkau telah berjanji kepadaku akan mengutuskan dua atau tiga utusan terlebih dahulu?” Malaikat maut menjawab, “Benar, aku telah melakukannya.” Apakah utusan itu?
1.      Putihnya rambut setelah hitam.
2.      Lemahnya badan setelah kuat.
3.      Membongkokkan tubuhmu setelah tegak.
“Itulah utusanku wahai Yaakub kepada manusia sebelum dia mati.”
Itu satu penghormatan yang diberikan Allah kepada nabi Yaakub. Mudah-mudahan kita diberi bantuan oleh Allah untuk menghadapi detik-detik akhir penghidupan kita. Sama-samalh kita memohon keredhaan kepada Allah SWT. Mata kita yang terbeliak ketika tiga perkara:
1.      Apabila kemalangan berlaku.
2.      Melihat perempuan seksi.
3.      Ketika sakaratul maut – Allah tunjukkan semua amalan kita.
-          Allah tunjukkan apa yang kita akan hadapi semasa di dalam kubur.
-          Melihat neraka, terbeliak melihat apa yang kita akan lalui di dalam api neraka.

Ketika itu kita tidak dapat meminta keampunan lagi. Terbeliak macam mana pun kita tak mampu lagi untuk memohon ampun. Jangan sampai mata kita terbeliak saat terakhir kehidupan, minta doa dan muhasabah, perbanyakkan istighfar. Minta Allah matikan dalam keadaan baik. Menyebabkan kerisaun hati apabila kita hendak mati kita akan terpikir apa yang kita tinggalkan, siapa akan mendoakan kita, siapakah yang akan memberikan kita kesenangan ketika di dalam kubur. Ketika berada di dalam kubur hanya 3 perkara yang akan dibawa setelah kematian untuk dipersembahkan dan membantu melepasi kemurkaan Allah, sedangkan Allah sentiasa hendak memberikan rahmatNya kepada kita. Allah utuskan hamba-hamba yang dicintaiNya kepada kita samada dalam bentuk kedua ibu bapa ataupun bakal suami/isteri yang bakal Allah anugerahi kepada kita. Harta dunia telah mengaburi mata kita, akhirnya kita menolak hamba Allah yang soleh. Tetapi mungkin bakal jodoh kita miskin tetapi kita tidak yakin dengan janji Allah. Sesungguhnya Allah telah berkata dalam surah An-Nur[24:32].

Rasulullah telah berpesan, sekiranya kita menolak orang yang soleh dengan alasan kita tidak mahukan gangguan dan sebagainya dan menyebabkan Allah bagi kepada kita orang yang tidak ada fikrah langsung. Pertimbangkan dengan menggunakan neraca Allah, bukan neraca duniawi sahaja. Sama-samalah kita memohon pertolongan dari Allah SWT kerana Allah telah menyatakan dalam surah an-Nisaa’[4:9]:

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”

Di sini Allah telah memberikan peringatan peringatan kepada kita supaya kita  hendaklah takut kepada Allah sekiranya kita akan meninggalkan keturunan yang lemah di belakang kita. Apa yang kita lakukan pada hari ini akan memberikan kesan kepada anak-anak yang bakal kita lahirkan. Sanggupkah kita nanti apabila kita mati kita akan terbeliak mata kita apabila menghadapi sakaratul maut kerana kita gagal mentarbiah anak-anak yang Allah anugerahkan kepada kita dengan didikan rabbani Allah SWT kerana kita lebih mementingkan dunia. Bagi seorang suami yang hanya mementingkan isterinya bekerja hingga sanggup meninggalkan anak-anak di bawah jagaan orang yang tidak mengenal langsung Allah SWT. Apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah di akhirat kelak?

 Semuanya bermula pada hari ini. Sekiranya pada hari ini, kita masih lalai dan lupa dengan Allah, masih tidak malu dengan Allah dalam melakukan dosa, bayangkan bagaimana keadaan anak-anak yang bakal dilahirkan pada generasi akan datang. Namun Allah memberikan jalan keluar. Setiap kita mempunyai amanah. Amanah beerti memberikan hak sedangkan lawan amanah adalah khianat iaitu beerti mengurangkan hak orang lain. Rasullullah SAW telah bersabda bahawa penipu, pembohong serta pengkhianat tempatnya adalah neraka, dan terus bersabda siapa yang bekerjasama dengan manusia dan tidak menzalimi mereka dan apabila berkata tidak bohong, maka dia termasuk orang-orang yang sempurna harga dirinya, terbukti keadilannya dan mestilah berkawan dengannya.

Seorang ulama mengatakan bahawa mereka seorang yang baik, memikat sebab menjaga amanah, tidak suka mengkhianati tanggungjawab dan tidak suka mencabuli kehormatan seorang muslim, mereka adalah umat yang terbaik disisi Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Huzaifah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya amanah akan diangkat dan manusia sama menjual diri, hampir tidak seorang pun melaksanakan amanah hingga dikatakan ada orang yang jujur.” Kita bayangkan dalam realiti kehidupan kita adakah kita berjanji dan menjalankan amanah Allah itu. Diberikan amanah oleh Allah untuk menuntut ilmu. Ataupun yang paling minima, Allah ciptakan kita untuk menjadi abidNya. Adakah kita sudah menjalankan amanah abid Allah? Sebagai hamba Allah, adakah kita telah jalankan amanah itu dengan sempurna? Amanah yang lebih besar iaitu sebagai khalifah Allah SWT. Sebagai pentakbir dimuka bumi Allah mengikut sistem Allah. Sudahkah kita melakukannya? Sama-samalah kita muhasabah diri kita.

Sekiranya kita rasa tidak dapat menjalankan amanah dengan baik, bertaubatlah kerana taubat itu wajib. Taubat nasuha ialah taubat yang murni untuk Allah, taubat yang bersih dari segala kekotoran. Sesunggunhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat, Allah mengasihi orang-orang yang bersuci. Rasulullah SAW bersabda sesungguhnya orang yang bertaubat adalah kekasih Allah, orang yang bertaubat bagaikan orang yang tidak berdosa. Rasulullah berikan peringatan lagi kepada kita bahawa sesungguhnya Allah sukakan taubat seorang mukmin daripada seorang lelaki yang datang ke masjid yang tidak aman, ataupun seorang lelaki yang datang ke masjid yang tidak aman yang membawa bekalan lengkap makanan dan minuman dan dia tertidur sejenak, dan kudanya hilang. Dia menjumpai kudanya kembali setelah memohon doa kepada Allah. Allah lebih menyukai taubat seorang hamba mukmin dari seorang yang temui kuda setelah hilang.

Rasulullah SAW pernah bersabda sekiranya kita telah melakukan dosa setinggi langit lalu kita menyesal, lalu Allah akan menerima taubatnya. Taubat nasuha adalah pemohonan keampunan kepada Allah yang disertai dengan penyesalan. Orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa. Sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan bagai air menghapuskan kekotoran.

Rasulullah SAW pernah bersabda, ketika hamba sedang bertaubat, Allah menerimanya dan melupakan malaikat hafazah akan keburukan amal yang ditulisnnya. Melupakan anggota badannya akan kesalahan yang diperbuat serta melupakan bumi dan langit sebagai tempatnya agar dia datang di hari kiamat tanpa sebarang makhluk yang menyaksikannya. Bersegeralah melakukan taubat. Allah bersabda dalam surah ali-Imran[3:135].

Sesungguhnya taubat nasuha adalah taubat zahir dan batin yang menyebabkan kita menyesal, mohon ampun kepada Allah dan kita tidak akan mengulagi dosa-dosa itu. Allah tidak melihat rupamu, tetapi Allah melihat hatimu. Betapa banyak orang yang datang di hari kiamat datang dengan taubat yang tidak disertai dengan penyesalan. Orang yang berakal akan terus memperbaiki diri. Sekiranya kita menangis dengan benar-benar penyesalan, ia akan menyentuh hati hamba-hamba Allah yang melihatnya. Ini adalah contoh taubat nasuha. Kita berasa menyesal dan barulah boleh berubah. Air mata yang jatuh itu akan menyelamatkan kita dari api neraka. Allah maha luas taubatNya. Tiada suara yang lebih disukai Allah melainkan suara hambaNya yang bertaubat dengan penuh penyesalan setelah melakukan dosa.

Jangan melupakan Allah, jaga amanah Allah. Dalam menjalankan amanah Allah, kadang-kadang kita lalai, kadang-kadang kita terkecundang dalam melawan dorongan nafsu kita sendiri apatah lagi dengan jolokan-jolokan syaitan, bisikan-bisikan syaitan. Untuk itu, Allah sediakan rahmat dengan taubat. Taubat nasuha untuk menyucikan hati kita untuk kembali kepada Allah. Sentiasalah bertaubat dengan penuh kekusyukan, tawadhu'. Mudah-mudahan hati kita sentiasa cinta kepada Allah.

No comments:

Post a Comment