Kuliah Baitul Muslim
18 April 2013
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT.
Kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih diberikan masa dan peluang untuk memperbaiki diri kita. Allah SWT mengingatkan kita bahawa setiap detik yang Allah berikan kepada kita itu sangat bermakna kerana ia merupakan kesempatan untuk kita memohon ampun kepada Allah SWT atas segala dosa-dosa yang lalu, yang sedang terlaku atau yang akan terlaku sama ada kita sedar atau pun tidak, kita nampakkan atau kita sembunyikan, kita sengaja atau pun tidak sengaja, dosa besar atau pun dosa kecil.
Allah SWT memberi teguran kepada kita dalam pelbagai cara. Mungkin hanya melalui detikan hati untuk mengingatiNya. Itu semua adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita. Kita harus terus mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT. Sekiranya kita lupa, Allah SWT mengingatkan kita dengan pelbagai bentuk, dengan menundukkan segala apa yang ada di sekeliling kita kepada kita atau dengan memberikan ujian kepada kita atau pun Allah berikan bantuan kepada kita dengan mengutuskan hamba-hamba yang dicintai dalam kehidupan kita untuk mengingatkan dan untuk mengasihi kita.
Apa pun yang berlaku, semuanya itu berada dalam perancangan Allah SWT yang Maha Halus. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apa pun yang Allah berikan kepada kita adalah kerana Allah sayang dan cinta kepada kita, hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa kepadaNya, yang sentiasa ikhlas dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.
Apa pun yang Allah berikan kepada kita adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada kita, sama ada dalam bentuk kesenangan, kejayaan atau kesusahan yang membuatkan kita lebih hampir kepada Allah SWT. Namun, sekiranya Allah memberikan kesenangan atau kejayaan kepada kita yang membuatkan kita lebih jauh daripadaNya, itu adalah tanda istidraj/punishment kepada kita, hamba-hambaNya yang mungkar.
Itulah keadaan-keadaan yang silih berganti dalam kehidupan kita. Susah, adanya senang. Sibuk, adanya lapang. Sihat, adanya sakit. Suka, diiringi duka. Namun, setiap kesusahan itu pasti diiringi oleh Allah SWT dengan kesenangan selepas itu insyaAllah. Hidup kita ini ibarat roda yang kadang-kadang berada di bawah, kadang-kadang berada di atas.
Walau apa pun keadaannya, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT dengan rendah hati agar kita sentiasa istiqamah dalam usaha kita mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai abidNya dan agar Allah berikan kita keistiqamahan dan kekuatan dalam kita menjalankan amanah Allah SWT untuk mengolah dunia ini, mentadbir muka bumi Allah SWT ini dengan mengikut sistem dan tatacara yang telah digariskan olehNya kepada kita. Pahala itulah yang Allah berikan kepada kita dan kita mohon doalah kepada Allah SWT supaya pahala yang Allah berikan kepada kita di dunia ini, dapat kita bawa sebagai bekal untuk kita persembahkan kepada Allah dalam bentuk yang paling sempurna di sisiNya kelak.
Justeru, kita hendaklah membersihkan diri kita supaya kita tidak kecundang atau muflis di akhirat kelak kerana segala amalan kita diambil kembali oleh hamba-hamba Allah yang pernah kita zalimi, aniayai atau yang kita umpat keji di dunia namun kita terlupa atau tidak sempat untuk memohon keampunan kepada Allah dan daripada hamba yang kita aniayai yang menyebabkan kelak di akhirat, ketika kita berada di hujung siratul mustaqim, yang dibawahnya terdapat api neraka yang membahang, di hadapan kita sudah dekat syurga yang sudah terlihat oleh mata.
Allah akan hadapkan kepada kita orang-orang mukmin yang pernah kita zalimi sepanjang hayat kita yang menyebabkan segala amalan kita tergantung, pahala-pahala kita terpaksa diberikan kepada mereka untuk membayar hutang-hutang dosa kita kepada mereka dan dosa-dosa mereka terpaksa pula kita ambil kerana pahala kita yang tidak mencukupi untuk membayar dosa-dosa kita kepada mereka. Akhirnya, kita jatuh ke dalam neraka. Nauzubillahi minzalik.
Sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu?”
Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.” Lantas Baginda s.a.w bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadith Riwayat Muslim)
Sebesar mana pun dosa kita, Allah tidak akan keberatan untuk mengampuninya. Ada dua titisan yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka. Yang pertama, titisan air mata taubat seorang pendosa dan yang kedua, titisan darah para syuhada’ yang berjihad fi sabilillah.
Dalam surah Al-Furqan ayat 70, Allah SWT berfirman:
‘Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebajikan, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.’
Andai kita takut untuk melakukan maksiat, sesungguhnya kita sudah capai makam taubat. Justeru, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah memberikan kita ketakutan untuk melakukan maksiat.
TADABBUR AL QURAN (AL-A’ARAF:199-206)
‘Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh’
‘Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui’
‘Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)’
‘Dan teman-teman mereka (orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-henti (menyesatkan)’
‘Dan apabila engkau (Muhammad) tidak membacakan suatu ayat kepada mereka, mereka berkata, “Mengapa tidak engkau buat sendiri ayat itu?”.Katakanlah (Muhammad),”Sesungguhnya aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan Tuhan kepadaku. (Al-Quran) ini adalah bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu, petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman’
‘Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat’
‘Dan ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lengah’
‘Sesungguhnya orang-orang yang ada disisi Tuhanmu tidak merasa enggan untuk menyembah Allah dan mereka menyucikanNya dan hanya kepadaNya mereka bersujud’
Allah menyuruh kita menjadi pemaaf, mengajak orang lain kepada kebaikan dan tidak mempedulikan orang-orang yang mahu menghalangi kita daripada melakukan kebaikan. Dan sekiranya terbit rasa was-was dalam hati kita, hendaklah kita segera memohon perlindungan daripada Allah dengan membaca ‘A’uzubillahi minasyaitanir rajim’ (sahaja aku berlindung dengan Allah dari gangguan syaitan yang direjam).
Allah memberitahu kepada kita bahawa orang yang bertakwa akan segera mengingati Allah apabila dibayangi fikiran untuk berbuat jahat. Barang siapa yang takut untuk mengingati perkara lain selain Allah bermaksud mereka sudah mencapai makam musyahadah iaitu makam ihsan yang tertinggi.
Dalam hadis ke2 daripada hadis arba’in an-nawawi:
Dari Umar radhiallahuanhu juga dia berkata : Ketika kami duduk-duduk disisi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam suatu hari tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju yang sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun diantara kami yang mengenalnya. Hingga kemudian dia duduk dihadapan
Nabi lalu menempelkan kedua lututnya kepada kepada lututnya (Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam) seraya berkata: “ Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam ?”, maka bersabdalah Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam : “ Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada Ilah (Tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan shalat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu “, kemudian dia berkata: “ anda benar “. Kami semua heran, dia yang bertanya dia pula yang membenarkan.
Kemudian dia bertanya lagi: “ Beritahukan aku tentang Iman “. Lalu beliau bersabda: “ Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhir dan engkau beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk “, kemudian dia berkata: “ anda benar“.
Kemudian dia berkata lagi: “ Beritahukan aku tentang ihsan “. Lalu beliau bersabda: “ Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau” .
Kemudian dia berkata: “ Beritahukan aku tentang hari kiamat (kapan kejadiannya)”. Beliau bersabda: “ Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya “.
Dia berkata: “ Beritahukan aku tentang tanda-tandanya “, beliau bersabda: “ Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan penggembala domba, (kemudian) berlomba-lomba meninggikan bangunannya “,
Kemudian orang itu berlalu dan aku berdiam sebentar. Kemudian beliau (Rasulullah) bertanya: “ Tahukah engkau siapa yang bertanya ?”. aku berkata: “ Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui “. Beliau bersabda: “ Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian (bermaksud) mengajarkan agama kalian “.
(Hadith Riwayat Muslim)
Asbabun nuzul ayat 204 adalah seperti mana yang telah dijelaskan oleh Abu Hurairah ra iaitu pada suatu waktu, orang-orang yang melakukan solat di belakang Rasulullah SAW terbiasa membacakan ayat-ayat Al-Quran dengan suara yang keras dan nyaring. Oleh itu, ayat ini diturunkan sebagai perintah agar selalu mendengarkan dan memperhatikan bacaan imam ketika solat berjemaah. Bagi para makmum, hendaklah membaca ayat-ayat Al-Quran dengan suara yang perlahan.
Asbabun nuzul ayat 205-206 telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Daripada Abu Uzar Al-Asyari ra bahawa suatu ketika para sahabat mengeraskan suara ketika berdoa. Rasulullah SAW bersabda, ‘Wahai umat manusia, perlahankanlah suaramu. Sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada zat yang tuli dan bukan yang ghaib. Sesungguhnya, Dia adalah zat yang Maha Mendengar dan Maha Dekat’. Maka, turunlah kedua-dua ayat ini.
MODUL KETAQWAAN JUNDI MENUJU SYURGA ALLAH SWT
Salah satu musuh kita yang menghalangi kita dari jalan kebaikan adalah keliaran nafsu yang sukar untuk dikawal dan ditangani. Allah merakamkan perihal nafsu ini di dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:
‘Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang’
Nafsu merupakan musuh dalaman kita. Nafsu adalah tempat berinteraksi perkara yang buruk dan jahat, perkara yang halal dan haram, perkara yang haq dan batil. Nafsu ibarat sebuah bekas yang boleh menerima apa sahaja sama ada hidayah mahupun dhalalah. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah As-Syams ayat 7-10 yang bermaksud:
‘Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaanNya)’
‘Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya’
‘Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu)’
‘dan sungguh rugi orang yang mengotorinya’
Dalam kesibukan kita menghadapi kehidupan, mungkin kita terlupa akan diri sendiri. Kita senang melihat kesilapan orang lain tetapi jarang sekali melihat kesilapan diri sendiri sehingga menjadikan hati kita ini keras. Firman Allah dalam surah Al-Mutaffifin ayat 14-15:
‘Sekali-kali tidak!Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka ‘
‘Sekali-kali tidak!Sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang dari (melihat) Tuhannya’
Kadang-kadang, kita ingin mengajak orang kepada Islam, tetapi dalam masa yang sama, kita memperlekehkan mereka dan secara tidak langsung, mengumpul dosa sedikit demi sedikit sehingga menyebabkan kita terhalang dari melihat Allah di akhirat kelak. Justeru, kita hendaklah selalu muhasabah diri kita, muhasabah dosa-dosa dan kesilapan kita.
Nafsu sering menyuruh kita melakukan keburukan. Sekiranya nafsu itu tidak dikekang dengan lingkaran takwa dan ad deen dan tidak pula diperkukuhkan dengan peringatan, amaran dan galakan, nescaya nafsu akan menewaskan diri kita. Nauzubillahi minzalik.
Allah berfirman dalam surah An-Nazi’at ayat 40-41:
‘Dan ada pun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa nafsunya’
‘maka sungguh, syurgalah tempat tinggal(nya)’
Rugilah andai kita di dunia beria-ria mengajak orang kepada amar ma’ruf nahi mungkar sedangkan diri sendiri tidak pula melaksanakannya. Hal seperti itu akhirnya akan mencampakkkan kita ke dalam api neraka sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Dari Usamah, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Akan didatangkan seorang pada hari kiamat lalu dicampakkan ke dalam neraka. Di dalam neraka orang tersebut berputar-putar sebagaimana keledai berputar mengelilingi mesin penumbuk gandum. Banyak penduduk neraka yang mengelilingi orang tersebut lalu berkata, ‘Wahai Fulan, bukankah engkau dahulu sering memerintahkan kebaikan dan mencegah kemungkaran?’ Orang tersebut menjawab, ‘Sungguh dulu aku sering memerintahkan kebaikan namun aku tidak melaksanakannya. Sebaliknya aku juga melarang kemungkaran tapi aku melaksanakannya.’” (HR Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW bersabda lagi:
'Pelajarilah apa sahaja yang kamu boleh belajar. Akan tetapi, Allah tidak akan memberi ganjaran sehinggalah kamu mengamalkannya’
Kita hendaklah insaf bahawa pengisian hati kita hendaklah lebih diutamakan dari segala-galanya. Kalau jasad dan akalnya diberi habuan dan ubatan untuk berfungsi dengan sempurna, maka demikianlah juga hati. Keperluan jasmani, Allah berikan rezeki. Dan keperluan ruhani, Allah berikan hidayah.
Tempat menerima hidayah itu adalah hati. Oleh sebab itu, kita perlu menjaga hati kerana dengan hati inilah, kita dapat menjadi hamba yang bertakwa di sisi Allah SWT. Dengan hati ini jugalah, kita menjadi mukmin yang sebenar dan dengan hati juga ia boleh menjadi rabbani. Kalau kita tidak bersifat rabbani, maka tidaklah ada ertinya sama sekali tidak kira bagaimana sekalipun ilmu dan pencapaian ilmiahnya, kerana ilmu dan pengetahuan itu tidak dibangunkan atas dasar takwa kepada Allah dan mencari keredhaanNya.
Apabila ilmu yang kita peroleh, kita bangunkan atas dasar takwa kepada Allah dan untuk mencari keredhaan Allah, ilmu-ilmu itu akhirnya akan membuahkan amal. Amal itu kemudiannya membolehkan kita merasakan halawatul iman.Dalam konteks menjelaskan betapa tingginya kedudukan hati, Rasulullah SAW menyifatkannya seperti berikut:
“Manusia itu dua matanya (ibarat) petunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah posmen, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”
Kita wajib memerhati dan mengambil berat perkembangan hati kita. Dengan demikian, kita dapat meneliti keras lembutnya dan darjah kepekaannya. Kita dapat memastikan apakah hati kita masih hidup atau sudah mati.
Tanda-tanda hati masih hidup adalah:
1) Hati masih boleh bergetar dan teralun oleh zikrullah dan bacaan Al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 2:
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut “Allah”, gementarlah hati mereka, dan apabila dibaca ayat-ayatNya, bertambahlah imannya dan kepada tuhanlah mereka bertawakkal.’
2) Apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran, bertambahlah imannya.
3) Kuatnya seseorang itu berpegang kepada agama.
4) Keberaniannya menyatakan yang hak.
5) Tidak takut kecuali kepada Allah SWT. Seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana; iaitu hati-hati (hambanya). Yang paling disayanginya ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan lagi yang paling teguh berpegang kepada agama, paling jernih dalam kenyakinannya dan yang paling lembut terhadap sahabat.”
Tawadu’ itu tandanya adalah:
1) mengambil atau meredhai semua muslim untuk menjadi sahabat kita.
2) melaksanakan hak orang lain walaupun terhadap musuh
3) memaafkan kesalahan orang lain
4) Takutnya seseorang itu terhadap Allah dan kemurkaanNya. Ia menjauhkan diri dari segala yang diharamkan oleh Allah dan mengelakkan diri dari penderhakaan. Selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 201:
‘Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ketika mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka segera mengingati Allah dan ketika itu juga mereka sedar kesalahan-kesalahannya.’
Nafsu selalu mendorong kita untuk melakukan kesilapan dan dosa. Kita dijadikan daripada dua unsur iaitu akal dan juga nafsu. Kita diberi akal oleh Allah SWT yang membezakan kita dengan binatang. Dan Allah berikan kita nafsu sama ada syahwat atau pun nafsu yang membawa kita kepada amarah dan melakukan kesilapan.
Akal mungkin tidak dapat memahami semuanya dengan sempurna. Oleh sebab itu, kita perlu dibimbing oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana kita ingin tahu tentang Al-Quran dan As-Sunnah? Itulah peranan Rasul SAW yang mendidik dan mentarbiyyah kita. Tetapi, sekarang Rasul sudah pun wafat dan tidak ada di sisi kita. Justeru, itulah peranan para pendakwah untuk menyampaikan kefahaman agama yang telah diberikan Allah kepadanya.
Hidayah akan selalu datang kepada kita. Terpulang kepada kita untuk membuka ruang hati untuk menerimanya atau pun tidak. Pilihan itu ada di tangan kita. Allah telah mengilhamkan kita dua jalan iaitu jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Dan kita perlukan panduan dalam membuat pilihan. Di situ, jelas sekali akan kepentingan dakwah itu sendiri. Hendaklah kita mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari sehingga merasakan halawatul iman dan kemudiannya menyampaikan serta menyebarkannya kepada saudara mara kita, sahabat handai kita, suami dan isteri kita juga kepada anak-anak kita. Hanya dengan itu, Islam dapat berkembang dan terus berkembang mekar.
Wallahu'alam.