Saturday, January 18, 2014

Modul Gerbang Mahligai Sakinah Part III

Kuliah Baitul Muslim (13.1.2014)



InsyaAllah kuliah kali ini membincangkan tentang ibadurrahman, dalam surah Al-Furqan, 25: 63-77. Allah berfirman:

Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang hina), mereka mengucapkan kata-kata yang baik.

Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahanam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal“.

Sesungguhnya Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain selain Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya).

(Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina.

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam surga) karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,

Mereka kekal di dalamnya. Surga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): “Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu)”.

(Surah Al-Furqan, 25: 63-77)

Di sini, Allah memberitahu apakah dia ciri-ciri ibadurrahman (hamba kepada Allah yang Maha Pengasih). Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita, menilai semula, adakah kita mempunyai ciri- ciri yang disebut Allah ini? Marilah kita berusaha untuk mencapainya agar dapat menjadi ibadurrahman yang sebenar.

Merendah diri dalam setiap tingkah laku.

Kenapa Allah tekankan perkataan berjalan di sini? Kerana berjalan ialah natijah daripada isi hati kita. Jika isi hati kita sombong, kita akan berjalan dengan angkuh. Jika hati kita risau, kita akan berjalan dengan teragak-agak. Namun, orang yang rendah hati kepada Allah, akan berjalan dengan tenang.

Rasulullah SAW ialah contoh yang terbaik. Baginda jalan tidak terlalu laju, dan tidak terlalu perlahan, dengan penuh ketenangan.

Apabila kita merendah diri kepada Allah, kita tidak akan ada perasaan sombong kepada manusia. Sesungguhnya yang menjadi pembeza antara seorang manusia dengan yang lain, hanyalah taqwa.

Apabila disapa oleh orang jahil, ibadurrahman akan mengucapkan kata-kata yang baik kerana ingin menjaga lidah.

Ciri ibadurrahman ialah mereka akan mengucapkan yang baik, seperti mendoakan agar golongan yang jahil diberikan petunjuk dan kekuatan yang membawa mereka kepada Islam.

Ali bin Zainal Abidin (cicit kepada Nabi Muhammad SAW) pernah dikutuk oleh golongan munafik dan golongan fasik. Setiap kali dikutuk, Ali bin Zainal Abidin sentiasa mendoakan kebaikan bagi mereka. Beliau juga berkata, “Engkau hanya menyebutkan tiga daripada sifat aku, sedangkan aku mempunyai banyak lagi ciri buruk dalam diriku. Mahukah aku sebutkan?” SubhanAllah!

Beliau bersifat seperti Rasulullah, yakni tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Jika kita berhadapan dengan orang yang jahil, marilah mendoakan untuk mereka, agar pada suatu hari nanti, keimanan merekalah yang bakal menguatkan agama Islam.

Abid yang sentiasa solat dalam keadaan sujud dan berdiri pada pertengahan malam sambil memohon pertolongan Allah SWT kerana takut azab neraka.

Kisah seorang tabi’in yang sentiasa merindui malam. Apabila matahari sudah terbenam,
beliau berkata, “Saya gembira akan datangnya malam. Kerana apabila yang lain telah tidur, aku akan bersendiri dengan Allah.”

Sebelum memeluk Islam, beliau suka juga pada waktu malam, tetapi malamnya digunakan untuk mencuri dan berada bersama perempuan. Namun, selepas memeluk Islam, malam-malamnya digunakan untuk bersendirian dengan Allah.

Imam Abu Hanifah pula mampu mengkhatamkan satu Al-Quran pada satu malam. Beliau pernah juga membacakan sesuatu ayat, dalam satu tahajjud, berulang-ulang.

Ibadurrahman ketika tahajjud malam, beliau memohon perlindungan Allah daripada azab. Bukan meminta kejayaan, bukan meminta rezeki yang melimpah ruah, tetapi ibadurrahman bangkit pada waktu malam kerana takut kepada Allah. Kita beristighfar dan berdoa kepada Allah kerana kita tahu bahawa diri kita banyak berdosa.

Allah terlalu baik kepada kita tetapi kita tidak pernah mengenang jasa Allah SWT. Sukar mengucapkan perkataan tahmid. Apabila diberi sedikit ujian, kita mengeluh. Ujian ialah peringatan Allah kepada kita yang telah lalai.

Kalau kita dibiarkan dalam kesesatan, ianya dipanggil sebagai istidraj.

Marilah kita menjadi abid yang sentiasa mengenang jasa Allah.

Tidak boros dan tidak kikir.

Bagi Imam Abu Hanifah, berapa banyak yang diinfakkan untuk keluarganya, banyak itu jugalah yang akan diinfakkan kepada fakir miskin.

Imam Al-Laits bin Saad pula seorang peniaga yang kaya. Tetapi tidak pernah jatuh kewajipan berzakat kepadanya. Pendapatannya terus diinfakkan sehingga harta simpanannya tidak pernah mencapai tahap yang mewajibkannya untuk berzakat.

Ibadurrahman yang kaya, tetapi amat pemurah. Sehinggakan dirinya juga memilih untuk tidak hidup dalam kemewahan.

Sentiasa berusaha meninggalkan dosa-dosa besar seperti syirik, membunuh ataupun berzina. Mereka juga akan sentiasa bertaubat.

Setelah bertaubat, mereka akan berterusan melakukan amal soleh.

Tidak akan membuat kesaksian palsu.

Mereka akan meninggalkan tempat yang mempunyai perkara yang lagha.

Mudah menerima pandangan dan teguran apabila dinasihati.

Sentiasa berlapang dada untuk menerima nasihat. Ini ialah salah satu sifat ibadurrahman yang tawadhu’.

Harus berharap dan bercita-cita agar mereka akan dianugerahkan generasi pewaris yang akan meneruskan perjuangan, bermula dengan mendapat pasangan yang soleh/solehah yang bersama-sama dalam perjuangan ini atau pasangan yang menyokong, memahami dan mendokong dakwah dan perjuangan yang dibawa.

Mereka berharap dan berdoa supaya bukan dirinya sahaja yang beriman, tetapi mereka mengharapkan supaya isteri dan anak-anaknya juga mempunyai ciri yang sama. Ibadurrahman akan mendoakan bukan untuk dirinya sahaja, tapi untuk yang lain juga.
Doa ini merupakan satu doa yang tinggi darjatnya.

Sebuah pernikahan perlu dibentuk dengan ciri-ciri ibadurrahman. Tetapi ianya bermula dengan diri sendiri.

Apabila Allah mengutuskan ulama’ (orang yang mengetahui) dalam hidup kita, Allah akan memberikan segala-galanya yang dapat membantu kita melakukan ubudiyyah yang sempurna. Ulama’ ini boleh terdiri daripada sesiapa sahaja yang hadir dalam diri kita. Harapan, doa dan cita-cita untuk mendapat generasi yang baik bermula dengan pasangan yang baik.

Ibadurrahman mempunyai ikatan hati yang kukuh dengan Allah dan hubungan yang baik juga dengan manusia yang lain.

Selain itu, ingin juga dikongsikan sebuah kisah seorang tabi’in, iaitu Imam Hasan al-Basri.

Pada suatu masa dahulu, Hajjaj, seorang pemimpin yang angkuh dan sombong telah membina sebuah istana yang megah dan cantik. Beliau memanggil semua orang untuk melihat dan mendoakannya. Semua orang memujinya kecuali Imam Hasan al-Basri. Sebaliknya, Imam Hasan al-Basri berkata yang sesungguhnya, dahulu, Firaun juga pernah mempunyai istana yang hebat dan besar, tetapi akhirnya binasa. Hajjaj marah apabila mendengar kata-kata tersebut.

Hajjaj pun berkata, “Aku bersumpah akan membunuh Imam Hasan al-Basri!”

Keesokannya, Imam Hasan al-Basri dipanggil semula ke istana. Setibanya di istana, Hajjaj yang pada mulanya marah, telah menyambut Imam Hasan al-Basri dengan penuh penghormatan dan duduk di sebelah Imam Hasan al-Basri. Hajjaj pun bertanya tentang Islam.

Setelah kejadian itu, para pengawal Imam Hasan al-Basri bertanya kepadanya, “Apakah jampi yang kamu pakai yang menyebabkan Hajjaj lembut denganmu?”

Imam Hasan al-Basri berkata, “Aku berdoa sepanjang malam, Ya Allah, lembutkanlah hati Hajjaj dan dinginkanlah ancamannya, sepertimana Engkau mendinginkan api yang membakar Nabi Ibrahim.”

Inilah ciri ibadurrahman. Beliau zuhud dan tawaddhu’ kepada Allah. Apabila beliau berdoa, Allah pun memakbulkannya. Beliau sentiasa berusaha untuk bertawaddhu’, berkata yang baik, dan mendoakan yang baik.

Moga kita semua mendapat ibrah daripada kisah-kisah di atas dan seterusnya juga berusaha untuk memperbaiki diri menjadi ibadurrahman..



Wallahua’lam..

Saturday, January 11, 2014

Modul Gerbang Mahligai Sakinah Part II

Kuliah Baitul Muslim (6.1.2014)



Untuk mendapat rahmat sakinah dan juga kasih sayang dari Allah taala, Allah selalu menginginkan yang terbaik buat kita. Allah ciptakan kita dengan kasih sayang, nur, taufik dan hidayahNya yang mencurah kepada kita, namun, keberkesanannya kepada kita sama ada kita merasainya atau pun tidak bergantung kepada sejauh mana kita membukakan hati-hati kita untuk menerima hidayah. Apabila kita membuka hati-hati kita, insyaAllah kita akan mendapat hidayah Allah. Apabila hati kita mendapat hidayah, hati akan memberi arahan kepada seluruh anggota badan kita untuk melakukan yang halal sahaja.  Contohnya, mata yang mendapat hidayah, apabila melihat sesuatu, akan nampak kebesaran Allah, akan melihat benda-benda yang dibenarkan oleh Allah sahaja begitu juga anggota-anggota badan yang lain.

Manusia diberikan kuasa untuk memilih tidak seperti binatang. Oleh sebab itu, manusia berhak dihukum sekiranya membuat pilihan yang salah menurut Islam. Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah dan juga menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Allah telah memberikan kita panduan untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini. Sebagai contoh, dalam mendirikan rumah tangga, Allah telah mengajar kita bagaimana cara untuk memilih pasangan. Sekiranya fikiran kita tidak mendapat hidayah, justeru kita akan memilih untuk mengambil jalan yang selain itu. Kita akan cenderung untuk mengikut hawa nafsu yang akhirnya membawa kita kepada menonton video porno, melakukan zina dan sebagainya. Sekiranya kita tidak mendapat hidayah fitrah ini, maka hidayah taufik juga akan rosak dengan sendirinya.

TILAWAH AL-QURAN SURAH AN-NAJM: 38-58

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); (38) Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; (39) Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); (40) Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; (41) Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); (42) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (43) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang mematikan dan menghidupkan; (44) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, - (45) Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim); (46) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati); (47) Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang memberikan (sesiapa yang dikehendakiNya) apa yang diperlukannya dan memberikannya tambahan yang boleh disimpan; (48)

Pahala membaca Al-Quran sangat besar. Setiap huruf yang dibaca bersamaan 10 pahala. Jadikanlah membaca Al-Quran itu sebagai suatu kelaziman dalam kehidupan kita sehari-hari. Sekurang-kurangnya 1 ayat setiap hari. Kemudian, bacalah dan fahamilah maksudnya. Sekiranya ayat itu merupakan satu suruhan, maka laksanakanlah. Sekiranya ayat itu merupakan satu larangan, maka jauhilah. Contohnya, “la takrabuz zina” “janganlah engkau menghampiri zina”; maka muhasabah kembali diri kita adakah kita melakukan zina samaada zina mata, hati, telinga atau pun zina kemaluan. Sekiranya ayat itu berkenaan hukum, maka hendaklah kita letakkan hukum-hukum itu pada tempatnya. 

Ada 2 jenis hidayah iaitu hidayah fitrah yang membawa kepada taufik dan hidayah bayan. Hidayah fitrah iaitu hidayah yang diberi oleh Allah yang membawa anggota kita kepada melaksanakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Manakala hidayah bayan pula adalah hidayah yang membolehkan kita untuk membezakan yang hak dan yang batil.

Seseorang hamba itu tidak akan menanggung dosa orang lain dan tidak pula dosanya itu akan ditanggung oleh orang lain. Contohnya, sekiranya kita melihat perempuan/lelaki yang bukan muhrim dengan sengaja pada pandangan yang kedua, maka kita akan menanggung dosa kita itu sendiri. Apatah lagi sekiranya kita memandang mereka bersama nafsu syahwat dan membayang-bayangkan sesuatu yang haram. Manakala berzikir kepada Allah itu merupakan suatu kebaikan. Sekiranya kita dapat membezakan perbuatan yang berdosa dan berpahala ini, maknanya kita sudah diberikan hidayah bayan oleh Allah SWT. Sekiranya kita masih belum dapat membezakan di antara keduanya, maka hendaklah kita terus berdoa kepada Allah agar dikurniakan kedua-dua bentuk hidayah ini. Seperti mana yang kita ucapkan dalam solat kita saban hari, “ihdinassiro tolmustaqim” “tunjukilah kami jalan yang lurus”. Ketika membaca ayat ini, maka fokuslah hati kita meminta kepada Allah akan hidayahNya.

Tangan yang mendapat hidayah tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan mungkar seperti onani, mencuri dan sebagainya. Perbuatan onani atau menggunakan tangan untuk memuaskan nafsunya sendiri sangat ditegah di dalam Islam dan pelakunya termasuk dalam 7 golongan yang tidak dipandang oleh Allah di akhirat kelak. Hendaklah kita bertaubat kepada Allah sebelum nyawa di kerongkong. Kifarah dosa melakukan onani ini adalah akan ditarik rasa syahwat selepas berkahwin. Maka, bertaubatlah sebelum berkahwin agar tidak terbeban dengan kifarah dosa ini.

Dalam 7 tangga maratib amal, kita bermula dari individu muslim. Dari seorang diri, Allah kurniakan kepada kita pasangan dan seterusnya zuriat keturunan. Pada masa ini, kita akan berada di tangga kedua maratib amal iaitu baitul muslim atau keluarga muslim. Inilah yang ingin ditekankan. Barangsiapa yang mendapat hidayah Allah pasti akan memelihara kemaluannya dan tidak akan melepaskan syahwat yang tersembunyi sebaliknya akan melepaskan syahwatnya kepada pasangan yang halal. Seharusnya, setiap pasangan apabila berkahwin akan merasakan sakinah iaitu ketenangan terhadap pasangannya. Sekiranya ketenangan itu gagal diperoleh, maka semaklah kembali perhubungan itu sendiri. Boleh jadi, perkenalan dengan pasangan sebelum berkahwin itu adalah dengan cara yang salah di sisi syarak seperti berpegangan tangan sebelum nikah, ber’chatting’, berkasih sayang atau dalam erti kata yang lain, bercinta sebelum nikah dan masih lagi belum bertaubat dengan taubat nasuha. Justeru itu, selalulah buat solat taubat dan taubat lah dengan taubat nasuha. Kita sangat menekankan soal keluarga muslim ini kerana kita ingin menunaikan tanggungjawab kita sebagai abid dan khalifah itu bermula dari institusi kekeluargaan. Kita ingin melahirkan zuriat kuturunan yang soleh dan solehah serta bertakwa kepada Allah SWT dan menjadi penegak agama Allah di atas muka bumi ini. Dan akhirnya kita akan dapat mencapai tangga-tangga maratib amal yang seterusnya sehingga ke Ustaziatul Alam.

3 bekalan iaitu hati, akal dan amalan kita. Hati kita perlu ada keikhlasan, percaya akan janji Allah dan kasih sayang. Kita perlu ada rasa sayang kepada Allah. Ingatlah bahawa hati itu Allah yang pegang dan hidayah itu hak Allah. Maka teruslah memohon kepada Allah akan hidayahNya itu. Dalam solat yang kita tunaikan 5 kali sehari semalam itu, Allah minta kita memohon hidayahNya sebanyak 17kali dengan bacaan “ihdinassiro tolmustaqim” berbanding dengan memperbaharui syahadah kita yang hanya sebanyak 9kali.

Apabila kita naik ke tangga kedua iaitu baitul muslim, kita perlu menundukkan syaitan dalam diri kita. Jangan biarkan kita kalah dan tunduk kepada hasutan mereka. Contohnya, sekiranya ada was-was dalam diri kita, ikutlah cara yang diajarkan Islam kepada kita iaitu seperti yang difirmankan Allah dalam surah An-Nas:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada Tuhannya manusia (1) Raja manusia (2) Sembahan manusia (3) dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi (4) yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia (5) dari (golongan) jin dan manusia (6).

Kita perlu sentiasa muhasabah diri kita adakah kita layak untuk mendapat pasangan yang soleh atau solehah sedangkan diri kita sendiri sedang bergelumang dengan dosa dan maksiat. Namun, sekiranya kita sudah bertaubat tapi masih lagi terbit rasa rendah diri dan tidak yakin untuk mendirikan rumah tangga, maka seharusnya kita pohon kepada Allah agar dijauhkan dari gangguan syaitan.
Wallahua’lam.



  

Friday, January 3, 2014

Modul Gerbang Mahligai Sakinah Part I

 Kuliah BM (30.12.2013)
  


   Pengisian pra perkahwinan adalah untuk memberi bimbingan agar dapat mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dalam perjalanan ketakwaan jundi menuju syurga. Allah swt menjanjikan setiap perkahwinan kebahagiaan.Namun untuk mencapai kebahagiaan, kita haruslah melalui jalan yang betul disisi Allah swt supaya dapat membina usrah muslimah atau keluarga yang diredhai Allah swt. Pembinaan keluarga ini semestinya dimulai oleh kita sendiri iaitu individu soleh/solehah agar mendapat anak-anak yang soleh/solehah juga .Ingatlah, apabila kita sudah mencapai rezeki untuk bernikah ,bermakna Allah telah mempersiapkan  kita dengan iman, takwa dan akhlak berpandukan al quran dan sunnah yang mana merupakan tujuan utama baitul muslim. Hasilnya akan wujudlah keluarga yang  mukmin , du'at yang cemerlang dan akhirnya  lahirlah  abid-abid Allah swt yang hati,perbuatan, pemikiran tunduk kepada Allah swt.

Surah Al-Furqan :2
"Yang memiliki kerajaan langit dan bumi, tidak mempunyai anak, tidak ada sekutu bagiNya dalam sesuatu kekuasaanNya dan Dia menciptakan segsala sesuatu, lalu menetapkan ukuran-ukurannya dengan tepat"

 Surah Al-Furqan :74
"...Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kpd kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertaqwa"

Surah Ali-Imran :8
"...Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kpd kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kpd kami dan kurniakanlah kpd kami rahmat dari sisi Engkau, krn sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)
"
 Surah Al-Rum :21
"Dan diantara tanda² (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan² utkmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kpdnya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang..."

     Sebagai hamba Allah kita hendaklah yakin dengan janji Allah. Allahlah yang memegang hati melembutkan hati manusia dan menimbulkan rasa kasih sayang. Niatkanlah cinta kerana Allah swt.Apabila kita berkahwin, suami mungkin datang dengan pakej yang lengkap iaitu mempunyai akhlak yang baik, pembersih dan sebagainya. Namun begitu, mungkin jodoh kita dari pakej yang kurang lengkap. Oleh itu, kita seharusnya ingat bahawa setiap hati Allah yang memegangnya dan Allahlah yang memberi hidayah , maka mintalah pada Allah swt agar diberi panduan untuk menghadapi segala ujian dalam alam rumahtangga.

      Dalam mendaki 7 tangga maratib amal,  kita tidak mampu untuk melaksanakannya sendirian. Oleh itu, Allah swt mensyariatkan perkahwinan agar nafsu boleh disalurkan di jalan yang betul . Pastinya kita mahu keturunan kita yang menjalani kehidupan dalam sistem islam ,berasakan kalimah Allah swt, tauhid kepada Allah swt dan mengiktiraf  Rasulullah s.a.w sebagai rasul. Kita seharusnya mempunyai perasaan izzah (bangga) , niat dan pegangan yang kuat,  azam , usaha beserta semangat yang membara untuk menjayakannya. Sekiranya terdapat perkara yang tidak betul, tegurlah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

    Persediaan hati dan minda kita. Ingatlah  hati dan hidayah adalah  hak Allah swt.  Jom set minda kita,  islam menjadi guru dunia , keturunan kitalah yang menjadi agen2 yang mengerakkan islam. Kita tidak mahu  sistem pergaulan seperti  percampuran laki perempuan berlaku disekeliling kita, adakah kita mampu untuk menghalang atau membina suasana islam?  Kita mesti  izzah dengan sistem yang kita bawa iaitu sistem yang membawa kebaikan , yang bakal menyelamatkan manusia dari api neraka.

Selain daripada persediaan hati, kita juga seharusnya mempersiapkan diri secara praktikal dengan cara:

  1.  Nihal
  2. Ramin
  3. Kabir


     Nihal adalah niat dan halatuju. Apakah niat kita??Niat semestilah diletakkan kerana Allah swt manakala halatuju adalah untuk mencapai matlamat kita iaitu sebagai abid (hamba) dan Khalifah Allah swt. Ianya dapat diumpamakan seorang yang ingin ke masjid. Niat adalah ingin ke masjid manakala halatuju adalah untuk tiba di masjid. Bagaimana untuk mencapai halatuju atau untuk tiba di masjid?

Surah Dzariyat : 56
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu"

Surah Al-Baqarah :30
"...Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi..."  

     Ramin adalah merancang dan kita juga mestilah mempunyai minat terhadap apa yang dirancang. Tanpa merancang adalah mustahil untuk mencapai sesuatu tujuan. Selain itu, kita juga mestilah mempunyai minat terhadap apa yang dirancang,sentiasa fokus dan berusaha sedaya mungkin melaksanakan apa yang dirancang.Tetapi ingatlah pengharapan mestilah diletakkan kepada Allah swt dengan cara berdoa dan melakukan solat istikharah. In sha Allah sekiranya sesuatu itu baik akan dipermudahkan oleh Allah swt, dan jika tidak pasti akan digantikan oleh Allah swt dengan sesuatu yang lebih baik dari itu.

     Kaber adalah kaji selidik dan bertindak . Sekiranya setelah dirancang dan dilaksanakan namun tidak membuahkan hasil, kita hendaklah melakukan muhasabah diri. Mungkin ketika kita melaksanakannya kita tidak memulakannya dengan bismillahirrahmanirrahim, atau mungkin kita lupa untuk berdoa dan tidak meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah swt. Oleh itu, amat penting untuk menggantungkan pengharapan terhadap susunan Allah swt. Jangan lupa, teruskan usaha dan bertindaklah kembali untuk mencapai halatuju kita.