Kuliah Baitul Muslim 21.03.13
Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Apabila
manusia diberikan kenikmatan oleh Allah, sebahagian mereka lupa pada Allah, tidak
mengenal siapa diri mereka sendiri dan apakah tujuan mereka dihidupkan, mereka
melakukan mengikut kehendak mereka. Allah sentiasa mengingatkan kepada kita
dengan ayat ayat yang penuh dengan kasih sayang. Sesungguhnya Allah itu
bersifat maha pengasih lagi maha penyayang. Manusia yang telah melakukan
kesilapan, Allah ajarkan kalimah taubat. Sebagai satu tanda ketaatan kepada
Allah kita perlu melakukan pengorbanan, jihad, berusaha bersungguh sungguh,
untuk menjadi abid yang dicintai Allah swt.
Selama 24 jam
yang telah Allah berikan kepada kita setiap hari, berapa lamakah masa yang kita
luangkan untuk mengingati Allah? Sekiranya kita sentiasa merasakan kehadiran
Allah dekat dengan kita, Allah akan sentiasa memerhatikan kita dan memastikan
kita berada di dalam lindungan ketaatan kepadanya. Janganlah kita melupakan
Allah, kerana sekiranya sedetik pun kita terlupa akan Allah, kita akan tidak
sedar apa yang kita lakukan. Apa yang kita sembunyikan semuanya akan
ditunjukkan oleh Allah dihadapan kita kelak apabila kita berhadapan dengan
Allah. Apakah yang mampu kita lakukan disaat itu? Disaat Allah menayangkan
segala keaiban kita, segala keburukan kita kerana mungkin didunia kita sentiasa
membuka keaiban orang lain, maka Allah membuka keaiban kita nauzubillah.
Mungkin Allah
akan membuka keaiban didalam rumah kita sendiri. Mungkin kita terlupa
tanggungjawab pada anak-anak kita. Sebab itu, kuliah baitul muslim ini, iA
dapat membentuk diri kita, mentarbiyah mudah mudahan menjadi abid yang dicintai
Allah. Rasulullah saw telah berpesan, sekiranya kita berdoa kepada Allah untuk
dimasukkan kedalam syurga, mintalah agar dimasukkan kedalam syurga yang paling
tinggi, iaitu jannatul firdaus.
Untuk kita
menjadi abid yang merdeka disisi Allah, kita memerlukan 4 step. Yang pertama
adalah, kita tundukkan syaitan. Mohonlah kepada Allah swt agar memberi kita
kekuatan untuk menundukkan syaitan. Syaitan melihat kita, tetapi kita tidak
dapat melihat syaitan. Namun Allah memberi kekuatan untuk kita bergantung pada
Allah supaya kita mampu menundukkan syaitan. Kerana syaitan telah berjanji
dengan Allah, untuk menyesatkan kita dan Allah memberikan keizinan. Kerana
Allah yakin, manusia akan mampu melawan sekiranya manusia bergantung pada
bantuan Allah swt. Ingatlah, Allah sentiasa memberi bantuan kepada hamba
hambanya yang ikhlas. Allah memberikan kita senjata a'uzu billahi minashaitanir
rajim. Setiap kali dibaca, sesungguhnya, syaitan akan lari.
Dan yang
kedua, kita perlu sedar siapa diri kita disisi Allah. Kita adalah abid abid
yang diciptakan khas untuk menyambung perjuangan para anbiya. Allah menciptakan
kita dengan sebenar benar kebaikan yang cukup hebat, cukup cantik, cukup indah.
Tetapi sejauh mana kita menggunakan kesempurnaan yang Allah kurniakan kepada
kita. Berdoalah agar Allah tidak menjatuhkan martabat kita.
InsyaAllah
pada hari ini kita akan melihat betapa hebat Allah meletakkan kita ditempat
yang cukup tinggi dan segala proses penciptaan kita sendiri sehinggalah kita
dilahirkan. Walaupun kita hanya berada di perut ibu selama 9 bulan, tetapi
penuh dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Allah hasilkan kasih sayang itu
melalui kedua ibu bapa kita apabila bercampurnya air mani seorang ibu dan ayah
kita yang soleh solehah hingga jadilah kita pada hari ini. Itulah hidayah dan
juga taufik yang Allah berikan hingga kita mampu menundukkan syaitan dan
memelihara kemuliaan diri kita. Apabila syaitan telah tunduk, kita sedar siapa
diri kita di bumi ini, barulah kita mampu menundukkan diri kita kepada Allah
swt. Sekiranya syaitan masih bertapak dalam diri kita, kita tidak akan tundukkan
diri kepada Allah, kerana masih ada keegoan dan kedegilan.
Rasulullah
telah berpesan kepada kita, di dalam hadis : “Ada dua mata yang tidak akan
disentuh oleh api neraka. Yang pertama, mata yang sentiasa menangis kerana
takut kepada Allah. Yang kedua, mata yang bermalam dalam keadaan berjaga kerana
berjihad di jalan Allah.”
...........
...........
Tadabbur surah Al-Insan ayat 1-31
Kita cuba
ambil tadabbur ini secara ringkas, apakah firman atau suruhan Allah swt di
dalam surah ini dan sekiranya masih ada lagi suruhan Allah yang belum kita
laksanakan, maka teruslah kita laksanakan selepas ini iA. Dan seterusnya kita
lihat pula pada larangan Allah, maka kita tinggalkan. Sekiranya larangan itu
masih sebati dalam kehidupan kita, maka kita tinggalkanlah agar kita memperoleh
kemenangan di dalam jihad nafs. Semoga Allah memberikan gantian amalan pahala
yang baik disisi Allah, dengan melakukan taubat kepada Allah dengan taubatan
nasuha.
Sekiranya kita
hanya berazam untuk tidak lagi mengulangi dosa itu, masih belum langsai lagi
dosa kita pada Allah, selagi kita belum bertaubat pada Allah dengan taubat
nasuha. Solatlah taubat minima dua rakaat sebelum tidur setiap malam. Mudah
mudahan sebelum kita tidur, kita dapat memohon taubat pada Allah andai
sepanjang hari kita itu, ada dosa2 yang kita lakukan tanpa sedar. Mungkin kita
terbuat perkara perkara yang menyebabkan Allah murka, memalingkan muka daripada
kita, nauzubillah. Ada tujuh perkara yang boleh menyebabkan Allah memalingkan
muka di akhirat kelak. Tentang ini ummi sudah sentuh pada kuliah kuliah sebelum
ini.
Dalam surah al-Insan ini, ummi akan
mulakan dengan asbabun nuzul sesetengah ayat.
Dalam ayat
yang ke 20, asbabun nuzulnya, Ikrimah ra memaparkan bahawa suatu hari, Umar bin
alKhattab ra menemui Rasulullah yang ketika itu sedang tidur beralaskan pelepah
kurma, sehingga bekasnya pun kelihatan pada badan baginda. Melihat hal itu,
Umar pun menangis. Rasullah saw bertanya “mengapa engkau menangis?”. “Aku ingat
Kisra dan kekuasaannya, Hurmuz dan kerajaannya, raja Habsyah dan kerajaannya,
sedangkan engkau adalah utusan Allah, tetapi engkau hanya tidur beralaskan
tikar”. Rasulullah bersabda: “Apakah engkau tidak ridha, dunia bagi mereka dan
akhirat bagi kita ?” Lalu turunlah ayat ini. Ini merupakan situasi yang berlaku
pada Rasulullah saw, dan menyebabkan para sahabat sedih.
Jikalau kita
baca pada kisah yang lain juga, Bilal bin Rabah, betapa cintanya beliau pada
Rasulullah saw, sebelum Rasulullah wafat, baginda menyuruh Bilal bin Rabah azan
setiap kali waktu solat untuk memanggil manusia. Walaupun suara Bilal bin Rabah
agak pelat sewaktu menyebut Allahuakbar dan sebagainya, namun keikhlasan beliau
dalam melaungkan azan, azannya didengari penghuni langit dimana menembusi
langit. Dan ketika angkasan naik keangkasa, ada suatu ketika angkasawan itu
mendengar azan. Bila dikaji dari mana datangnya azan itu, rupanya dari Madinah.
Apapun kita
mohon pada Allah swt supaya amalan kita yang ikhlas ini, akan mampu sampai
kepada Allah swt menembusi tujuh lapisan langit dan Allah terima amalan kita.
Kerana, ramai manusia, yang amalannya sampai ketujuh petala langit tetapi
apabila sampai pada Allah, amalan itu dibuang begitu sahaja kerana amalan itu
dilakukan bukan kerana Allah semata mata, maka ia tertolak disisi Allah.
Walaupun amalan itu cukup hebat dan sempurna disisi manusia tetapi tidak
bernilai disisi Allah.
Seterusnya
asbabun nuzul ayat ke 24, Qatadah ra menerima kabar tentang Abu Jahl yang
berkata: “Jika aku melihat Muhammad sedang sholat, aku akan menginjak
tengkuknya.” Maka disitu, Allah turunkan ayat ini, memberikan kekuatan dan
nasihat pada Rasulullah saw, bersabarlah untuk melaksanakan ketetapan tuhanmu
dan janganlah kau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara
mereka.
Kemudian kita
teruskan serba sedikit dengan tadabbur ayat 1. Bayangkan, keadaan kita yang mana
asalnya daripada air mani ibu dan juga ayah yang hanya merupakan lendiran putih
sahaja. Tetapi boleh menjadi manusia. Ingatlah asal kita daripada itu.
Pertemuan lelaki dan wanita yang diijabkabulkan oleh Allah swt, berlakunya
persetubuhan. Sebab itu dalam step step ini, kita kena ikut syariat Allah.
Untuk bertemu lelaki dan wanita, untuk kita mendapatkan pasangan, Allah telah
ajarkan pada kita dengan doa. Apabila timbul keinginan untuk berumah tangga,
bacalah doa “rabbana hablana min azwajina wazurriyyatina qurrata a'ayun
waj'alna lilmuttaqeena imama”.
Sedar atau
tidak, ketika kita baca doa ini, sebenarnya Allah ajar kita satu doa untuk kita
ini diberikan kekuatan, kemampuan dan petunjuk oleh Allah untuk membina tiga
tamadun. Rabbana hablana (Ya allah kurniakanlah, berikanlah, utuskanlah,
anugerahkanlah kepada kami). Orang yang meminta sesuatu daripada Allah swt,
sebenarnya Allah telah memberikan satu bimbingan disitu bahawa, kita diajar
Allah untuk membina tamadun kapasiti diri. Seorang hamba Allah yang sedar siapa
dirinya dimuka bumi, dia akan menumpukan sepenuh pengabdiannya, permintaan
pertolongan, dan juga permohonan rezekinya untuk dapat pasangan hidup, dapatkan
anak. Itu semua rezeki Allah swt.
Ummi nak
kongsikan tentang menantu ummi, tidak pernah berkawan dengan lelaki, ditarbiyah
supaya tidak berinteraksi dengan lelaki ataupun wanita yang bukan mahram, doa
supaya Allah tutupkan daripada lintasan nafsu syahwat yang haram. Apabila
datangnya pinangan daripada anak ummi, disitu dia memberikan jawapan bahawa
sesunguhnya kehadiran suaminya itu adalah hadiah daripada Allah swt. Untuk kita
dapat sampai ke peringkat yang sebegini, ia memerlukan pentarbiyahan dan
penyucian diri yang berterusan sampai satu tahap kita melihat apapun yang
berlaku kepada kita ia adalah hadiah daripada Allah dan ia adalah yang terbaik.
Apabila berlaku disekeliling dia yang mampu menggugat syariat Allah swt, dia
akan rasa sedih. Itulah yang cuba kita tanamkan. Ia memerlukan satu proses yang
panjang.
Jadi disini,
apabila seorang abid Allah, kehidupannya Allah berada dalam hatinya, maka dia
akan berdoa kepada Allah rabbana hablana, ini merupakan satu bimbingan daripada
Allah untuk membina tamadun yang pertama, iaitu tamadun kapasiti diri.
Kemudian, kita tahu, kita perlukan pasangan. Itu merupakan fitrah. Maka kita
berdoa kepada Allah, min azwajina (daripada isteri kami) . Isteri yang macam
mana? Itu yang kita minta pada Allah untuk utuskan teman hidup kita. Apabila
kita mampu, apabila Allah telah bertapak dalam hati kita, kita akan berdoa pada
Allah agar Allah yang utuskan isteri ataupun suami kepada kita. Maknanya kita
telah mendapat petunjuk daripada Allah untuk membina kapasiti atau tamadun yang
kedua.
Seterusnya
wazzurriyatina. Setelah kita tahu pegangan kita, sebagai abid khalifah di muka
bumi, kita tak boleh hidup sorang sorang, kita perlukan pasangan hidup yang
boleh melahirkan zuriat. Kalau lelaki dengan lelaki, tidak akan menghasilkan
anak. Begitu juga perempuan dengan perempuan. Sebab itu, Allah berikan
kemurkaannya pada hamba hambanya yang ingkar ini. Mereka inilah yang
menghancurkan keturunan mereka. Kita perlu melakukan sesuatu iaitu dakwah,
supaya ideologi jahiliyyah ini tidak menular kedalam hidup oleh orang Islam.
Untuk kita
menurunkan benih kita, Rasulullah saw berpesan pada anak anak lelaki, perlu
dilihat, tempat untuk menurunkan benih itu, adakah ia ladang yang baik, ataupun
ladang yang pernah dicemari atau ladang yang penuh dengan dosa? Sekiranya kita
ada dosa, kita bertaubat pada Allah supaya Allah hadirkan pada kita orang yang
suci juga daripada dosa. Kalau anak lelaki nak pilih isteri, Rasulullah saw telah
memberikan hadis baginda, “wanita itu dikahwini kerana empat perkara, pertama
kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana ad dinnya.
Sesungguhnya sekiranya kamu memilih ad dinnya, kamu akan beruntung. Sekiranya
tidak, maka kamu akan menghadapi kemusnahan atau kerugian.” Rasulullah menyuruh
supaya mengutamakan ad din dulu. Lepas itu barulah boleh pilih yang cantik dan
sebagainya. Kemudian kita hanya serah pada Allah, kerana jodoh itu telah
ditentukan.
Kita mohon
pada Allah, kerana dengan itu, kita telah membina tamadun yang kedua iaitu
tamadun kapasiti institusi. Wazurriyyatina qurrata a'ayun – kita minta pada
Allah supaya kurniakan kita zuriat yang benar benar beriman dan bertakwa sebab
itulah yang dinamakan qurratuain, menjadi penyejuk mata kita. Supaya apabila
kita telah berpegang pada Allah, dapat isteri dan suami yang soleh solehah, kita
bersyukur pada Allah, kita solat sunat selepas akad nikah. Ketika kita nak
sentuh isteri kita, kita pegang kepalanya, dan berdoa kepada Allah, “ya Allah
aku mohon kepadamu akan kebaikan buat isteriku dan apa yang akan engkau
ciptakan darinya”. Kita mohon Allah berikan kebaikan kepada kita melalui isteri
kita yang solehah dan sekiranya Allah kurnikana anak, anak yang akan memberi
qurrata a’ayun juga pada kita.
Waj'alna
lilmuttaqeena imama – Kita berdoa pada Allah supaya Allah redha, pilih, bimbing
kita untuk menjadi pemimpin bagi orang orang yang bertakwa. Ini adalah tamadun
yang sangat besar. Sebab itu, apabila kita boleh pimpin keluarga kita dalam
keadaan takwa, insyaAllah kita akan mudah untuk memimpin ummah, negara, dan seluruh
dunia dengan izin Allah swt. Tetapi sekiranya kita anak yang kita lahirkan
sendiri pun kita tak mampu nak tarbiyah mereka, yang mana sepatutnya seorang
ibu, seorang suami mencari nafkah. Itu adalah tanggungjawab yang Allah pikulkan
kepada seorang suami yang menjadi pemimpin.
Allah pilih
suami sebagai pemimpin dalam surah an Nisa’ ayat 34. Allah lebihkan pada lelaki
ini, kerana lelaki dikehendaki untuk menjadi pemimpin rumah tangganya. Selepas
itu Rasulullah saw berpesan bahawa, lelaki adalah pemimpin dan isteri adalah
pengurus rumahtangganya. Suamilah diwajibkan untuk mencari nafkah, manakala
isteri tidak perlu keluar mencari kerja. Sekiranya isteri pun dikerah mencari
rezeki, siapa yang nak mentarbiyah anak dirumah? Siapa yang nak mengelola
rumahtangga? Sebab itu timbul pada hari ini anak anak yang kehilangan arah,
bermasalah sebab apa? Sebab manusia tidak taat pada fitrah Allah. Namun, yang
terpaksa bekerja, pastikan anak anak dan pengurusan rumahtangga tidak
diabaikan.
Sekiranya ada
anak anak lelaki atau perempuan yang enggan bernikah dengan alasan nak fokus
jalan dakwah tarbiyah, ingat, pertama, sejauh mana atau sehebat manapun kita
berdakwah, bernikah adalah sunnah Rasulullah saw. “Sekiranya umatku menolak
sunnahku, sesungguhnya mereka bukan dari kalangan umatku”. Kedua, sekiranya
kita enggan bernikah, sehebat manapun kita, kita tidak akan mampu
menyempurnakan seluruh ad din. Sebab itu, ketika seorang lelaki ataupun
perempuan bernikah, Rasulullah telah memberi pengiktirafan yang tinggi iaitu, “Sekiranya
seorang umatku telah bernikah, maka dia telah menyempurnakan separuh dari ad
din.”
Pahala nafkah
Allah kurniakan hanya pada seorang suami yang memberi nafkah pada anak dan
isterinya. Sama ada nafkah kebendaan, tempat tinggal yang baik, makanan yang
halal, kenderaan yang baik. Dari segi bukan kebendaan, tarbiyah, nafkah batin.
Persetubuhan suami dan isteri yang halal dikira sedekah dan mendapat pahala.
Isteri mendapat pahala berhias untuk suami, pahala bersalin yang mana Allah
hapuskan dosa kita dari setiap titik darah yang keluar ketika kita melahirkan
anak atau setiap titik susu yang kita keluarkan untuk anak. Berdoalah pada
Allah supaya Allah beri kita peluang untuk menimba pahala pahala ini.
Allah telah
berfirman di dalam surah An Nur ayat 32. Melalui surah ini, Umar al Khattab
mengatakan, siapa yang merasa dirinya miskin, hendaklah dia menikah. InsyaAllah
Allah akan kayakan dia. Jadi itulah yang perlu ditik beratkan, masalah enggan
bernikah yang menjadi satu fenomena yang melanda umat Islam pada hari ini. Anak
anak lelaki yang berada di jalan dakwah dan tarbiyah, mereka merupakan lelaki
yang miskin, jadi buat yang perempuan, kalau ingin bernikah dengan ikhwah yang
berada di jalan ini, mereka miskin, sebab rezeki yang Allah bagi pada mereka
mereka infakkan pada Allah. Untuk pernikahan bersama mereka, mudahkanlah mahar.
Mudah mudahan Allah memberi keberkatan pada anak ummi kesemuanya.
Apabila sudah
mempunyai perasaan pada yang berlainan jantina, maknanya itu petunjuk dari
Allah yang anda telah bersedia untuk bernikah. Mohonlah pada Allah, agar Allah
halakan pada system syariat Allah. Walau dalam apa keadaan sekalipun, jangan
terlibat dengan nafsu syahwat yang haram. Rasulullah saw telah bersabda, zina
kemaluan bermula dengan zina mata. Zina mata akan jatuh ke hati. Bila tiba
dihati, sudah susah untuk cuci. Sebab itu adanya bercinta diam diam, kemudian
berchatting di internet, ataupun melakukan sesuatu yang diluar batasan seperti
beronani. Kita tidak akan sampai ketahap sebegitu sekiranya kita tidak memberi
peluang kepada mata kita. Sebab itu dalam surah an Nur ayat 30-31 Allah suruh
tundukkan pandangan. Memang Allah tahu, anak anak yang mula baligh sudah
mempunyai perasaan sebegitu. Sebab itu kita perlu tahan dan kawal dan dalam
masa yang sama, kepada ibu dan bapa juga disarankan supaya permudahkan anak
anak untuk bernikah.
Peliharalah
mata kita, jangan sampai menjadi zina hati. Apabila zina hati berlaku, ia akan
sampai ke kepala. Kepala akan selalu memikirkan macam mana nak menarik
perhatian untuk berkomunikasi. Di facebook, mula add sebagai friend. Sebab itu,
sekiranya ada lelaki atau perempuan dalam facebook kita yang ada bukan sebab
muamalah, disapprove atau unfriend. Kalau kita approve dan biar, pastikan kita
ada jawapan untuk diberi pada Allah kelak. Mohon Allah pelihara nafsu kita,
insyaAllah Allah permudahkan pernikahan kita. Selagi kita tidak mampu kawal,
selagi itu Allah tidak akan beri pasangan pada kita. Apabila kita berjihad
melawan nafsu, Allah tahu betapa susahnya, dan Allah akan permudahkan. Tetapi
kalau kita tidak jaga, Allah akan panjangkan lagi perjalanan itu. Sama samalah kita
bermohon doa supaya Allah pelihara. Itu sahaja yang ummi dapat sampaikan pada
hari ini. Ulasan surah Al-Insan ayat 1.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment