Monday, May 20, 2013

Air Mata Yang Menangis Kerana Allah Adalah Rezeki


Kuliah BM 250413 (5.50pm-7.30pm waktu russia)

Assalamualaikum wrt..

Allah amat menyayangi kita dan sentiasa memberi motivasi kepada kita. Namun apakah yang kita lakukan untuk menghadapi hari akhirat?
Sama-samalah kita menyedari hakikat bahawa Allah sentiasa bersama-sama dengan kita. Allah dekat dengan kita malah lebih dekat dari urat leher kita. Malaikat-malaikat bersujud sentiasa kepada Allah.

Dalam surah an-Nahl ayat 50, Allah bercerita tentang para malaikat yang sangat taat. Kalau kita tengok betapa hebatnya perumpamaan yang telah Allah berikan kepada kita. Oleh itu, janganlah kita lupa, alpa walaupun sedetik. Jika kita ada lupa pada Allah, kembalilah kepada Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah lupa kepada kita sebagai hambaNya. Berdoalah kepada Allah supaya Allah memberikan kita hidayah sebagaimana kita sentiasa membaca surah Al-Fatihah 17 kali sehari semalam dalam hidup kita sehari-harian. Tanpa taufik, hidayah akan tinggal hidayah. Sekiranya kita hari ini sama seperti semalam, maka rugilah kita. Dalam firman Allah surah al-'Asr. Sesungguhnya masa yang pendek yang Allah berikan kepada kita hendaklah kita guna sebaik-baiknya untuk memastikan kita membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi hari kebangkitan. Supaya kita akan berpuas hati dengan hasil tuaian kita di akhirat kelak. Ilmu yang Allah berikan kepada kita, halawatul iman yang Allah limpahkan kepada kita, gunakan untuk menyeru manusia kepada al-Haq. Berdoalah agar kita dapat berterusan memanggil manusia kepada Allah.

Saat yang paling indah adalah apabila kita dapat bersama-sama dengan orang yang kita cintai di akhirat kelak. InsyaAllah! Kita minta kepada Allah supaya kita tidak digoda oleh syaitan, orang munafik, orang fasik dsb. Amanah untuk membawa cahaya Islam ke masyarakat kini menjadi tanggungjawab kita.
Hikmah dari Rasulullah saw:
  1. Cinta al-Haq, benci pada kebathilan.~al-haq yg diturunkan kpd Rasulullah saw adalah yang terbaik. Risalah tauhi Rasulullah adalah yang terbaik. Al-Quran adalah yang terbaik.
  2. Izzah. Kena ada izzah dalam diri kita kerana kita adalah seorang muslim, mukmin, ummah yang terbaik, abid kepada Allah. Ukhrijat linnas.
  3. Selagi belum kiamat, selagi hidayah masih Allah turunkan pada hamba-hamba-Nya, kita kena ingat kita adalah orang yang mendapat cahaya Allah. Orang-orang yang berada dalam kegelapan perlu kita pimpin menuju cahaya.

Amalan setinggi gunung yang kita amalkan, namun bila tiba di hadapan Allah, hancur amal-amal kita kerana tiadanya keikhlasan dalam amalan kita, nauzubillah.

Diceritakan seorang laki-laki jatuh hati kepada seorang wanita, lalu diikutlah wanita tersebut hingga ke kampungnya. Lalu sang lelaki menyampaikan maksud hatinya. Lantas wanita tersebut bertanya, “adakah semua orang telah tidur?”. Maka sang lelaki pun melihat-lihat di sekeliling kampung tersebutnya dan dilihatnya semua orang telah tertidur. Perkara itu disampaikan kepada wanita tersebut. Lantas wanita tersebut berkata, “Apakah pendapatmu, bagaimana dengan Allah?adakah saat ini dia juga tidur?”. 

Lelaki tersebut menjawab, “ Tidak. Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.”. Wanita tersebut menjawab, “ Zat-Nya yang tidak pernah tidur akan melihat kita. Oleh kerana itu, Dia lebih berhak kita takuti”. Dengan segera lelaki itu, meninggalkan perempuan tersebut kerana dia takut kepada Allah. Dia pulang ke rumah dan bertaubat. Setelah lelaki tersebut meninggal dunia, ada seseorang yang bermimpi akan lelaki tersebut. Ketika ditanya apakah yang dilakukan oleh Allah kepadanya, lelaki itu menjawab bahawa Allah telah mengampuni dosanya kerana ketakutannya kepada Allah yang menyebabkan lelaki itu meninggalkan dosa keinginan mahu berzina.

Para malaikat sangat takut kepada Allah dan sentiasa melakukan . Inilah contoh yang cuba diungkapkan dalam surah an-Nahl ayat ke 50 itu. Seterusnya, nabi bersabda yang bermaksud bahawa jika tubuh seseorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, maka berguguranlah jatuh dosanya bagaikan dedaun di musim luruh. Sekiranya diri kita merasa bergetar takut kepada Allah, Allah dah kata dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud,

Sekiranya seseorang yang bila disebut nama Allah, hati akan bergetar. Apabila disebut nama Allah, kita akan merasakan bahawa tiada apa-apa yang dapat kita sembunyikan daripada Allah. Dalam apa jua situasi, Allah ada bersama kita. Ketakutan kita bukanlah seperti ketakutan kita kepada harimau, tetapi ketakutan kita kepada Allah akan menyebabkan kita mahu untuk membersihkan diri kita, kita mahu menyucikan diri kita. Dalam contoh kisah di atas, wanita tersebut mengajar lelaki tersebut untuk merasai ketakutan kepada Allah.

Dalam surah Furqan ayat 70, apabila kita memohon ampun kepada Allah, Allah akan gantikan dosa kita. Bangkit malam, tahajjud, solat sunat, bersedekah. Pada satu ketika, Saidatina Aisyah ra berkata kepada Rasulullah, “ ya Rasulullah, bukankah engkau adalah maksum dari dosa? Mengapa engkau masih bertaubat dengan banyaknya?” Maka jawab Nabi, “ Salahkah aku untuk bersyukur kepada Allah?”

Dalam satu hadis Qudsi, Allah menyatakan bahawa tidak ada 2 ketakutan dan 2 keamanan yang dikumpulkan dalam dada manusia. Barang siapa yang takut padaku di dunia, maka dia akan aman di akhirat. Barang siapa yang aman dariku di dunia, maka dia akan merasa ketakutan kepadaku di akhirat. Dalam surah al-Maidah ayat 44, maka janganlah engkau takut kepada mereka tapi takutlah padaKu.

Orang yang menangis kerana takut kepada Allah, dipanggil untuk dimasukkan kedalam neraka kerana amalan buruknya. Lantas sehelai rambutnya berkata “yat tuhanku, utusanMu Muhammad berkata bahawa barang siapa yang menangis kerana takut kepada Allah, maka mata itu diharamkan dari azab api neraka.” Kemudian, Jibril membuat mengumuman bahawa lelaki tersebut telah terselamat dari azab api neraka berkat sehelai rambut di pipi.

Pada hari kiamat, ada api yang bergemuruh, sehingga menakutkan hati setia yang melihatnya. Sehingga semua berkata nafsi-nafsi (sendiri-sendiri). Hanya Nabi Muhammda saw yang berkata ummati, ummati (ummatku, ummatku). Kemudian keluarlah api sebesar gunung. Maka berkatalah ummat Muhammad yang mahu menolak api tersebut,”Demi orang-orang yang solat, yang khusyuk, demi orang-orang yang siddiq, demi orang-orang yang berpuasa, kembalilah engkau wahai api.” tetapi tersebut tidak juga pergi. Lalu, datanglah Jibril menghampiri Rasulullah dengan membawa air. Dipercikkan air itu kepada api yang sebesar gunung itu, lalu padamlah ia. Bila Rasulullah bertanya apakah air itu? Maka jawab Jibril, itulah airmata ummatmu yang menagis kerana takutkan Allah.

ya Allah berikanlah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepadaMu sebelum air mata ini habis.”

Cubalah untuk alirkan airmata taubat yang menangis kerana Allah taala. 2 titisan air yang tidak akan disentuh api neraka: airmata yang menangis di malam hari, dan titisan darah syuhada.
Dalam surah an- Naaziat, barang siap yang derhaka dan mengutamakan kehidupan di dunia, makan nerakalah tempat kembalinya. Barang siapa yang takut kepada Allah, maka syurgalah tempat diamnya.

Jika kita tengok betapa indahnya seruan Allah, yang cukup indah, cukup lembut tentang suasana yang bakal kita lalui jika kita dapat memberikan yang terbaik untuk Allah. Hasilnya, kitalah yang akan mendapat nikmat-nikmat tersebut. Semasa kita masuk syurga, malaikat hairan bagaimana kita dapat masuk syurga, lalu Allah membuka hijab dan menunjukkan bahawa kita berzikir, bertaubat dan mengharapkan pertemuan dengan Allah. Oleh itu, semasa di dunia, kita patut ambil al-Quran sunnah Rasulullah agar mudah Allah kenali kita dan dan mudah untuk kita bertemu dengan Allah. Mudah-mudahan Allah bagi bantuan kepada kita untuk mendekati Allah.

Hadis Rasulullah yang bermaksud jika kita berjalan kepada Allah, Allah datang berlari kepada kita.. terus meneruslah kita melakukan kebaikan. Kebaikan walaupun kecil tetapi dilakukan secara berterusan, akan dapat menghampirkan diri kita kepada Allah. Kita nak kita rasa cinta dan rindu pada Allah. Tanamlah dalam hati kita rasa rindu pada Allah. Semoga kerinduan kita kepada Allah akan menjadikan suasana pengharapan kita kepada pertemuan dengan Allah. Cinta adalah pertautan jiwa manusia terhadap sesuatu. Rindu pula adalah apabila kita mahu mengorbankan semua yang kita miliki demi cinta.

Kisah Zulaikha dan Nabi Yusof. Zulaikha mencintai Nabi Yusof sebelum beriman. Setelah beriman, Zulaikha mencintai Allah melebihi cintanya kepada Nabi Yusof. Itu adalah contoh.


Sesungguhnya, Imam Ghazali berkata, barang siapa mengakui 3 hal, namun tidak bersih dari 3 hal, bermakna dia sudah tertipu.
  1. Mengakui manisnya zikir sedang masih mencintai dunia
  2. mengakui ikhlas beramal tapi suka penghormatan manusia
  3. mengakui cinta Khaliqnya (Allah) tetapi masih memperturutkan nafsu.

Akan datang
  1. suka kepada dunia dan melupakan akhirat
  2. suka harta hingga lupa hari hisab
  3. cinta makhluk hingga lupa Allah
  4. suka berdoa tapi lupa bertaubat.
  5. Suka rumah tapi lupa pada kubur

Betapa banyak orang muda yang melambatkan taubat.
Semoga Allah bagi kita peluang untuk bertaubat. Ya Allah, berikanlah kami rezeki taubat. Ingatkanlah kami ketika kami lupa
ciri-ciri mukmin sejati:
  1. setiap saat selalu bertaubat
  2. menyesali dosa-dosa
  3. tidak terpikat dengan dunia
Zikir, sujud dan taubat boleh jadi pendinding kemurkaan atau boleh membuka tabir kita dengan Allah. Zikir, sujud dan taubat, kepada Allah hingga kita menangis di malam hari itulah yang akan membuka tabir kita di hadapan Allah di akhirat kelak.
Amalkanlah sehingga menjadi amalan kita supaya kita dapat melihat Allah.

Yang paling penting adalah amalan kita. Ilmu yang kita dapat terus kita amalkan, insyaAllah akan membuahkan kemanisan iman.

Sabda Rasulullah, “setiap umatku masuk syurga, kecuali yang tidak mahu.” para sahabat bertanya, “siapa yang tidak mahu masuk syurga ya Rasulullah?” “orang yang taat padaku masuk syurga, adapun orang yang derhaka padaku bererti dia tidak mahu masuk syurga” jawab Rasulullah.

Barangsiapa yang meremehkan sunnahku, haram syafaatku keatasnya”

setiap amal tanpa sunnah adalah bathil.”

WA

Jalankan amanah Allah



  Kuliah Baitul Muslim (14.05.2013)   

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, rabb sekelian alam, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Allah yang menguasai hari kiamat. Nikmat yang diberikan dalam bentuk rezeki, santapan fizikal, nikmat hidayah dan santapan rohani. Allah berikan rezeki yang mudah disekeliling kita. Badan menjadi lebih sihat dan bertenaga untuk kita menjalankan amanah iaitu menjadi abid Allah yang taat dan kasih kepada Allah dan menyedari bahawa setiap detik  kita tidak pernah alpa dari pemerhatian Allah. Allah sentiasa mencurahkan hidayah, masuk ke benjana diri manusia iaitu hati manusia. Apabila kita membuka hati, masuklah hidayah Allah yang mengalir dalam seluruh aliran darah seterusnya membentuk akidah dan keyakinan.

          Meng'esa' kan Allah sebagai Rabb, Tuhan dengan tazakur.  Tazakur bermaksud setiap saat kita dalam keadaan berzikir (baik isi hati, gerak gerik, dan kerangka berfikir kita), karena hal inilah yang akan menyelamatkan kita. Kita hadamkan hidayah Allah ke seluruh anggota , fikiran dan menggerakkan darah-darah. Jasmani dipandu untuk mengerakkan keyakinan dan akidah ketakwaan kepada Allah. Kita mengerakkan pemikiran dalam menuju kepada ketetapan dan sistem yang ditetapkan Allah. Kita hendaklah mencerna amalan-amalan soleh. Orang-orang yang bertakwa ialah yang memberikan kebaikan serta mengundang rahmat atau kasih sayang Allah. Hasil dari keikhlasan membuka pintu hati, apabila membuka hati untuk mengenali Allah. Allah telah menanamkan atau menyiramkan benih fitrah dalam diri serta lubuk hati paling dalam. Hanya orang yang kufur yang menutup pintu hati mereka. Hati mereka lalai, jika mereka terus tutup pintu hati. Allah akan kunci pintu hati mereka. Apabila manusia menutup pintu hati mereka, Allah akan kunci mati hati mereka. Itulah yang berlaku kepada golongan kafirun.

          Orang yang bertakwa, yakin dan menerima dengan hati, lafazkan dengan kata-kata bicara iaitu bicara-bicara takwa,  tauhid,  zikrullah seterusnya lahirkan dalam bentuk amalan. Amalan orang bertakwa, amalan seorang mukmin, amalan seorang mutaqqin, amalan seorang mukhlisin. Itu adalah hamba-hamba Allah yang bertakwa. Allah menyatakan bahawa al-Quran itu yang tidak ada keraguan, di dalamnya banyak perkara-perkara yang ghaib tetapi bagi seorang yang bertakwa, kita menerimanya dengan penuh ketaatan kepada Allah.

          Bagi orang-orang yang kafir, orang yang enggan mendengar kata-kata Allah S.W.T., apabila dibacakan ayat-ayat Allah maka mereka seolah-olah tidak mendengar dan seterusnya mereke metutup telinga-telinga mereka. Bayangkan diri kita, apabila ayat-ayat Allah dibacakan, bagaimana kita? Adakah kita seorang pendengar yang baik? Terutama apabila al-Quran dibacakan. Itu adalah satu petanda samada kita ini adalah hamba-hamba Allah yang mendengar atau orang-orang yang kufur. Lihat kembali adakah kita seorang yang munafik.

          Saat ketika apabila kita mengingati Allah dan kita merasa cinta dengan Allah. Ataupun apabila kita dalam keadaan digoda nafsu kita sendiri, kita menjadi lalai. Kita merasakan seronok untuk melakukan dosa, kita tidak rasa takut dengan Allah, kita tidak merasakan yang kita sentiasa berada di dalam cctv Allah dan kita berada di dalam pita rakaman yang sentiasa tidak akan kehabisan bateri sampai ke hari kiamat. Allah tidak pernah tidur, Allah sentiasa memerhatikan diri kita. Apabila kita merasakan Allah memerhatikan kita, berapa minitkah kita mengingati Allah secara 'fokus ', berapa lama kita luangkan masa untuk munajat kepada Allah di malam hari? Ataupun ketika kita belajar, kita seharusnya sedar ilmu yang diberikan itu adalah ilmu Allah. Betapa sedikitnya ilmu kita untuk dibandingkan dengan  ilmu Allah. Ataukah kita adalah golongan munafik yang menipu Allah. Kita  melakukan dosa, kita lupa untuk bertaubat. Apabila kita merasa nafsu kita memberontak, kita tunduk dan akur merelakan diri kita untuk ditunggangi oleh nafsu kita sendiri. Kita hanyut dalam tarikan nafsu kita samada nafsu makan, nafsu tidur, nafsu syahwat, nafsu tamak, nafsu berdendam dengan manusia lain ataupun apa sahaja bentuk-bentuk keburukan.

          Waktu yang diberikan, kita gunakan untuk  memenuhi perjanjian dengan Allah S.W.T. Golongan fasikun adalah golongan orang-orang yang Allah pesan kepada kita, dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Apabila kita melupakan Allah, Allah akan melupakan kita. Bagaimana kita hendak detect Allah melupakan kita ialah dengan kita tidak sedar dengan apa yang kita lakukan. Kita tidak sedar samada buruk atau baik benda yang kita lakukan. Kita hanya hidup berterusan mengikut edaran hidup kita. Kehidupan tanpa matlamat, kehidupan tanpa kita sedar bahawa masa yang Allah bagi kepada kita akan berakhir satu masa nanti. Kita hidup di dunia seolah-olah kita merasakan seolah-olah kita akan hidup sepanjang tahun ataupun kita akan hidup sepanjang umur di dunia ataupun hidup akan berterusan tanpa akan berakhir. Kita lupa bahawa kita akan kembali kepada Allah. Namun ketika nyawa sudah sampai ke tenggorok, baru ketika itulah kita menerima hakikat bahawa hidup ini sudah sampai ke penghujung. Namun kita harus ingat bahawa ketika itu pintu taubat sudah tertutup, kerana Allah tahu ketika manusia berada dalam keadaan tertekan, dalam keadaan kesempitan, dalam keadaan nyawa di hujung tanduk memang mereka akan kembali kepada Allah. Ketika itu sudah terlambat. Waktu terus berlalu sedangkan dosa terus bertambah. Malaikat maut datang bertamu, namun hati tetap lalai. Nikmatmu di dunia hanyalah kepalsuan dan kerugian.

          Abu Ali berkata:
          ” Aku datang menjenguk lelaki soleh sedang  sakit, dia dikerumuni oleh murid-muridnya. Ketika itu dia kelihatan menangis padahal umurnya memang sudah lanjut maka dia berkata, wahai Syeikh mengapakah kamu menangisi? Aku menangis kerana aku tidak boleh melakukan solat lagi. Aku bertanya lagi, mengapa demikian? Padahal engkau telah banyak solat. Dia menerangkan kerana ini adalah hari terakhir bagiku. Padahal aku sujud dalam keadaan lalai, aku angkat kepalaku juga dalam keadaan lalai. Jangan-jangan aku mati dalam keadaan lalai juga. Kemudian dengan nafaz terputus-putus dia membacakan syair: Ku fikirkan hari perhimpunan dan  kiamat, juga tertanamnya pipiku di bawah pusara, sendirian tanpa teman, tubuhku tergadai dengan tanah liat, ku renungkan panjang dan lebarnya hisab juga hinanya makamku waktu diberi kitab, namun harapanku kepada engkau wahai Tuhanku, wahai Penciptaku, Engkau ampunilah kesalahanku.”
  
Manusia ada berbicara tiga hal:  

1.      Kita kata, kita hamba Allah, tetapi tidak merasa kewujudan Allah bersama.
  • Nilai balik diri kita. Adakah ini yang kita bicarakan? Kita kata kita hamba Allah, tetapi kita berbuat bebas seolah-olah kita tidak meraskan kewujudan Allah bersama-sama dengan kita.
2.      Kita kata Allah yang menanggung rezeki kita, namun hati kita akan merasa tenang jika bersama    dengan harta.
  •  Ini bertentangan denganucapan kita.
3.      Kita kata kita mesti akan mati
  •   Tetapi apabila kita melakukan sesuatu, kita menjalani kehidupan kita di muka bumi Allah SWT ini bagaikan orang yang tidak akan mati. Satu lagi bertentangan dengan ucapan kita.


Sama-samalah kita muhsabah diri kita dengan badan yang mana kita menghadap Allah, dengan lisan apakah yang kita akan menjawab segala apa yang kita lakukan di hadapan Allah di akhirat kelak. Apakah yang akan kita katakan kepada Allah bila Allah bertanya kepada kita. Apakah jawapan yang benar tentang apa yang Allah tanyakan kepada kita. Kenapa kita lakukan perkara-perkara tersebut, pastikan niat dan alasan yang diberikan, jawapan yang diberikan pastikan jawapan yang diterima oleh Allah. Sekiranya kita memberikan jawapan atau alasan dan kita tahu Allah tidak akan terima jawapan tersebut, maka tinggalkanlah. Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kita buat. Nasihatilah orang lain dengan tidak meninggalkan apa yang diperintahkan oleh Allah.

Semoga kita dapat diberikan bantuan oleh Allah untuk menyegerakan ataupun kita menggesakan diri kita untuk mengingati Allah SWT. Untuk menggesakan Allah, mentauhidkan Allah dalam keadaan kita bersendirian ataupun dalam keadaan ramai. Rasulullah SAW telah bersabda: “Tertulis di Arash, Aku menuruti orang yang taat kepadaKu”- Allah berkata. Aku menyintai orang yang menyintaiKu. Taatlah kepada Allah dengan takut dan ikhlas, dengan redha atas apa sahaja keputusan Allah SWT, sabar terhadap apa jua bala yang Allah berikan kepada kita, syukur atas nikmat Allah serta menerima apa sahaja pemberianNya kepada kita. Kerana Allah SWT telah berkata: “Barang siapa yang tdak redha dengan keputusanKu, tidak sabar atas pemberianKu, tidak bersyukur atas nikmatKu, serta tidak menerima akan pemberianKu, hendaklah dia mencari tuhan selain Aku.”

Kemudian seorang lelaki berkata kepada Imam Hasan Al-Basri, ahli zuhud: “Aku tidak menemukan kelazatan dalam taat.” Kemudia Imam Hasan Al-Basri berkata kepdanya: “Barangkali engkau memandang dalam wajah orang yang tidak takut kepada Allah. Ibadah bererti engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah.” Kemudia lelaki tadi berkata kepada abi Yazid: “ Aku tidak menemukan lazatnya taat.” Lalu abi Yazid menegaskan bahawa: “Itu kerana engkau menyembah taat bukan menyembah Allah. Sembahlah Allah sampai engkau menemukan kelazatan taat.”

Kisah seorang lelaki yang lain. Ketika lelaki ini sedang bersolat. Ketika dia membacakan Iya Kana'budu  (kepadaMu lah aku menyembah), dia merasakan telah menyembah Allah dengan bersungguh-sungguh. Tiba-tiba hati nuraninya menyatakan, engkau bohong, engkau hanyalah menyembah makhluk. Maka dia segera bertaubat dan memisahkan diri dari manusia. Ketika waktu malam ketika dia solat sehingga dia membacakan Iya Kana'budu, ada lagi yang berkata bohong, engkau hanyalah menyembah pada hartamu. Maka dengan segeranya dia mensedekahkn seluruh hartanya. Namun ketika dia solat lagi dan sampai dia membacakan Iya Kana'budu, ada yang berkata kepadanya, kini engkau telah benar menyembah Tuhanmu. Itulah merupakan cirri-ciri seorang yang bertakwa kepada Allah yang ketika dia membaca sesuatu ayat-ayat Allah maka dia akan berinteraksi dengan ayat Allah SWT. Dia akan merasakan seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya.

Seorang yang berakal akan meninggalkan dunia, akan menangani ataupun mengolah dunia bagi mencapai matlamat ubudiah kepada Allah SWT. Memikirkan apa yang akan kita hadapi di hari akhirat kelak dan kita sentiasa menginginkan kebahagiaan di akirat kelak kerana kebahagiaan di dunia tidak kekal. Kebahagiaan di akhirat adalah kebahagiaan yang kekal. Untuk itu Allah telah mengatakan dalam surah Asy-Syura[42:20].
  

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ


"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat."

Ketika Saidina Abu Bakar mendengar ayat Allah ini, beliau telah mendermakan 40 ribu dinar secara sembunyi kepada nabi Muhammad SWT serta 40 ribu dinar secara terang-terangan sehingga dia tidak mempunyai apa-apa lagi. Sesunggunhnya Rasulullah SWT beserta keluarganya adalah orang yang berpaling dari keindahan dan kelazatan dunia. Itulah kehebatan abid-abid Allah yang dijanjikan jannatul Firdaus oleh Allah SWT. Kita sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa kepada Allah SWT, jangan kita sekali-kali melupakan Allah SWT kerana melupakan Allah akan menambahkan kerugian, akan menghilangkan nikmat, akan menghalangi pengabdian. Kesan jangka panjang apabila kita melupakan Allah SWT, sabahagian besar salaful soleh, dia telah diberikan peringatan oleh gurunya setelah mereka bertanya kepada gurunya. “Apakah kerugian yang lebih besar yang engkau rasakan?” Gurunya menjawab, “Lupa kepada Allah. Apakah yang Allah lakukan terhadapmu?” Mereka menjawab, “Allah memanggilku menghadapNya seraya berkata: Wahai orang yang mengaku-ngaku, wahai pendusta engkau mengaku cinta padaKu namun kemudian engkau melupakanKu. Engaku selalu lupa sedang  hatimu tetap lalai padahal umur kian tiada sedangkan dosa makin bertambah.” Seorang ayah telah berpesan kepada anaknya, “Wahai anakku, dahulu aku hidup lalai dan matipun  dalam keadaan lalai.”

Seterusnya ketika nabi Yaakub bersahabat dengan malaikat maut. Pada satu ketika malaikat maut datang kepada nabi Yaakub, Nabi Yaakub berkata, “Wahai malaikat maut, engkau datang utuk menziarah atau untuk mencabut nyawaku?” Malaikat maut menjawab, “Untuk menziarah sahaja.” Lalu nabi Yaakub berkata, “Aku mempunyai permintaan kepadamu.” Malaikat maut bertannya, “Apakah permintaanmu?” Maka nabi Yaakub pun menjawab, “ Bila ajalku telah dekat dan engkau hendak mencabut nyawaku, hendaklah engkau memberitahu aku dahulu.” Maka malaikat maut menjawab, “Baiklah. Aku akan mengutus kepadamu dua atau tiga utusan.” Maka ketika ajal nabi Yaakub telah sampai, malaikat maut pun datang lagi kepadanya, lalau ditegur nabi Yaakub, “Adakah engkau datang untuk menziarah atau engkau datang untuk mencabut nyawaku?” dan malaikat maut menjwab, “Aku datang untuk mencabut nyawamu.” Nabi Yaakub bertanya dengan hairan, “Bukankah engkau telah berjanji kepadaku akan mengutuskan dua atau tiga utusan terlebih dahulu?” Malaikat maut menjawab, “Benar, aku telah melakukannya.” Apakah utusan itu?
1.      Putihnya rambut setelah hitam.
2.      Lemahnya badan setelah kuat.
3.      Membongkokkan tubuhmu setelah tegak.
“Itulah utusanku wahai Yaakub kepada manusia sebelum dia mati.”
Itu satu penghormatan yang diberikan Allah kepada nabi Yaakub. Mudah-mudahan kita diberi bantuan oleh Allah untuk menghadapi detik-detik akhir penghidupan kita. Sama-samalh kita memohon keredhaan kepada Allah SWT. Mata kita yang terbeliak ketika tiga perkara:
1.      Apabila kemalangan berlaku.
2.      Melihat perempuan seksi.
3.      Ketika sakaratul maut – Allah tunjukkan semua amalan kita.
-          Allah tunjukkan apa yang kita akan hadapi semasa di dalam kubur.
-          Melihat neraka, terbeliak melihat apa yang kita akan lalui di dalam api neraka.

Ketika itu kita tidak dapat meminta keampunan lagi. Terbeliak macam mana pun kita tak mampu lagi untuk memohon ampun. Jangan sampai mata kita terbeliak saat terakhir kehidupan, minta doa dan muhasabah, perbanyakkan istighfar. Minta Allah matikan dalam keadaan baik. Menyebabkan kerisaun hati apabila kita hendak mati kita akan terpikir apa yang kita tinggalkan, siapa akan mendoakan kita, siapakah yang akan memberikan kita kesenangan ketika di dalam kubur. Ketika berada di dalam kubur hanya 3 perkara yang akan dibawa setelah kematian untuk dipersembahkan dan membantu melepasi kemurkaan Allah, sedangkan Allah sentiasa hendak memberikan rahmatNya kepada kita. Allah utuskan hamba-hamba yang dicintaiNya kepada kita samada dalam bentuk kedua ibu bapa ataupun bakal suami/isteri yang bakal Allah anugerahi kepada kita. Harta dunia telah mengaburi mata kita, akhirnya kita menolak hamba Allah yang soleh. Tetapi mungkin bakal jodoh kita miskin tetapi kita tidak yakin dengan janji Allah. Sesungguhnya Allah telah berkata dalam surah An-Nur[24:32].

Rasulullah telah berpesan, sekiranya kita menolak orang yang soleh dengan alasan kita tidak mahukan gangguan dan sebagainya dan menyebabkan Allah bagi kepada kita orang yang tidak ada fikrah langsung. Pertimbangkan dengan menggunakan neraca Allah, bukan neraca duniawi sahaja. Sama-samalah kita memohon pertolongan dari Allah SWT kerana Allah telah menyatakan dalam surah an-Nisaa’[4:9]:

وَلْيَخْشَ الَّذِينَ لَوْ تَرَكُوا مِنْ خَلْفِهِمْ ذُرِّيَّةً ضِعَافًا خَافُوا عَلَيْهِمْ فَلْيَتَّقُوا اللَّهَ وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan dibelakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”

Di sini Allah telah memberikan peringatan peringatan kepada kita supaya kita  hendaklah takut kepada Allah sekiranya kita akan meninggalkan keturunan yang lemah di belakang kita. Apa yang kita lakukan pada hari ini akan memberikan kesan kepada anak-anak yang bakal kita lahirkan. Sanggupkah kita nanti apabila kita mati kita akan terbeliak mata kita apabila menghadapi sakaratul maut kerana kita gagal mentarbiah anak-anak yang Allah anugerahkan kepada kita dengan didikan rabbani Allah SWT kerana kita lebih mementingkan dunia. Bagi seorang suami yang hanya mementingkan isterinya bekerja hingga sanggup meninggalkan anak-anak di bawah jagaan orang yang tidak mengenal langsung Allah SWT. Apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah di akhirat kelak?

 Semuanya bermula pada hari ini. Sekiranya pada hari ini, kita masih lalai dan lupa dengan Allah, masih tidak malu dengan Allah dalam melakukan dosa, bayangkan bagaimana keadaan anak-anak yang bakal dilahirkan pada generasi akan datang. Namun Allah memberikan jalan keluar. Setiap kita mempunyai amanah. Amanah beerti memberikan hak sedangkan lawan amanah adalah khianat iaitu beerti mengurangkan hak orang lain. Rasullullah SAW telah bersabda bahawa penipu, pembohong serta pengkhianat tempatnya adalah neraka, dan terus bersabda siapa yang bekerjasama dengan manusia dan tidak menzalimi mereka dan apabila berkata tidak bohong, maka dia termasuk orang-orang yang sempurna harga dirinya, terbukti keadilannya dan mestilah berkawan dengannya.

Seorang ulama mengatakan bahawa mereka seorang yang baik, memikat sebab menjaga amanah, tidak suka mengkhianati tanggungjawab dan tidak suka mencabuli kehormatan seorang muslim, mereka adalah umat yang terbaik disisi Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Huzaifah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya amanah akan diangkat dan manusia sama menjual diri, hampir tidak seorang pun melaksanakan amanah hingga dikatakan ada orang yang jujur.” Kita bayangkan dalam realiti kehidupan kita adakah kita berjanji dan menjalankan amanah Allah itu. Diberikan amanah oleh Allah untuk menuntut ilmu. Ataupun yang paling minima, Allah ciptakan kita untuk menjadi abidNya. Adakah kita sudah menjalankan amanah abid Allah? Sebagai hamba Allah, adakah kita telah jalankan amanah itu dengan sempurna? Amanah yang lebih besar iaitu sebagai khalifah Allah SWT. Sebagai pentakbir dimuka bumi Allah mengikut sistem Allah. Sudahkah kita melakukannya? Sama-samalah kita muhasabah diri kita.

Sekiranya kita rasa tidak dapat menjalankan amanah dengan baik, bertaubatlah kerana taubat itu wajib. Taubat nasuha ialah taubat yang murni untuk Allah, taubat yang bersih dari segala kekotoran. Sesunggunhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat, Allah mengasihi orang-orang yang bersuci. Rasulullah SAW bersabda sesungguhnya orang yang bertaubat adalah kekasih Allah, orang yang bertaubat bagaikan orang yang tidak berdosa. Rasulullah berikan peringatan lagi kepada kita bahawa sesungguhnya Allah sukakan taubat seorang mukmin daripada seorang lelaki yang datang ke masjid yang tidak aman, ataupun seorang lelaki yang datang ke masjid yang tidak aman yang membawa bekalan lengkap makanan dan minuman dan dia tertidur sejenak, dan kudanya hilang. Dia menjumpai kudanya kembali setelah memohon doa kepada Allah. Allah lebih menyukai taubat seorang hamba mukmin dari seorang yang temui kuda setelah hilang.

Rasulullah SAW pernah bersabda sekiranya kita telah melakukan dosa setinggi langit lalu kita menyesal, lalu Allah akan menerima taubatnya. Taubat nasuha adalah pemohonan keampunan kepada Allah yang disertai dengan penyesalan. Orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa. Sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan bagai air menghapuskan kekotoran.

Rasulullah SAW pernah bersabda, ketika hamba sedang bertaubat, Allah menerimanya dan melupakan malaikat hafazah akan keburukan amal yang ditulisnnya. Melupakan anggota badannya akan kesalahan yang diperbuat serta melupakan bumi dan langit sebagai tempatnya agar dia datang di hari kiamat tanpa sebarang makhluk yang menyaksikannya. Bersegeralah melakukan taubat. Allah bersabda dalam surah ali-Imran[3:135].

Sesungguhnya taubat nasuha adalah taubat zahir dan batin yang menyebabkan kita menyesal, mohon ampun kepada Allah dan kita tidak akan mengulagi dosa-dosa itu. Allah tidak melihat rupamu, tetapi Allah melihat hatimu. Betapa banyak orang yang datang di hari kiamat datang dengan taubat yang tidak disertai dengan penyesalan. Orang yang berakal akan terus memperbaiki diri. Sekiranya kita menangis dengan benar-benar penyesalan, ia akan menyentuh hati hamba-hamba Allah yang melihatnya. Ini adalah contoh taubat nasuha. Kita berasa menyesal dan barulah boleh berubah. Air mata yang jatuh itu akan menyelamatkan kita dari api neraka. Allah maha luas taubatNya. Tiada suara yang lebih disukai Allah melainkan suara hambaNya yang bertaubat dengan penuh penyesalan setelah melakukan dosa.

Jangan melupakan Allah, jaga amanah Allah. Dalam menjalankan amanah Allah, kadang-kadang kita lalai, kadang-kadang kita terkecundang dalam melawan dorongan nafsu kita sendiri apatah lagi dengan jolokan-jolokan syaitan, bisikan-bisikan syaitan. Untuk itu, Allah sediakan rahmat dengan taubat. Taubat nasuha untuk menyucikan hati kita untuk kembali kepada Allah. Sentiasalah bertaubat dengan penuh kekusyukan, tawadhu'. Mudah-mudahan hati kita sentiasa cinta kepada Allah.

Monday, May 13, 2013

Kebahagiaan Hakiki Kebahagiaan Di Akhirat


Kuliah Baitul Muslim 23/04/13 (5.50pm- 7.30pm waktu russia)

Assalamualaikumum wrt...

Kita hendaklah terus mengucapkan kesyukuran tanpa rasa jemu, tanpa rasa cukup.

Hubungan ketaatan kepada Allah adalah rasa rendah diri , rasa sayang , rasa cinta kepada Allah taala, dan dapat merasa hubungan yang intim dengan Allah. Itu merupakan satu kebahagiaan yang hakiki.
Hamba-hamba yang terpilih akan sentiasa menyediakan persiapan untuk bertemu Allah swt dan Allah sentiasa memilih hamba-hamba yang mahu dekat kepada-Nya.
Cuma kadang-kadang dalam perjalanan untuk mendekatkan diri kepada Allah ada tarikan-tarikan yang mengalihkan pandangan kita dan menjadikan kita hilang fokus. Lantas, tarikan-tarikan dunia itu mengalih pandangan fokus kita kepada Allah di hadapan.
Kadang-kadang, terdapat suara-suara yang menarik, yang merdu, yang menyebabkan hati kita tergoda dan kita mengalihkan perhatian kita daripada Allah untuk menghayati keasyikan suara merdu itu.
Ucapkan kesyukuran kepada Allah jika kita mendapat ibu bapa yang muttaqin sehingga anak-anak dipilih utntuk berada dalam kuliah pada hari ini. Dipilih khas dari Allah untuk mendapat sentuhan iman.
Orang yang bertaqwa kepada hari akhirat, pemegang passport akhirat mengetahui bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, insyaAllah akan menghargai setiap detik kehidupan, sentiasa melakukan amal soleh tanpa membazir sedikit pun waktu.


Kita mengharapkan syafaat, agar kita dikenali oleh Rasulullah saw sebagai umat yang sentiasa mencintai Allah, rasulNya dan kepada ibu bapa kita yang memperkenalkan kita kepada Allah dan rasulNya.
Ingkarlah kepada suruhan ibu bapa yang mahu kita melakukan mungkar. Namun, pergaulilah ibu bapa kita dengan pergaulan yang baik.
Jangan biarkan kita menjadi penyebab air mata ibu bapa kita kerana jika demikian berlaku, kita akan terpaksa membayar balik air mata itu dengan amalan soleh kita, nauzubillah..

Tanamkan dalam hati kita doa agar di detik terakhir kehidupan ibu bapa kita, kitalah yang akan menjadi orang yang akan menyebut kalimah 'Laailaha illallah, Muhammadur rasulullah' untuk mereka ucapkan semasa datangnya sakaratul maut sebelum mereka kembali dalam dakapan cinta, dan agar kita saling bertemu semula di depan pintu syurga.
Tilawah (ar Rum 30: 54-56)

Suruhan Allah supaya kita amalkan. Sekiranya larangan, kita nilai balik diri kita adakah kita masih melakukan larangan Allah ini. Buanglah rasa ragu-ragu, rasa berat hati kerana Allah bermaksud mahu menaikkan darjat kita.

Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan yang lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu kuat, kemudian Dia menjadikan kamu setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa.

Dan pada hari ketika terjadinya kiamat, orang yang berdosa bersumpah bahawa mereka berdiam (dalam kubur) hanya sesaat (sahaja). Begitulah dahulu mereka dipaling (dari kebenaran).

Dan orang-orang yang diberikan ilmu dan keimanan berkata (kepada orang-orang kafir), “sungguh, kamu telah berdiam (dalam kubur) menurut ketetapan Allah, sampai hari berbangkit. Maka inilah hari berbangkit itu, tetapi (dahulu) kamu tidak meyakini(nya).”
(30:54-56)

Kita lahir sebagai anak kecil, yang lemah, kemudian kita menjadi kuat tetapi kemudiannya kita menjadi tua dan lemah kembali. Pada masa itu, kita akan memerlukan anak-anak untuk membantu kita.

Bayangkan sewaktu kiamat, bumi meletup, bintang-bintang berguguran, bayangkan apakah keadaan kita pada masa itu. Orang yang di dalam kubur akan merasa betapa sebentarnya dunia. Pada masa itu, kemaafan dari orang zalim tidak akan diendahkan oleh Allah taala. Kerana kita masih boleh tidur dengan lena walaupun melakukan kemaksiatan. Kita tidak menutup hari kita dengan taubat. Kita hendaklah menggunakan masa kita yang ada untuk sentiasa beramal soleh, mempertingkatkan amalan soleh. Allah mengembalikan ruh kita pada setiap pagi untuk melihat adakah kita tergolong dalam golongan hambaNya yang mahu bertaubat, pulang kembali kepada Allah.

Sama-samalah kita melawan nafsu syahwat kita supaya kita menjadi yang terdepan dalam berinteraksi dengan Allah swt. Jika kita berjaya memerangi nafsu syahwat kita dalam kalangan manusia, kita akan menjadi yang terkedepan dalam interaksi dengan Allah.
Lawanlah nafsu kita selama 1 hari, insyaAllah darjat kita akan terangkat sebanyak 2 darjat. Orang-orang yang mulia melawan nafsu mereka sehinggalah Allah mengangkat darjat mereka. Mereka melakukannya dalam masa yang lama, bukan sehari, bukan 2 hari.

Contoh saidina Ali telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pengganti baginda di katil di saat pembesar-pembesar Quraisy mahu menyerbu masuk untuk membunuh baginda Rasulullah. Itulah saat terindah bagi Saidina Ali. Asma binti Abu Bakar pula yang berumur 23 tahun, dalam keadaan mengandung, membawa makanan untuk Rasulullah dan Abu Bakar. Mereka yang membantu Rasulullah dalam peristiwa besar hijrah adalah pemuda-pemudi. Bagaimana pula dengan kita?apakah sumbangan kita untuk Islam? Adakah kita masih berlazat-lazat dengan makanan yang enak?

Sekiranya kita menginginkan Allah swt, jalannya sudah jelas. Ingat, kita akan mati. Yang penting, kita hendaklah sedar bahawa Allah menciptakan kita untuk menjalankan tugas sebagai seorang abid, dan seorang khalifah. Tentukan hala tuju perjalanan kita di akhirat pada hari ini. Sebagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh setelah mendengar hadis Rasulullah yang bercerita tentang ciri-ciri panglima dan tentera yang menakluki kota Konstatinopel, terus dia berazam dan menjadikan solat malam sebagai amalan. Seterusnya, kita tahu akhirnya dia berjaya!

Oleh itu, tundukkanlah syaitan. Ia akan melajukan langkah kita menuju Allah swt setelah kita berjaya mengawal nafsu kita. Ketahuilah setiap orang mahukan kebahagian namun kebahagiaan yang hakiki adalah bahagia di akhirat kelak. Jika kita cuba membahagiakan orang lain, kita akan bahagia. Jika kita cuba mencari kebahagiaan dengan melakukan maksiat, kita akan menderita. Tidak ada kebahagiaan di dunia yang sempurna. Setiap bahagia di dunia akan ada cacat celanya. Ini kerana Allah mahu kita mendambakan kebahagiaan di akhirat yang sempurna. Contoh, kita bahagia makan makanan yang enak, selepas itu mungkin kita akan sakit perut, atau kekenyangan yang amat lalu tidur kemalasan. Nampak kan di sini, kebahagiaan kita makan diiringi dengan cacat cela iaitu sakit perut atau ketiduran dalam malas.

Kita hendaklah berdoa supaya setiap perkataan dan perbuatan kita di dunia akan membawa kepada kebahagiaan kita di akhirat. Kita hendaklah memanfaatkan ilmu, harta dan kesihatan untuk memastikan kita ada bekalan untuk menuju akhirat.

Wallahu'alam.