Tuesday, January 15, 2013

Selagi Masih Muda : Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna


Kuliah BM Fasa 1, 8.1.2013
Assalamualaikum wbt.
Bismillahirrahmanirrahim.

                Alhamdulillah, mengucap kesyukuran kepada Allah swt, kerana dengan izin, redha, rahmat dan juga cinta kasih Allah swt kepada kita, Allah masih memberi kita nyawa hingga ke tahap ini. Dan sesungguhnya pada masa sekarang ini, ada sesetengah manusia yang masih bergelut menghadapi sakaratul maut. Kita minta pada Allah swt supaya Allah memberi kemudahan kepada kita dalam menghadapi sakaratul maut. Tatkala Allah ingin mengambil kembali roh yang telah dipinjamkan kepada kita selama kita berada di dunia, apabila roh kita berpisah dari badan kita dan maka hancur luluh lah daging-daging yang telah Allah tumbuhkan dari kecil ketika bertemunya air mani yang halal dari ayah dan ibu kita, maka terjadilah kita pada hari itu.

Dan seterusnya Allah beri kita hidup selama 9 bulan di dalam rahim ibu. Salah satu nama Allah iaitu Ar-Rahim. Tempat kita membesar di dalam ibu digelar rahim. Tempat berkumpulnya kasih sayang seorang ibu dan ayah untuk melahirkan zuriat bagi meneruskan struktur khalifah di muka bumi Allah swt. Dengan kelahiran seorang anak yang beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Maka akan bertambahlah lagi seorang abid Allah, akan lahirlah iA khalifah Allah dimuka bumi yang akan menegakkan kalimatullah. Itulah harapan dan doa bagi setiap insan yang meletakkan Allah di dalam hatinya dan iA ianya bermula dari pembentukan individu yang soleh dan solehah.

Dan iA maka apabila diijab kabulkan dua orang insan yang soleh dan solehah akan bertambah kuatlah lagi untuk melahirkan zuriat-zuriat keturunan yang beriman dan bertakwa di sisi Allah. Iaitu yang pertama, yang matlamat hidupnya adalah sebagai abid dan khalifah Allah. Yang kedua, dasar kehidupannya adalah ketauhidan kepada Allah swt. Dan yang ketiga, amalannya adalah amalan sunnah Rasulullah saw. Itu adalah tiga matlamat hidup yang kita kena jelas kenapa Allah ciptakan kita dibumi Allah. Apabila kita jelas tentang ini, iA hidup kita akan selamat bukan sahaja di dunia, tetapi iA berkekalan hingga ke akhirat kelak. Haq, merupakan sesuatu yang kekal dan batil merupakan sesuatu yang tidak kekal. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya usaha untuk mendengar kuliah ini, Allah terima sebagai amal soleh yang mengundang redha Allah swt untuk memberi syurganya untuk kita.

Sesungguhnya, kita tidak boleh hanya bergantung kepada amalan kita, tetapi menggantung diri kita pada keredhaan Allah dan belas kasih Allah supaya dengan komitmen yang kita berikan, masa yang kita infakkan untuk kita mengingati Allah swt, secara khusus didalam majlis zikrullah kuliah baitul muslim ini, diterima oleh Allah sebagai amal soleh yang akan menempatkan kita diakhirat kelak, layak menerima syafaat sahabat-sahabat kita yang soleh solehah yang berada di dalam kuliah ini dan juga ulama-ulama yang kita dekatkan diri bersama-sama untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mudah-mudahan diakhirat kelak, sekiranya mereka diberikan kelebihan oleh Allah untuk memberikan syafaat, kita termasuk dalam sahabat-sahabat atau ahli-ahli majlis zikrullah yang dipilih oleh Allah untuk menerima syafaat daripada mereka.

Sama-samalah kita sentiasa merendahkan diri kepada Allah supaya Allah sentiasa membantu kita untuk menyinarkan fitrah yang telah Allah kurniakan kepada kita. Sesungguhnya setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Dan fitrah itulah yang perlu kita cari dan apabila kita menyinarkan ataupun menggilapkan fitrah itu tadi maka iA hidayah Allah akan datang kepada kita kerana tapak pemberian hidayah itu sudah ada. Benih hidayah itu telah ada dengan Allah kurniakan fitrah di dalam hati kita. Kita dilahirkan di dalam keadaan suci bersih yang mengenal dan mencintai Allah tetapi apabila telah dilahirkan, terletak pada ibu bapa lah yang mendidik dan mentarbiyah sehingga ada sebahagian anak-anak yang telah terkecundang oleh perbuatan ibubapa yang cuba menutupi fitrah kita. Cuba cari kembali diri kita untuk kita mengenal Allah swt. Anak-anak ini apabila kita biarkan, tanpa gangguan maka dia akan mengenal tuhannya kerana itulah fitrah yang telah Allah tanamkan.

Ketika kita berada di alam roh, diri kita telah melakukan kesaksian kepada Allah. Yang mana Allah telah tanya pada setiap roh kita dalam surah Al-A’raf ayat 172. Maka bermohonlah kepada Allah supaya bakal pasangan-pasangan kita, kedua ibu bapa kita, bakal keturunan yang Allah akan kurniakan kepada kita, benar-benar beriman dan bertakwa dan juga seluruh keluarga kita, seluruh sahabat handai kita, seluruh ummah termasuk yang bukan Islam. Kita tebarkan dan luaskan lah hidayah daripada Allah itu kepada mereka supaya mereka dapat mengenal Allah melalui tinta lidah, jari-jari, doa-doa kita.

Sama-samalah kita kobarkan semangat, infakkan diri kita, nyawa kita, darah kita, masa kita, rezeki, dan semuanya yang kita ada demi untuk mengajak semua manusia untuk mengenal Islam, Al-Quran dan mentauhidkan Allah. Bayangkan sesiapa yang kita inginkan untuk kita berdoa agar mereka mendapat hidayah untuk dapat bersama-sama di landasan kita ini. Ini merupakan asas doa supaya lebih ramai lagi hamba-hamba Allah yang menerima hidayah, iA bertambah lah lagi hamba-hamba Allah yang taat. Walaupun hanya sekalung doa yang kita pohonkan kepada Allah tanpa pengetahuan mereka. Itulah doa yang paling mustajab disisi Allah. Dan para malaikat akan mengatakan ‘begitulah juga untuk kamu’. Teruskanlah berdoa, kerana doa itu adalah senjata mukmin.

Surah Yunus Ayat 44-58
                Jika kita tengok pada ayat-ayat Allah ini, cukup cantik dan cukup memberi kesan kepada hati kita. Kita berdoalah kepada Allah agar Allah memberi kita rezeki hikmah untuk menghayati Al-Quran itu dengan cara yang Allah kehendaki. Allah telah katakan di dalam surah al-Anfal ayat 2, sesungguhnya hamba-hamba yang benar-benar beriman adalah apabila disebutkan nama Allah, sudah cukup untuk memberikan kesan kepadanya. Apabila disebutkan nama Allah sahaja, hati kita bergetar, terasa seperti Allah melihat kita, terasa kehadiran Allah dalam hidup kita, didalam hati kita. Apabila diteruskan pula pembacaan ayat Allah itu, akan bertambahlah iman kita. Sesungguhnya iman itu bertambah dan juga berkurang. Iman bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan. Maka bersegeralah kita untuk mentaati Allah.

Dalam ayat-ayat tadi, ia adalah panggilan dan juga larangan-larangan daripada Allah agar kita dapat menjaga iman dan diri kita daripada berkurang, iaitu dengan mengelakkan diri kita dari melakukan kemaksiatan. Kalau kita tengok bagaimana keadaan sahabat, contohnya Abu Bakar As-Siddiq, yang bukan sahaja sahabat terdekat nabi malah orang yang sentiasa membenarkan kata-kata nabi. Dan dia merupakan sahabat pertama mengucap dua kalimah syahadah setelah rasulullah menerima wahyu daripada Allah swt. Dan dia telah dijanjikan Allah syurga, sepuluh sahabat rasulullah yang pertama akan memasuki syurga.

Jadi apa sifat yang ada pada Abu Bakar? Disamping dia membenarkan apa yang rasulullah cakap, beriman terus dengan apa yang disampaikan dan sebagainya, kehebatannnya ialah hatinya lembut dan juga sensitif terutama terhadap ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh tentang azab. Dia akan menangis apabila mendengar ayat-ayat Allah. Itulah yang kita perlukan dalam kehidupan kita, untuk kita berjaya dan juga untuk memotivasikan diri kita supaya kita lebih hampir dengan Allah dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mempertahankan keimanan, ketakwaan dan syahadah kita. Allah itu maha besar, maha pemberi hidayah, maha penerima taubat walau sebesar mana dosa sekalipun. Apabila kita kembali kepada Allah dengan taubat nasuha, Allah akan ampunkan segalanya dan Allah akan gantikan dengan kebaikan-kebaikan.

Setiap waktu yang Allah beri pada kita sebenarnya Allah beri ruang untuk kita meningkatkan diri kita ke darjat yang lebih tinggi disisi Allah swt iA. Dalam ayat 44, Allah memberitahu kita sesungguhnya, Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, tetapi manusia itu yang menzalimi dirinya sendiri. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya kita bukan termasuk dalam golongan hamba-hamba yang menzalimi diri sendiri. Dalam surah Az-Zumar, banyak Allah tanya kembali bagaimana orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri di dunia ini, diakhirat nanti mereka meminta tolong pada Allah, Allah tidak akan layan, mereka minta tolong pada orang beriman yang mendapat cahaya. Itulah apa yang akan berlaku yang telah Allah ceritakan kepada kita.

Inilah peranan kita, apa yang kita dapat dari kuliah ini, untuk kita sampaikan pada sahabat-sahabat yang lain. Serapkan halatul iman yang kita rasakan supaya orang lain turut merasakannya. Apabila kita dapat iman, Islam, kongsikan dengan orang lain. Kita mahukan orang lain yang di dalam kegelapan mendapat cahaya, sebagaimana yang Allah beri pada kita. Supaya diakhirat kelak mereka bersama-sama kita didalam cahaya, bukan orang yang di dalam kegelapan yang meminta-meminta cahaya di akhirat kelak. Pada ketika itu, orang yang mendapat cahaya sudah tidak mampu menolong. Di dunia inilah masanya untuk kita menolong. Serulah mereka kepada Allah. Beritahu mereka sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu telah menzalimi diri mereka sendiri.

Allah tidak pernah menzalimi kita, Allah sentiasa memberi kita ruang, Allah utuskan hamba yang dia sayang kepada kita. Kadang-kadang dalam bentuk suami soleh, ataupun ibu dan ayah yang soleh solehah, yang mahukan kebaikan untuk kita. Tetapi bagaimana interaksi kita terhadap mereka? Apabila mereka datang dalam kehidupan kita, maka ingatlah sesungguhnya itu adalah petanda dari Allah swt. Jadi apa yang perlu? Kita perlu sentiasa ingat, cuba dan berusaha untuk menanamkan perasaan bahawa sesiapa pun datang dihadapan kita, itu adalah utusan dari Allah. Jadi apabila kita ingat dia adalah dari Allah, maka, iA kita akan menghargai, jaga dengan baik, dan sambut dengan hati yang cukup gembira. Itulah yang perlu kita tanamkan dalam diri kita. Supaya kita dapat sentiasa merasakan kehadiran Allah dalam kehidupan kita.

Dan kemudian sambung pada ayat 45. Boleh kita lihat pada ayat surah Al-Kahfi ayat 110, Allah mengatakan bahawa barang siapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka dia akan beramal dengan amalan-amalan soleh, dan dia tidak menyekutukan apa apa pun dengan  Allah swt. Kemudian kita boleh lihat seksaan yang Allah berikan adalah atas perbuatan kita sendiri. Yang mana telah Allah beritahu kepada semua manusia tentang azab Allah. Allah beritahu, ini lah dia, apa yang kamu cabarkan selama ini, yang kamu minta-minta dipercepatkan azab-azab itu. Pada saat Allah tunjukkan azab itu, manusia tercengang-cengang, seolah-olah tidak mengetahui, dan mereka menyalahkan Allah swt, sedangkan Allah telah turunkan rasul untuk beri peringatan, tetapi mereka mendustakan rasul-rasul itu. Dan sebaliknya mereka mencabar pula rasulullah.

Dan apabila Allah benar-benar menurunkan azab, ayat 49, ‘katakan lah Muhammad “aku tidak mempunyai kuasa menolak mudarat, mahupun mendatangkan manfaat kepada diriku, kecuali apa yang Allah kehendaki.” Bagi setiap umat, mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaat pun.’ Ajal dalam bentuk kematian, ataupun ajal terhadap pempupusan kaum itu. Adakah kita ingin menunggu saat itu datang baru hendak bertaubat? Apabila azab sudah sampai,pintu taubat telah tertutup. Kembalilah kepada Allah. Bersegeralah untuk bertaubat kepada Allah, dan liatkan diri kita dari melakukan kemaksiatan. Kerana apabila Allah telah bertapak dalam hati kita, ketaaatan itu akan menjadi mudah. Kemaksiatan akan menjadi begitu susah untuk kita lakukan.

Jika kita mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka beramallah dengan amalan yang soleh. Pada ayat 50 dan 51, telah Allah beritahu disini. Nauzubillah, janganlah kita menjadi hamba-hamba Allah yang begitu. Mungkin kita tidak melafazkannya, tetapi dengan kita menunda-nundakan taubat, mengulangi dosa-dosa, itu adalah tanda-tanda ingkar. Mungkin kita tidak seperti umat terdahulu,yang mencabar dengan melafazkan secara terangan, tetapi pada zaman ini, mungkin dari segi tindakan kita, menangguh-nangguhkan amal, melewatkan menutup aurat, menanguh solat taubat. Itu juga sebenarnya adalah satu tanda kita menidakkan dan merasakan azab Allah itu jauh lagi.

Muhasabah kembali diri kita, wujudkah perasaan itu dalam diri kita. Para sahabat dahulu, apabila turunnya pengharaman arak, mereka terus buang arak sehingga banjir Mekah ketika itu dengan arak. Biasakan diri pada setiap subuh, untuk tilawah, kerana ia akan memberi kekuatan pada diri kita untuk sepanjang hari. Adakah kita merasa senang andai terlupa tilawah al-quran dipagi hari? Kita merasakan azab akhirat itu jauh, dan azab dunia ini tidak terasa pun. Kalau dulu tsunami, sekarang Sunamo. Jadi apa perasaan kita? Bencana alam ini adalah salah satu tanda kemurkaan Allah yang Allah tunjuk melalui interaksi alam. Alam sendiri sudah tidak mampu menampung kejahatan yang dilakukan manusia. Laut sudah tidak mampu melihat kemaksiatan di tepi pantai, Allah utuskan ombak merempuh mereka supaya tiada lagi kemaksiatan di tepi pantai. Apa yang berlaku pada alam itu adalah arahan dari Allah.

Makrifatullah itu adalah asas dasar yang memotivasikan diri kita. Apabila kita kenal Allah, Allah lah yang berada di hati kita, kita akan lakukan apa sahaja adalah kerana Allah. Apabila kita kenal Allah, kita tidak akan tergamak untuk melakukan dosa. Jikalau kita tersilap, kita akan segera bertaubat kepada Allah swt. Jangan tunggu sampai Allah memberi azab kepada kita. Jikalau tiba ajal kita, dan kita tidak sempat bertaubat, apa yang akan terjadi apa kita? Waktu tidur kita juga adalah waktu perpisahan sementara, Allah ambil nyawa kita ingat itu. Apabila kita tidur kita mati, sebab itu kita perlu membuat persiapan sebelum itu. Pastikan kita solat taubat kepada Allah supaya dosa sepanjang hari kita Allah ampunkan.

Sesungguhnya milik Allah lah apa yang ada dilangit dan dibumi, dan janji Allah itu benar. Apa yang Allah sebutkan dalam al-quran, Allah akan laksanakan. Allah katakan dalam al-quran Allah akan mengampunkan dosa kita, Allah pasti akan ampunkan. Jangan ada perasaan su’zon pada Allah. Sebesar mana pun dosa, sebesar langit dan bumi hingga tiada ruang kebaikan pun Allah akan ampunkan. Jangan berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah. Mudah-mudahan Allah memberi kita bimbingan dan insyaAllah jadikan al-quran itu sebagai sumber motivasi, sumber kekuatan untuk kita membina hidup kita berpandukan kepada makrifatullah makrifah Islam dan juga makrifah insan.

Dan ayat akhir sekali ‘Katakanlah Ya Muhammad, “dengan kurnia Allah dan rahmatnya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” Kurniaan Allah dan rahmat Allah sangat kita inginkan. Buatlah apa sahaja yang dapat memberikan kita rahmat dan kasih sayang Allah.

Buku “Selagi Masih Muda : Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna”.
Minggu lepas ummi telah sentuh tentang motivasi, kaitan motivasi dengan keimanan, kaitan motivasi dengan hidayah. Maksud motivasi itu sendiri adalah, gelora jiwa, atau satu dorongan yang kuat, untuk melakukan sesuatu. Sesuatu yang berkobar, bergelora dan semangat besar. Secara umumnya motivasi itu adalah tergerak hati untuk melakukan sesuatu dengan dorongan yang hebat, yang kita gunakan untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan yang mana motivasi itu, munculnya adalah hasil dorongan untuk melakukan sesuatu dengan penuh semangat dengan bantuan banyak faktor.

Asas kepada motivasi kita adalah makrifatullah, apabila motivasi kita itu bergerak diatas dasar kita mengenal Allah, iA sebenarnya kita telah berada di kondisi yang sangat kukuh. Kemudian, kaitan keimanan dan motivasi kita. Tiga perkara,tiga fenomena iman dalam ibadah yang boleh memberi kita motivasi. Yang pertama, solat, kedua tilawah al-quran, dan yang ketiga, sedekah. Kalau kita solat, ia adalah motivasi kita dalam makrifatullah. Tilawah adalah ibadah spiritual kita yang menjadi penguat kepada jiwa. Sedekah ialah makrifah insan. Solat adalah dilakukan dengan khusyuk yang memberikan semangat yang luar biasa pada diri pelakunya. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu akan mencegah kita dari melakukan perbuatan keji dan mungkar. Solat adalah komunikasi kita dengan Allah. Rasulullah mengibaratkan orang yang sedang solat sebagai orang yang sedang menuju kepada Allah, yang mana hati dan jiwanya sedang mengalami proses pendekatan kepada zat yang kita sembah. Selepas selesai solat, kita akan terhindar dari melakukan perkara keji dan mungkar.

Namun kadang-kadang, walaupun kita melaksanakan solat, tetapi kita tetap melakukan maksiat dan dosa. Mengapa? Mungkin kita hanya solat atas dasar kewajipan dan rutin, kita menerima kesan yang berbeza. Jika kita menunaikan solat kerana kita cinta kepada Allah, kita solat dengan khusyuk, kita akan menerima kesan yang positif. Kerana itu kita perlu memperbaiki solat kita. Rasulullah juga pernah bersabda, solat yang tidak membuatkan pelakunya dekat dengan Allah, maka ia akan membuatkannya jauh dari Allah. Solat itu sepatutnya mendekatkan kita kepada Allah, tetapi jika tidak dilakukan dengan khusyuk, maka ia akan menjauhkan kita dari Allah.

Begitu juga dengan Al-Quran, sebagai satu ibadah yang boleh menguatkan spiritual kita. Bacalah al-quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat, dan memberi syafaat kepada pembacanya (hadis riwayat muslim). Daripada Abu Daud pula, dikatakan bahawa Rasulullah telah bersabda, akan dikatakan kepada pembaca al-quran, ‘Bacalah, naiklah keatas syurga dan bacalah dengan tartil, sebagaimana kamu pernah membaca dirinya, sesungguhnya kedudukanmu di syurga berada pada akhir ayat yang kamu baca. Seterusnya Imam Tarmizi mengatakan, Rasulullah telah bersabda, ‘Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf’. Banyak makna yang tersirat daripada kandungan hadis yang sederhana ini. Allah telah menjanjikan pahala demi pahala pada setiap satuan huruf demi huruf yang terdapat pada kalimah al-quran. Sebab itu, berebut-rebutlah untuk membaca al quran.

Dan akhir sekali adalah sedekah. Sedekah adalah satu amal soleh, dalam bentuk amalan berdimensikan sosial. Kerana Allah mahu didik diri kita. Sebab mungkin kita dengan Allah, kita mampu lakukan apa sahaja. Tetapi, Allah juga nk uji interaksi kita dengan manusia. Allah uji kita untuk kita infakkan rezeki kita dan kongsikan pada orang lain. Allah nak uji, adakah kita orang yang mementingkan diri sendiri, atau orang yang memikirkan juga kebaikan untuk orang lain. Ingatlah hadis, apabila kita mengeluarkan sedekah, tidaklah berkurang harta itu kerana diinfakkan (hadis riwayat muslim). Allah nak tengok adakah tangan kita ringan, atau murah hati untuk bersosial dengan harta kita. Masa kita mungkin kita mampu untuk luangkan, tetapi apabila Allah bagi harta pada kita, adakah kita seorang yang materialistic ataupun orang yang sentiasa menginfakkan harta pada orang lain tanpa merasakan harta kita akan berkurang.

Ingat, Allah berkata dalam surah At-Taubah ayat 103, apabila kita bersedekah, bukannya rezeki kita itu berkurangan, tetapi ia sebenarnya membersihkan rezeki kita. 2.5% daripada rezeki kita, kita perlu infakkan secara wajib, iaitu zakat. Selain daripada itu adalah sedekah. Apabila kita bersedekah, amalan kita itu akan datang kepada kita di akhirat nanti dalam bentuk jasad. Dia akan membantu kita sekiranya kita berada ditahap kita memerlukan pertolongan itu. Walaupun sedekah kita itu sedikit, tetapi keikhlasan itu yang penting. Allah juga mengatakan, ‘Barang siapa bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dan dia akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

Ketakwaan bukan sahaja direalisasikan dengan pengorbanan terhadap Allah, tetapi juga pengorbanan diri kita dengan material duniawi yang kita ada dengan menginfakkan. Itu merupakan satu lagi pembuktian keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Untuk kita bersedekah dan sebagainya, kita memerlukan dorongan daripada dalaman yang kuat. Ingatlah, umat Islam adalah umat yang banyak memberi, melahirkan, berbakti, dan menghasilkan. Itu sudah terbukti didalam sejarah. Umat Islam bukan lah orang yang mandul atau berkhayal sahaja.

Jikalau kita lihat, Nabi Ibrahim, pemuda yang mempunyai semangat yang kuat dan merupakan bapa tauhid kita. Dan dia telah memohon doa pada Allah, sebab keyakinan dia terhadap apa yang berlaku disekelilingnya, menambah keyakinannya pada Allah swt. Tetapi, untuk menambahkan lagi keyakinannya pada Allah, dia minta pada Allah, ‘Ya Allah ya rabbu, perlihatkanlah kepadaku bagaimana engkau menhidupkan orang-orang yang mati’. Ini bukanlah kerana Nabi Ibrahim tidak percaya. Nabi Ibrahim berkata, ‘Aku tahu sesungguhnya engkau menghidupkan orang yang telah mati, namun bagaimanakah caranya engkau menghidupkannya’. Nabi Ibrahim percaya tetapi agar bertambahlah tetapnya hatinya. Inilah sifat-sifat pemuda sejati yang mana dia tahu tantang sesuatu kebenaran, tetapi dia inginkan lagi supaya hatinya tetap.

Bagi ummi, kadang-kadang teruji juga dengan perangai anak-anak. Sifat anak-anak muda yang inginkan keyakinan itu memang ada. Sebagai seorang ibu, ummi tidak akan berputus asa. Sifat pemuda yang sejati mempunyai cita-cita yang tinggi, yang sentiasa inginkan sesuatu yang dapat menetapkan hatinya terhadap keyakinan kepada Allah swt. Maka Allah katakan pada Nabi Ibrahim, ambil empat jenis burung yang berbeza dan dipotong-potong, kemudian dicampur adukkan. Kemudian Allah perintahkan Nabi Ibrahim ambil kepala setiap burung dan letak diatas gunung. Kemudian Allah berfirma dalam surah al baqarah ayat 260, ‘Sesudah itu panggillah ia  supaya ia datang kepada kamu dengan segera’. Maka Nabi Ibrahim pun turun dari gunung dan panggil burung2 itu tadi. Maka datanglah kepala burung-burung itu tadi tersusun beserta jasad-jasadnya. Tanpa kehilangan arah atau salah menepati tubuhnya. Allah nak tunjukkan kekuasaan Allah, Allah mampu walaupun telah dicincang-cincang, bercampur aduk, berlainan tempat. Dengan izin Allah burung itu datang dalam keadaan sempurna seperti sebelum dicincang.

Itulah dia sifat pemuda syurga yang seperti Nabi Ibrahim. Nabi Musa juga  mempunyai sifat ini, dia ingin melihat Allah. Bukanlah kerana dia tidak percaya bahawa Allah itu wujud. Tetapi dia ingin menambah keyakinannya lagi. Itulah dia contoh-contoh pemuda yang mempunyai keazaman yang kuat. Rasulullah saw pula, adalah rasul yang memiliki berbagai cita-cita. Rasulullah bercita-cita agar umatnya menjadi umat yang terbaik disisi Allah. Maka rasulullah telah meminta kepada Allah, supaya umatnya mendapat darjat kemuliaan di syurga. Kalau kita lihat, para sahabat di zaman rasulullah pun, apabila rasulullah cerita tentang syurga, mereka nak supaya mereka sebahagian darinya. Sebab itu, rasulullah sering bercerita tentang syurga, maka para sahabat akan berlumba-lumba agar rasulullah mendoakan mereka.

Ummi juga mengharapkan doa daripada anak-anak untuk kita sama-sama berada disyurga Allah. Mungkin ada diantara kita yang doanya lebih Allah makbulkan. Maka kita saling meminta untuk para sahabat kita mendoakan kita juga. Rasulullah ajarkan pada kita, sekiranya kita berdoa meminta syurga, mintalah syurga yang paling tinggi iaitu jannatulfirdaus. Mulai hari ini, jika anak-anak menghantar sms pada kedua ibubapa atau sahabat, atau facebook, bercakaplah tentang Allah. Ajaklah mereka kepada Allah, beramal dengan amalan ahli syurga dan iA sama-samalah kita memohon doa untuk satu sama lain supaya dapat bersama-sama di syurga Allah.

Rasulullah mempunyai kedudukan yang tinggi disisi Allah. Ketika dihari kiamat, semua manusi bermula dari nabi Adam hinggalah manusia terakhir, Allah letakkan kita di padang mahsyar. Ketika itu semua orang tidak dapat berkata apa-apa. Semua orang meminta-minta pada nabi-nabi untuk memohon pada Allah. Mereka meminta pada Nabi Adam. Nabi Adam berkata aku pernah membuat silap, aku tidak layak untuk memohon bagi pihak kamu. Begitu juga pada Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim. Apabila tiba giliran rasulullah saw, Rasulullah sujud dibawah arasy Allah swt. Ketika itu tiada sesiapa pun yang boleh berbicara melainkan dengan keizinan Allah. Maka Allah berfirman kepada rasulullah, ‘Angkatlah kepalamu, mintalah wasilah syafaat, nescaya akan diberi’. Ketika itu rasulullah meminta keselamatan dan ketentuan qada’ yang baik untuk umatnya.

Rasullulah, kehebatan baginda ini, sehingga Allah bagi petunjuk padanya yang cukup banyak. Ketika di Madinah, baginda tinggal di rumah tanah liat, baginda saw bersabda, ‘Kelmarin aku melihat Allah menghimpunkan bumi untukku sehingga aku melihat timur dan baratnya, dan aku melihat kerajaan umatku mencapai luasnya bumi yang dihimpunkan untukku itu.’ Itulah dia, pada zaman rasulullah saw, Islam tersebar dengan cukup luas. Sebab itu, sampai ke China dan juga keseluruh bumi Allah saw. Dan negara Islam yang rasulullah bina ini daripada Madinah itu, melangkaui ketempat yang cukup luas.

Jika kita lihat dalam perang Khandak, rasulullah cukup bersemangat walaupun ketika itu tidak jelas lagi masa depan Islam itu sendiri. Kerana baru beberapa tahun daulah Islamiyah tertegak, tetapi rasullulah mempunyai semngat yang kuat apabila Allah bagi petunjuk pada baginda bahawa umatnya akan mnguasai dunia dengan kalimatullah. Ketika perang Khandak, ketika perut sedang lapar, umat Islam hampir berputus asa, 3 bulan yang cukup seksa, ketika rasulullah mengikat perut dengan batu kerana menahan lapar, dan ketika itu terdapat satu batu besar yang mana tiada siapa pun mampu memecahkannya tatkala umat Islam sedang menggali parit. Rasulullah mengetuk batu itu sambil mengatakan ‘Allahuakbar, aku melihat istana Qisra (Parsi).’ Ketika perang Khandak itu, Parsi dan Rom merupakan dua tamadun yang menguasai dunia. Umat Islam hanya bertapak di Madinah sahaja. Bagaimana apabila rasullah katakan istana Qisra ditawan umat Islam, boleh anda bayangkan? Rasulullah mengetuk buat kali kedua, rasulullah berkata ‘ Allahuakbar, aku diperlihatkan istana Qaisar (Rom) kelak akan dibukakan Allah untukku’.  Para sahabat terkejut apabila rasulullah berkata begitu. Selepas kewafatan baginda, para sahabat dapat menakluki istana Qisra, dan Rom.

Ada suatu ketika, seorang saudara rasulullah, seorang wanita tua yang menumpang tidur di rumah rasullulah. Rasulullah termimpi, dan terjaga lalu ketawa. Wanita tua itu bertanya ‘Apa yang membuatkan kau tertawa ya rasulullah? Semoga Allah mentertawakan gigimu. (kerana ketika Rasulullah tertawa nampak giginya). Rasulullah menjawab, aku melihat beberapa orang dari umatku mengharungi lautan seperti para raja dengan baju besi yang kuat. Wanita itu berkata ‘Doakanlah kepada Allah supaya aku menjadi sebahagian dari mereka.’ Rasulullah berkata, ‘Engkau termasuk diantara mereka’. Kemudian rasulullah tertidur, dan bermimpi lagi. Maka rasulullah menceritakan lagi kepada wanita itu, dan wanita itu berkata lagi ‘berdoalah kepada Allah agar aku dijadikannya termasuk diantara mereka.’ Rasulullah berkata, ‘Engkau bersama orang-orang yang lebih dahulu.’

Ini adalah contoh-contoh yang kalau kita lihat, walaupun wanita itu hanyalah seorang yang tua, tetapi dia tetap ingin menjadi sebahagian dari mereka. Ketika zaman Yazid bin Muawiyah, wanita inilah bersama-sama berada di dalam peperangan menawan Constantinople, dan dialah yang mengharungi lautan itu, dan mati syahid. Ini kesannya. Sebab itu, kita kenalah banyak berdoa kepada Allah menjadi sebahagian dari yang berjuang dan berdoa agar tidak menjadi sebahagian dari yang dilempar ke neraka. Sebab itu, para sahabat apabila diceritakan tentang neraka, mereka berdoa agar dijauhkan. Itulah interaksi kita dengan al-quran sebagaimana rasulullah dan para sahabat berinteraksi dengan alquran.

Kisah saidina Abu Bakar As-siddiq, sahabat yang sentiasa berada dibarisan pertama dan tidak bisa dikalahkan. Yang pertama dia adalah orang yang sentiasa membenarkan kata-kata rasulullah. Dari situlah dia mendapat gelaran As-Siddiq. Kerana dia sentiasa yakin kata-kata rasulullah adalah daripada Allah. Kedua ialah kehebatannya dalam bersedekah. Saidina Umar pernah berlumba dengan Saidina Abu Bakar dalam bersedekah. Saidina Umar sedekahkan separuh hartanya, manakala Saidina Abu Bakar pula menginfakkan seluruh hartanya, sehingga ditanya ‘ Apa yang tinggal buatmu dan keluargamu’ dia menjawab, ‘Allah dan rasul’. Ketika rasulullah bersabda, syurga memiliki delapan pintu, maka barang siapa yang termasuk orang yang sering bersedekah, dia akan dipanggil melalui pintu sedekah. Begitu juga dengan pintu-pintu yang lain dalam hal-hal ibadah. Setiap orang akan dipanggil sesuai dengan ibadah yang dilakukan bersungguh-sungguh selama didunia sama ada solat, puasa, jihad ataupun sedekah.

Abu Bakar pun bertanya pada rasulullah, ‘adakah bisa seseorang dipanggil melalui kedelapan-delapan pintu?’ Maka, rasullulah menjawab ya. Saidina Abu Bakar inginkan namanya dipanggil melalui kelapan-lapan pintu syurga. Semangatnya cukup kuat. Itulah para sahabat yang menjadi permata syurga disisi Allah. Itulah juga kehebatan rasulullah saw. Manusia yang mempunyai cita-cita yang tinggi insyaAllah akhirnya diberikan bantuan oleh Allah untuk mencapai tahap itu. Kalau kita lihat, para sahabat yang lain juga begitu. Hamsa’ mempersembahkan empat orang anaknya untuk berperang. Dia tidak bersedih apabila kehilangan anaknya. Namun apabila anaknya yang terakhir gugur syahid, dia menangis kerana sudah tiada anak lagi yang boleh dia infakkan.

Apabila Allah kurniakan kepada kita anak, doalah Allah kurniakan kita anak yang soleh solehah, dan infakkan mereka untuk mati syahid dihadapan Allah. Jangan pernah bosan, malas, putus asa untuk mencapai darjat yang tinggi disisi Allah. Jadikan cita-cita kita setinggi bintang. Jagalah diri, belajarlah dan lakukanlah amal soleh, jangan gelisah, dan jangan kita biarkan syaitan menghalangi kita dan memalingkan tekad kita ataupun menghinakan diri kita dihadapan diri kita sendiri. InsyaAllah, dengan pertolongan Allah, kita pasti mampu mencapai kedudukan-kedudukan yang tinggi sekiranya kita sentiasa berniat dengan tekad yang ikhlas, insyaAllah kita akan mampu menempuh jalan hidup dengan penuh cita-cita yang tinggi.

Mudah-mudahan, Allah tahu kita menginginkan kebahagiaan diakhirat. Namun, kebahagiaan itu tidak mungkin kita perolehi tanpa harga, maharnya yang mahal. Sesungguhnya syurga itu mahal. Ia memerlukan maharnya iaitu yang pertama keyakinan kita kepada Allah, yang kedua kesabaran kita, yang ketiga kesungguhan kita yang tidak kenal erti penat, lelah. Jadi kita bermohon pada Allah agar diri kita, keturunan kita, keluarga kita Allah kurniakan cita-cita yang tinggi untuk menghantar kita menuju syurga Allah yang luasnya seluas langit dan bumi. Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa atas segala sesuatu. Gelorakan lah semangat kita, raihkan lah cita-cita sebagai orang yang soleh. Ingat, Allah telah berfirman, ‘Apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentangku, maka jawablah sesungguhnya aku adalah dekat, aku mengabulkan permohonan orang yang apabila dia berdoa kepadaku, maka hendaklah mereka memenuhi segala perintahku, dan hendaklah mereka beriman kepadaku, agar mereka selalu berada didalam kebenaran. (Surah al-baqarah ayat 186).

Dekatkanlah diri dengan Allah, intimkan lah hubungan kita dan kuatkan lah cinta kita kepada Allah hingga Allah mencintai kita, dan apabila Allah mencintai kita, dia akan beri segalanya kepada kita atas dasar cintanya kepada kita. Allah maha mendengar, maha memakbulkan doa. Hubungan yang paling besar diantara kita dengan Allah adalah solat. Pesanan ulama soleh berkata, ‘selamat untuk anda wahai anak adam, aliri dirimu dengan air yang sejuk kemudian berwuduk dan menemui Allah dirumahnya’ kerana itulah masjid disebut sebagai rumah Allah, sebab masjid bukanlah milik seseorang manusia pun. Rumah Allah adalah tempat berkumpulnya raja dan rakyat pimpinan bawahan, saudagar dan fakir, mereka berkumpul untuk mentaati Allah, didalam solat.

InsyaAllah apabila anak lelaki yang hatinya tertaut dengan masjid, itu merupakan salah seorang anak lelaki ataupun lelaki-lelaki yang akan berada dibawah naungan Allah swt ketika di padang mahsyar. Tiada naungan ketika itu kecuali naungan Allah. Dirikanlah solat dimasjid, secara berjemaah untuk mendapat naungan Allah di akhirat kelak. Bentuklah hubungan dengan Allah kerana solat itu juga merupakan doanya. Berdoalah kepada Allah, kerana Allah senang apabila kita memohon kepadanya dan Allah murka sekiranya kita meninggalkan permohonan kepadanya. Setiap kali kita meminta pada Allah, maka Allah akan merasa sayang kepada kita, berbanding dengan manusia yang sekiranya kita lebih banyak meminta, manusia akan marah kepada kita. Tetapi tidak Allah swt.

Sebagai generasi muda, haruslah banyak berdoa kerana orang yang banyak berdoa tidak akan dikecewakan oleh Allah. Para sahabat selalu bertanya pada rasulullah, ‘Wahai rasulullah, adakah tuhan kita dekat sehingga kita hanya cukup bermunajat berdoa dengan suara yang perlahan seperti berbisik? Atau jauh sehingga kita harus meninggikan suara kedalam berdoa kepadanya?’ Maka Allah telah berfirman dalam surah Al-Araf ayat 55, ‘Berdoalah kepada rabbmu dengan berendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.’ Didalam hadis ada disebut, ‘tidak akan binasa seseorang yang disertai dengan doa.’

Anak-anak adalah pemuda pemudi yang dipilih oleh Allah. Kuatkanlah hubungan dengan Allah melalui solat, zikrullah, tilawah al quran, sesungguhnya hubungan kepada Allah disamping solat adalah berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah. Khusunya ketika muda inilah banyak saranan-saranan yang menggoda, yang merosak serta memiliki misi untuk menghancurkan pemuda-pemuda muslim. Rintangan yang dialami generasi muda pada hari ini adalah diakibatkan oleh lemahnya hubungan dengan Allah. Kuatkanlah kembali semangat untuk meraih syurga Allah dengan bina, kuatkan hubungan dengan Allah, insyaAllah kita akan selamat. 

Monday, January 7, 2013

Al-quran sebagai motivasi hidup


Bismillah

Kuliah BM Fasa 1, 01 Jan 2013.

Tilawah dan tadabbur Surah Al Imran: 25-34

Ini merupakan sebahagian daripada ayat-ayat Allah yang boleh kita tadabbur dan mengambil pengajaran daripadanya. Mudah mudahan Allah memberikan kita kefahaman untuk kita melihat ayat-ayat Allah ini seterusnya menjadi motivasi buat kita untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah swt. Hati yang hidup akan tersentuh dengan ayat-ayat Allah, dapat melihat kebesaran serta azab Allah yang telah Allah terangkan melalui ayat-ayatNya serta menjadikan kita terasa kerdil dan selalu mengharap bantuan dan belas kasihan daripada Allah untuk menyelamatkan kita dari siksaanNya kelak. Berdasar ayat-ayat ini Allah tunjukkan keesaanNya kepada kita dan pada masa yang sama Allah memberikan galakan serta motivasi kepada kita untuk memilih jalan menuju syurgaNya.

Ayat ke 26.

Sebab penurunan ayat ini berkisar tentang kisah pada suatu ketika dahulu di mana Rasulullah saw memohon kepada Allah agar Raja Parsi n Raja Romawi beriman kepada Allah, lalu diturunkan ayat ini. Pada masa tersebut, kekuasaan kerajaan ini sangat besar, sekiranya kepimpinan mereka merupakan kepimpinan islam, hal ini akan menjadi  kejayaan yang cukup besar bagi agama islam. Melalui ayat ini Allah menerangkan bahawa Allah lah yang berhak untuk memberikan kekuasaan seumpama itu untuk sesiapa yang dikehendakiNya. Akhirnya umat islam berjaya mengalahkan tentera romawi dan tentera parsi. Allah telah menjatuhkan kerajaan romawi dan parsi. Dengan kekuasaan Allah serta usaha rasulullah saw dan para sahabat, akhirnya tentera romawi berjaya ditundukkan dalam bentuk peperangan.

Ayat 28

Larangan memilih orang kafir sebagai pemimpin kita. Seboleh bolehnya janganlah kita menjadikan orang-orang  kafir sebagai pemimpin kita. Sebagai mukmin, kita perlu memastikan kehidupan di muka bumi ini ditadbir oleh orang yang beriman kepada Allah swt dengan cara dan sistem yang ditetapkan oleh Allah, makanya orang-orang  yang benar-benar beriman lah seharusnya menjadi pemimpin.  Rasulullah saw ada bersabda daripada Abu Hurairah ra bahawa:

“kata-kata hikmah atau pelajaran itu adalah barang orang beriman yang hilang, dimana sahaja dia menemukannya maka dia adalah orang yang paling pantas untuk mengambilnya kembali”

Sebagai orang yang beriman, kita seharusnya mengambil pelajaran daripada alquran ini untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini. Oleh hal yang demikian, Allah utuskan kepada kita orang yang beriman, untuk mentadbir bumi ini, bertepatan dengan sistem Allah swt. Untuk memilih pemimpin haruslah bergariskan panduan daripada Alquran dan sunnah. Kita akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinan yang telah kita pilih. Dalam setiap zaman Allah memastikan adanya manusia-manusia yang akan menegakkan kalimah Allah swt sehingga islam menjadi ustaziatul alam. Jadi kita haruslah bersedia supaya kita ini termasuk dalam golongan yang sentiasa menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.

Ayat 29

Allah swt menerangkan bahawa setiap apa yang terlafaz atau tersembunyi itu semuanya diketahui oleh Allah swt. Secara asasnya, ayat ini menerangkan bahawa tiada suatu apa pun yang boleh kita sembunyikan daripada Allah swt. Seharusnya kita ingat bahawa Allah itu Maha Mengetahui, dan Dia akan memberikan ganjaran atas setiap apa yang kita lafazkan serta laksanakan begitu juga dengan seksaan atas setiap kemungkaran yang dilakukan. Allah memberi dorongan untuk kita melakukan kebaikan dengan cara satu kebaikan yg kita niatkan akan dibalas dengan ganjaran sepertimana kita telah melakukan satu kebaikan, dan sekiranya kita mengerjakan satu amal kebajikan, kita akan dianugerahkan dengan ganjaran pahala seolah-olah kita melakukan sepuluh kebaikan. Ini merupakan salah satu daripada galakan yang Allah berikan kepada kita untuk kita terus melakukan amalan yang ikhlas kerana Allah. Mudah mudahan dengan niat yang baik, Allah akan memberi motivasi buat kita untuk beramal dan seterusnya memperolehi ganjaran yang cukup banyak daripada Allah swt.

Ayat 30-31

Sekiranya kita mencintai Allah maka kita akan mengikuti Rasulullah saw, serta mencontohi sunnah baginda, maka di akhirat kelak Rasulullah akan mengenali kita. Itulah kehebatan mendapat syafaat daripada Nabi Allah. Seharusnya di dunia ini kita memperbanyakkan taubat kepada Allah supaya dosa kita dihapuskan  dan dibangkitkan dalam keadaan yang bersih dari segala dosa di akhirat kelak. Antaranya haruslah kita sentiasa beristighfar, bersabar dan bersyukur sekiranya ditimpakan dengan ujian. Mudah-mudahan dengan keredhaan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Seterusnya kita juga perlu memperbanyakkan amalan soleh kerana melalui amalan-amalan ini lah dapat mempertingkatkan darjat kita. Allah sentiasa memberikan ruang yang banyak untuk kita beramal kepadaNya. Apabila kita mencintai Allah maka kita mengikuti rasulullah saw dan Allah akan mencintai kita. Bukan sahaja Allah akan mencintai kita, malahan Dia juga akan mengampunkan dosa-dosa kita.

Melalui keikhlasan kita dalam beramal, kita haruslah meletakkan tawakkal kita kepada Allah kerana kita sedar setiap yang berlaku adalah ketetapan dari Allah swt. Dalam melakukan suatu amal, perlunya untuk kita beristikharah kepada Allah swt. Sebelum kita memulakan suatu gerak kerja atau keputusan, kita hendaklah memohon keredhaan Allah dalam istikharah kita. Tawakkal dan istikharah adalah saling berkait rapat. Apabila kita bertawakkal kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kita, sebelum kita memulakan tindakan kita akan merujuk Allah swt, disitu lah lahirnya istikharah. Jolokan dari syaitan, serta dorongan nafsu akan mendorong kita untuk melakukan kemungkaran. Makanya kita harus berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.

Allah telah menyediakan segala kemudahan untuk kita hidup di muka bumi ini, sewajarnya kita mencintai Allah setelah kita merasai segala kurniaan daripadaNya. Kita mencintai Allah adalah suatu perkara yang biasa namun apabila Allah mencintai kita, ini adalah sesuatu yang luar biasa. Orang yang berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dengan melakukan perkara-perkara wajib dan ditambah pula dengan amalan sunat yang ikhlas kerana Allah, dia layak mendapat cinta Allah swt.

Hadis qudsi:

"Ada hamba-hambaku yang sentiasa mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan yang sunat sehinggalah Aku mencintai mereka. Apabila Aku mencintai mereka maka apabila mereka melihat aku lah yang menjadi pandangannya, apabila mereka mendengar Akulah yang menjadi pendengarannya, apabila mereka bertindak Akulah yang menjadi tangannya."

Al quran sebagai motivasi hidup kita

Alquran mengandungi hikmah yang cukup banyak sebagai inspirasi dan semangat untuk kita agar dapat kita kekalkan keimanan kita dan memegang hidayah Allah swt. Dari alquran dan hadis, Allah menitipkan kepada kita langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencapai kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat. Kehidupan alquran menjadi pedoman hidup kita bagi memahami kehendak Allah terhadap diri kita. Sekiranya kita ingin memelihara aqidah kita, kita harus meletakkan keyakinan dan aqidah kita berlandaskan tuntutan alquran. Mudah mudahan alquran itu menjadi acuan bagi kita merealisasikan cita-cita hidup. Mempelajari ilmu makrifatullah iaitu ilmu mengenal Allah, akan dapat memberi motivasi dalaman kepada kita dan Allah akan membantu kita untuk untuk menjalankan amanahNya dengan sempurna. Keimananan yang tinggi dapat menaikkan semangat kita. Hidayah juga berperanan untuk memberi motivasi kepada kita. Untuk meraih motivasi, kita haruslah terlebih dahulu mengenali islam, iman dan ihsan. Fitrah alam semesta sebagai muslim dapat menjuruskan kita kepada hidayah. Manusia yang tidak hidup secara fitrah akan menyimpang dari keimanan seterusnya jauh dari sumber motivasi itu sendiri.

Muslim yang mempunyai pandangan hidup yang jelas menjadikan alquran sebagai sumber inspirasi. Bagaimana alquran boleh menjadi motivasi untuk kita? Melalui tilawah, hafalan, memahami tafsir dan merealisasikan ajaran alquran dapat memotivasikan diri kita. Manusia yang berjaya merupakan manusia yang hidup berlandaskan alquran. Manusia yang sukses dapat dilihat melalui contoh-contoh seperti rasulullah saw, khulafa’ arrasyidin, serta ulama yang mana mereka ini hidup berpaksikan alquran dan sunnah.

Apakah motivasi?

Berdasarkan bahasa arab, motivasi bermaksud sesuatu yang mendorong ke depan. Motivasi merupakan sesuatu yang menolak dan meletakkan kita di tempat yang lebih baik. Motivasi juga diertikan sebagai berkobar-kobar, menggebu-gebu, bergelora, atau bersemangat besar. Orang yang ada motivasi adalah orang yang memiliki semangat yang tinggi dan luar biasa. Seandainya motivasi diletakkan sebagai suatu gerakan, ia akan menghasilkan gerakan yang besar yang boleh melawan musuh-musuh dihadapan. Secara umumnya, motivasi adalah daya penggerak yang mendorong hati untuk melakukan sesuatu dengan dorongan yang hebat, digunakan untuk mencapai tujuan yang dimaksudkan. Alquran merupakan perkara pokok yang bertindak untuk membantu kita melahirkan semangat yang kuat untuk maju ke hadapan. Di dalam alquran, motivasi spiritual digambarkan dengan ilustrasi syurga yang akan dinikmati oleh orang yang beriman kelak.
Sebagai contohnya, firman Allah swt dari surah Al-Baqarah ayat 25.

“Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan berbuat kebaikan, bahawa untuk mereka (disediakan) syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Setiap kali mereka diberi rezeki buah-buahan dari syurga, mereka berkata, “Inilah rezeki yang diberikan kepada kami dahulu.” Mereka telah diberi (buah-buahan) yang serupa.

Janji yang pasti ini menjadikan orang yang beriman terpanggil untuk menggapainya dengan melakukan amal soleh dan istiqamah dalam beramal. Amal soleh untuk mendapatkan syurga merupakan amal soleh yang memiliki ‘standard’ syurga Allah yang setanding dengan mahalnya harga syurga Allah itu. Kita mampu memasuki syurga bukan dengan amalan biasa kita sahaja, tetapi juga dengan rahmat daripada Allah. Oleh itu amalan yang dilakukan itu haruslah amalan yang sempurna dan mencapai piawaian yang boleh diterima Allah swt dan bukannya amalan yang dilakukan atas dasar paksaan. Kita memerlukan satu sistem yang kita khususkan untuk beramal kepada Allah swt, sepertimana solat yang telah ditetapkan waktunya oleh Allah dan kita perlu menjaga waktu tersebut. Satu-satunya cara untuk kita berinteraksi dengan Allah adalah melalui solat, jadi seharusnya kita menjaga solat kita sebaik mungkin. Amalan yang berbentuk perintah harus dilaksanakan dengan sempurna supaya kita dapat mencapai piawaian untuk mendapat syurga Allah swt. Keikhlasan yang diniatkan dalam sesuatu amalan itu lah yang menjadi pengukur yang akan menentukan kita masuk syurga atau sebaliknya. Sesuatu perkara berat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan menjadikan kita senang untuk melakukannya. Kita haruslah mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu syurga kerana syurga itu juga salah satu motivasi untuk kita istiqamah.

Melalui al-quran juga Allah mengajarkan kita bahawa sebelum memulakan sesuatu, kita hendaklah memohon keredhaan daripada Allah swt, iaitu melalui doa. Doa yang mencakupi dunia dan akhirat iaitu:

“Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat, dan peliharakanlah kami daripada siksa api neraka.”

Melakukan amal soleh tanpa mengenal penat lelah merupakan nikmat keyakinan kita terhadap kebahagiaan syurga Allah dan nikmat di akhirat kelak. Janji yang pasti daripada Allah untuk mereka yang beriman mengenai khabar gembira tentang syurga menjadi dorongan kepada jiwa kita untuk meraihnya. Sepertimana disebutkan dalam surah Al-Imran ayat 14-15:

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik. Katakanlah, "Maukah aku kabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?" Bagi orang-orang yang bertaqwa (tersedia) di sisi tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya.

Dan sebaliknya Allah juga menarik perhatian orang-orang kafir dengan memberi khabar mengenai azab yang pedih kepada orang-orang yang ingkar supaya mereka tidak menagabaikan ajaran Allah seperti yang tersebut dalam surah al-Insyiqaq ayat 23-25:

Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan (dalam hati mereka). Maka sampaikanlah kepada mereka (ancaman) azab yang pedih, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putusnya.”

Penerangan di atas menunjukkan itulah antara cara-cara yang Allah gunakan di dalam alquran untuk memberi dorongan yang positif kepada orang-orang yang beriman untuk terus beramal soleh. Manakala peringatan mengenai azab ditujukan kepada orang-orang kafir agar mereka berhenti daripada melakukan perkara-perkara keji.

Wallahu’alam.